SENI ubah suai
kenderaan dan kustom culture terus popular dengan semangat yang
ditunjukkan para peminatnya pada acara tahunan pameran kenderaan ubah suai Art
Of Speed 2023 (AOS 2023) hujung bulan lepas.
AOS 2023 telah
memukau lebih daripada 65,000 pengunjung sepanjang dua hari ia berlangsung di
Tapak Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), sebuah peristiwa yang
menggambarkan betapa kukuhnya ikatan antara seni, budaya, dan inovasi kenderaan
di negara ini.
Acara yang sudah
memasuki edisi yang ke-12 itu terus mengukuhkan peranannya sebagai platform
bagi peminat budaya kustom yang semakin berkembang dengan pelbagai
pameran kenderaan diubah suai dari dalam dan luar negara.
Antara pameran yang
mencuri tumpuan adalah tiga kenderaan kustom yang dipersembahkan oleh
tiga pengubahsuai kenderaan terkemuka dari Jepun iaitu Wild Road Choppers
dengan motosikal Harley Davidson Chopper tahun 1941, Harley Davidson Chopper
tahun 2020 yang mendapat sentuhan Cosmic Chopper City, dan Volkswagen Type2
Safari tahun 1959 yang mengalami transformasi menakjubkan di tangan Side
Yakotani.
AOS 2023 meneruskan
tradisi dengan membuka ruang kepada tetamu antarabangsa yang terkenal dalam
budaya kustom untuk memberikan inspirasi kepada peminat-peminat kustom
culture, selain turut berperanan sebagai juri dalam
pertandingan-pertandingan yang diadakan sepanjang acara ini.
Semua acara sampingan ini memperkukuhkan lagi ikatan antara budaya kustom dan pelbagai bentuk seni yang lain yang melambangkan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang hidup bersatu dan aman.
AOS 2023 bukanlah
sekadar satu acara pameran kenderaan terubahsuai semata-mata, tetapi
menunjukkan penyatuan yang semakin kukuh terhadap semangat budaya kustom ataupun
kustom culture di Malaysia, dengan menyatukan peminat seni ubahsuai kenderaan
dan seni.
SUMBER: https://www.astroawani.com/gaya-hidup/kustom-culture-terus-berkembang-di-malaysia-433682
Tiada ulasan:
Catat Ulasan