24 Ogos 2023

Artikel - Makan malam awal, bantu tidur lebih lena

 

Banyak kebaikan mengubah tabiat makan lewat malam kepada rutin lebih awal.

Makan awal dapat mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, kegemukan, kanser, tekanan darah tinggi, strok serta gangguan sistem pernafasan, selain tidur lebih lena

Pakar Perunding Diet Klinikal, Hospital CARE, Banjara Hills, Hyderabad, Dr G Sushma, berkata mengubah masa makan malam pada waktu awal membolehkan badan mempunyai lebih banyak masa mencerna makanan sebelum tidur.

"Ini boleh membantu mengelakkan isu seperti refluks asid atau senak yang mungkin timbul apabila tidur dengan perut penuh.

"Ia juga meningkatkan kecekapan fungsi penghadaman dan memberikan badan lebih banyak masa untuk mencerna makanan sebelum tidur, memecah dan menyerap nutrien dengan berkesan.

"Selain itu, ia meningkatkan kualiti tidur yang lebih baik. Ini kerana apabila makan makanan berat ketika hampir masa tidur, badan mungkin masih mencerna makanan sekali gus boleh mengganggu tidur dan menyebabkan ketidakselesaan," katanya.

Memetik laporan The Indian Express, katanya, dengan mengubah rutin makan lebih awal, ia membolehkan badan berehat dan mengalami pemulihan ketika tidur dan bukannya penghadaman.

"Makan malam awal juga bermanfaat untuk pengurusan berat badan kerana dapat mempertingkatkan tahap metabolisme dengan menukarkan kalori kepada tenaga sepanjang hari.

"Makan malam awal boleh membantu mengawal hormon kelaparan, mengurangkan keinginan menikmati snek lewat malam atau makan berlebihan," katanya.

Rutin makan malam awal juga membantu menstabilkan kadar gula dalam darah memandangkan ia memberikan tubuh masa mencukupi untuk mencernanya sebelum tidur, membantu mengelakkan lonjakan dan penurunan paras gula dalam darah, menggalakkan manfaat kesihatan secara menyeluruh.

Pakar pemakanan, Rashi Chowdhary melalui laman Instagram menjelaskan, makan malam awal, memberikan tubuh mempunyai masa mencukupi untuk melepaskan melatonin ke satu tahap pada masa antara 10 malam hingga 2 pagi.

"Apabila ia mencapai hormon pertumbuhan puncak, enzim pembaikan dan pemulihan dirembes dan apabila bangun pagi, tubuh rasa bertenaga dan segar.

"Melatonin ialah hormon tidur yang mula dikeluarkan dalam aliran darah anda selepas matahari terbenam dan apabila makan berlebihan selepas waktu itu, badan akan mengeluarkan insulin yang meningkatkan kortisol.

"Ia adalah hormon tekanan dan tindak balas metabolik asas untuk pencernaan makanan.

"Apa yang menjadi masalah, apabila kortisol dan melatonin bersaing antara satu sama lain dan tidak dapat bertahan bersama yang boleh membawa kepada banyak masalah hormon," katanya.


Fakta menarik mengenai makan malam awal juga akan memberi masa penghadaman mencukupi dan menyerap nutrien yang boleh menggalakkan tahap tenaga mampan dari malam hingga ke pagi esoknya dan mencegah 'energy crashes'.

Bagi Perunding Am, Laparoskopi dan Pembedahan Akses Minimal, Pembedahan Bariatrik, Hospital Manipal dan Whitefield, Dr Sumit Talwar berkata makan malam awal sangat membantu mereka yang ingin mengurangkan berat badan.

"Pengubahsuaian diet untuk penurunan berat badan adalah strategi pertama dan paling mudah. Ada dua bahagian iaitu jenis makanan dan satu lagi ialah masa makan.

"Dalam perubahan jenis diet, kaedah paling berkesan mungkin mengurangkan karbohidrat.

"Mengenai masa makan, banyak kaedah popular dan hampir semuanya berkesan.

Puasa berselang atau 'intermittent fasting' ia tidak makan dalam tempoh lama. Makan malam awal adalah salah satu kaedah puasa berselang.

"Makan malam awal membantu dalam banyak cara selain daripada menambah masa berpuasa.

Ia juga meningkatkan kualiti tidur dan akan membantu dalam mengurangkan refluks dan meningkatkan kualiti tidur," katanya.

Tidur amat penting untuk manfaat keseluruhan kesihatan.

Hal ini mempunyai kaitan dengan rutin makan malam awal kerana makan malam yang diambil sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur membantu mengawal kadar gula dalam darah yang lebih baik dan kepekaan insulin serta mengurangkan risiko diabetes jenis 2 dan penyakit jantung.

"Selain itu, kerana anda memberi badan masa mencukupi untuk mencerna makanan sebelum tidur, menjadikan penghadaman bertambah baik dan gejala penyakit refluks gastroesophageal (GERD) dapat dilegakan," katanya.- Agensi

SUMBER: https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2023/08/1143818/makan-malam-awal-bantu-tidur-lebih-lena

Tiada ulasan:

Catat Ulasan