PERJALANAN 365 hari tahun 2022 kini semakin
menuju penamatnya dan pada Ahad, kita bakal menyambut kedatangan tahun baharu
2023.
Seperti kebiasaan, setiap kali tahun baharu menjengah, kita
semua pasti bersemangat ‘mencipta’ azam dan cita-cita baharu untuk
direalisasikan.
Bercakap soal azam tahun baharu, salah satu yang paling popular
adalah azam untuk berdiet dan menguruskan badan.
Namun, harus diakui azam yang satu ini sering membuatkan ramai
kecundang termasuk penulis sendiri. Nawaitu untuk menguruskan badan sebenarnya
bukan sekadar untuk tampil lebih menarik, sebaliknya jauh lebih penting adalah
untuk menjaga kesihatan diri.
Banyak kajian mendedahkan Malaysia merupakan negara paling tinggi tahap obesiti
di Asia Tenggara dan ia bukan perkara yang harus dibanggakan, sebaliknya perlu
dibimbangi.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berat badan
berlebihan dan obesiti ditakrifkan sebagai pengumpulan lemak yang tidak normal
atau berlebihan yang boleh menjejaskan kesihatan.
Badan kesihatan dunia itu turut menyatakan lebih daripada satu
bilion orang di seluruh dunia mengalami masalah obesiti. Jumlah itu termasuk
650 juta orang dewasa, 340 juta remaja dan 39 juta kanak-kanak.
Malangnya, jumlah yang mengerikan itu terus meningkat saban
tahun dan WHO menganggarkan menjelang tahun 2025, kira-kira 167 juta orang
(dewasa dan kanak-kanak) akan mengalami masalah kesihatan berikutan berat badan
berlebihan atau obes.
Penyebab utama obesiti dan berat badan berlebihan adalah
ketidakseimbangan tenaga antara kalori yang diambil dan digunakan.
Di peringkat global, kita menyaksikan peningkatan pengambilan
makanan padat tenaga yang tinggi kandungan lemak dan gula.
Malah, di Malaysia sendiri, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan
Morbiditi 2019 telah melaporkan bahawa rakyat negara ini mengambil tiga sudu
teh gula setiap hari dalam minuman disediakan sendiri seperti kopi dan teh.
Enam sudu teh gula setiap hari dalam minuman berkarbonat dan
tidak berkarbonat serta tiga sudu teh gula setiap hari dalam minuman
pracampuran seperti minuman 3-dalam-1.
Selain itu, satu lagi penyumbang kepada isu obesiti adalah
ketidakaktifan fizikal, antaranya disebabkan persekitaran kerja urban dan moden
yang tidak memerlukan banyak pergerakan, selain duduk menghadap skrin komputer.
Umum tahu, isu obesiti dan berat badan berlebihan bukan isu
baharu, sebaliknya sudah menjadi klise, namun bahaya yang dibawa tidak dapat
dinafikan.
Ia merupakan penyakit yang boleh memberi kesan buruk terhadap
banyak sistem badan, antara lain boleh menjejaskan jantung, hati, buah
pinggang, sendi dan juga sistem pembiakan.
Obesiti turut mengundang pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti
diabetes, penyakit kardiovaskular, hipertensi dan strok, pelbagai jenis kanser
serta isu kesihatan mental.
Individu obes juga adalah tiga kali lebih berkemungkinan
dimasukkan ke hospital sekiranya dijangkiti Covid-19.
Kunci kepada menangani obesiti adalah mewujudkan persekitaran
atau gaya hidup di mana semua orang dapat mengakses diet pemakanan yang sihat.
Dalam hal ini, industri makanan boleh memainkan peranan signifikan dalam mempromosi tabiat diet sihat menerusi beberapa cara.
Antaranya, mengurangkan kandungan lemak, garam dan gula dalam
makanan diproses, memastikan pilihan makanan sihat dan berkhasiat tersedia
serta mampu milik kepada semua pengguna dan mengehadkan pemasaran makanan
tinggi lemak, gula serta garam terutama kepada golongan kanak-kanak dan remaja.
Sementara itu di tempat kerja, adalah baik jika dapat disediakan
opsyen makanan sihat, selain menggalakkan lebih banyak program melibatkan
aktiviti fizikal.
Dalam pada itu, di kawasan sesuai boleh juga disediakan ruang untuk
aktiviti riadah seperti berjalan, berbasikal dan berekreasi, manakala di
peringkat sekolah boleh membantu isi rumah mengajar kanak-kanak tentang tabiat
pemakanan sihat.
Kembali kepada azam menguruskan badan, kita harus memastikan
diri cukup kuat untuk menjauhi segala ‘cubaan dan godaan’ yang mendatang,
apatah lagi kita tinggal di negara yang terkenal sebagai syurga pelbagai
makanan enak!
SUMBER: Sinar
Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan