KUALA LUMPUR: Plastik pembungkus
roti, mi segera dan makanan ringan yang lazimnya dibuang ke tong sampah,
dijadikan barangan seperti beg tangan dan payung, hasil kreativiti seorang
pemuda menerusi kaedah kitar tinggi atau upcycle.
Kitar tinggi ialah
proses mengubah suai bahan buangan kepada produk yang boleh digunakan semula.
Ahmad Afiq Ahmad Kamal, 24, hanya menggunakan pita pelekat
dan kemahiran menjahitnya bagi menghasilkan produk yang praktikal dan boleh
digayakan.
Menurut eksekutif
sumber manusia di sebuah syarikat korporat itu, dia tidak malu menggayakan
produk berkenaan ketika keluar beriadah atau bersiar-siar meskipun ia dibuat
daripada bahan buangan.
"Fesyen itu
subjektif dan saya punya cita rasa fesyen lebih kepada gaya jalanan, rebel dan
tidak ortodoks. Saya melihat upcycling antara cara mengekspresikan gaya fesyen
saya," katanya kepada Bernama.
Ahmad Afiq berkata
minat mendalam terhadap fesyen unik dan tersendiri mendorongnya menghasilkan
pelitup muka daripada fabrik seluar terpakai pada Disember 2020 dengan jahitan
tangan.
Kemudian dia kerap
menghasilkan pelbagai jenis dan rekaan beg menerusi kitar tinggi daripada
seluar lama atau sudah tidak dipakai, sebelum bereksperimen menggunakan plastik
pembungkus dan fail plastik.
Mengakui
menyelamatkan bumi bukanlah misi utamanya ketika berjinak-jinak dengan hobi
itu, pemuda lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari University of
Delaware, Amerika Syarikat itu berharap usahanya dapat menyumbang ke arah
budaya fesyen lestari, sekali gus mengurangkan lambakan sisa tekstil.
"Hobi saya ini
bukan sahaja menzahirkan kreativiti tetapi secara tidak langsung memberi
kehidupan kedua dan menambah nilai sesuatu barangan daripada hanya berakhir ke
tapak pelupusan sampah," katanya.
Bagaimanapun, Ahmad
Afiq berkata setakat ini, dia tidak berhasrat menjual atau mengambil tempahan
meskipun ada yang berminat dengan produk dihasilkan yang dikongsikannya
menerusi platform TikTok menggunakan akaun @ovolokaw.
Ahmad Afiq yang
menarik lebih 12,000 pengikut di media sosial itu juga berharap kandungan
dibuatnya memberi inspirasi dan kesedaran kepada masyarakat tentang kebaikan
kitar tinggi.
SUMBER: Astro Awani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan