KUANTAN: Sering kali
masyarakat membayangkan subjek Pendidikan Seni Visual (PSV) dikhususkan untuk
pelajar tidak cemerlang dan hanya ditawarkan kepada pelajar bukan aliran sains,
yang rata-ratanya ditempatkan di kelas akhir.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin Kuantan, Rizuan Shah Hapipi berpendapat stigma ini perlu dikikis bagi mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Dalam usaha memperkasakan
subjek elektif, Rizuan bersama pengetua, Hanita Kassim menjayakan projek menaik
taraf bilik seni di sekolah berkenaan.
“Sejajar dengan
Program Sekolahku Sejahtera, kami bersama para pelajar menjalankan transformasi
bilik seni agar menjadi lebih selesa dan kondusif.
“Usaha ini juga
bagi memastikan pelajar aliran seni tidak berterusan ‘terasa’ sebagai kategori
pelajar kelas kedua yang tidak diberikan perhatian,” katanya kepada Astro
AWANI.
“Seringkali kita
bayangkan bilik seni sebagai bilik tidak terurus, sarat dengan hasil kerja
pelajar dan muram.
“Elemen cahaya
semula jadi menjadikan ruang bilik seni ini tampil luas kerana penggunaan
langsir separa gantung dan warna putih masih mendominasi keseluruhan warna
dinding.
“Hasil karya
pelajar masih dalam proses pemilihan namun sebahagian sudah dipamerkan untuk
tatapan pengunjung untuk dijadikan inspirasi. Ruang pameran menekankan konsep ‘eye
rest’ yang mana ruang tidak terlalu sarat dengan karya,” katanya.
Tambahnya, bilik seni turut dilengkapi komputer, projektor, LCD dan mesin cetak bagi kemudahan pelajar mengakses maklumat dan belajar secara optimum.
“Pelajar merupakan
klien saya. Sudah pasti saya mahu pastikan mereka gembira di sini. Semua
pelajar akan diberikan perhatian dan layanan secara sama rata dan tiada layanan
berbeza,” katanya.
SUMBER: Astro Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan