30 Disember 2022

Bersilat, berkeris di balairung

Ketika menelaah buku sejarah di bangku sekolah dahulu, mungkin ramai tertanya-tanya, bagaimana agaknya kehidupan masyarakat ketika zaman Empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Adakah cara hidup masyarakat seperti dipertontonkan dalam filem Hang Tuah arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee benar-benar dipraktikkan dalam masyarakat Melayu.

Yang pasti, pada era sains dan teknologi ini mustahil untuk melihat kehidupan komuniti kampung mengamalkan budaya Melayu klasik seperti orang dahulu kala.

Namun, untuk menyaksikan pengalaman unik kehidupan masyarakat pada zaman dahulu, ia hanya boleh dirasai di Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu, Bota, Perak.

Apabila kaki melangkah memasuki perkarangan perkampungan ini yang terletak di Kampung Kepayang, Bota Kiri, auranya sungguh berbeza, ia saling tak tumpah ibarat 'hidup' di zaman lampau, bersesuaian dengan nama kampung itu benar-benar membuatkan pengunjung mengimbau suasana warisan budaya Melayu.

Manakan tidak, penduduk di sini segak dan ayu menggayakan busana Melayu. Yang lelaki lengkap bertanjak, berkeris dan bersilat di balairung umpama laksamana gagah perkasa, yang lain pula bermain sepak takraw di hadapan pintu masuk balairung.

Yang wanita berbaju kurung klasik, berselendang, selubung batik di kepala atau bersanggul persis puteri dan dayang di istana zaman silam.

Di perkampungan ini pada asalnya ditubuhkan pada 1992 yang diilhamkan daripada buku sejarah klasik 'Misa Melayu'. Buku nukilan Raja Chulan ketika zaman pemerintahan Sultan Perak ke-15, Sultan Iskandar Dzulkarnain pada 1754 hingga tahun 1764.

Justeru, karya berkenaan memperincikan perihal kehidupan masyarakat di Perak serta amalan tradisi dan adat istiadat yang diamalkan mengikut kronologi peristiwa yang berlaku ketika pemerintahan Sultan Iskandar Dzulkarnain.

Digambarkan secara umum, kehidupan masyarakat di Perak ketika itu dikatakan makmur dan rakyat hidup dalam aman sejahtera.

Lantas, menerusi karya Agung klasik inilah yang memberi ilhamkan kepada Temenggung untuk membuka perkampungan berkenaan sejak 30 tahun lalu.

Sarat pelbagai aktiviti budaya


Apa yang menarik memang rutin setiap minggu, iaitu pada jam 9.30 malam hingga 12 tengah malam penduduk di sini, mengadakan pelbagai aktiviti yang dipanggil Malam Melayu Sejati.

Majlis akan dimulakan dengan perarakan masuk pembesar yang memakai gelaran zaman lampau ke dalam kawasan Balairung Seri. Ia diketuai oleh Tok Temenggung bersama empat lagi pembesar kanan.

Perarakan ini diiring dendangan muzik oleh sebuah kumpulan muzik, Persatuan Kebudayaan dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia atau Dendang Anak.

Selepas pembesar mengambil tempat duduk, mereka dipersembahkan dengan sirih dan pinang sebagai tanda penghormatan.

Di sini, pengunjung disajikan dengan pertunjukan silat, selain dendangan lagu dan tarian tradisional Melayu. Lagu-lagu dimainkan oleh kumpulan Dendang Anak umumnya membawa mesej ketuhanan dan nasihat yang mengetuk jiwa pendengar.

Busana, keris dan tombak serlah gaya

Menariknya gaya hidup komuniti ini bukan sahaja dicerminkan menerusi persembahan busana dan peralatan seperti keris serta tombak, malah juga dari segi rutin seharian seperti hidup bergotong-royong turut menjadi budaya perkampungan zaman dahulu sebagai amalan harian

Kedudukan kampung ini yang dikelilingi Sungai Perak menyebabkan ia turut menarik kunjungan penduduk kampung untuk menyertai aktiviti komuniti di sini.


Menghidupkan Malam Melayu Sejati

Menurut Ketua kumpulan Dendang Anak, Farul Hisham Abdul Halim, 43, yang juga mesra disapa dengan gelaran Tok Lingga, Dendang Anak ialah sebuah kumpulan muzik Melayu dengan tujuan memartabatkan semula adat Melayu.

"Kami amat alu-alukan kehadiran semua lapisan masyarakat dari semua kaum di Malaysia untuk merasai keunikan Malam Melayu Sejati, pada setiap malam Sabtu.

"Seperti malam ini, kita mempunyai tetamu daripada pelajar Cina dari Universiti Sains Malaysia (USM)," kata Farul Hisyam.

Aktiviti di sini juga bertujuan memartabatkan budaya Melayu Perak kepada masyarakat tempatan dan luar negara terus terpelihara dan tidak pupus ditelan zaman.

Seorang jemaah perkampungan ini, Zaidi Shafi'ie, 49, katanya, dahulu datang ke sini hanya untuk bersantai bagi menghilangkan tekanan bekerja.

Menariknya, setelah datang berkali-kali, hatinya terpaut dengan tempat ini dan terus menjadi salah seorang ahli kumpulan Dendang Anak.

"Saya ahli perniagaan. Pada awalnya saya hanya ingin hilangkan kerunsingan akibat penat bekerja. Tapi lama-kelamaan saya temui ketenangan dan keseronokan menjadi sebahagian keluarga besar di Pulau Misa," jelas Zaidi yang juga berkhidmat sebagai pembuat tengkolak dan pengeluar busana Melayu di sini.

Pengisian pelbagai acara seperti tarian tradisional, persembahan seni silat, seni silat tempur menggunakan senjata dan lain-lain.

Malah, tidak itu sahaja, lokasi ini jadi tarikan kerana dilengkapi aktiviti berkuda, memanah, meneroka mini zoo dan berkayak, pada waktu siang.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat dan mempelajari seni tulisan khat yang diusahakan oleh anak muda, Mohammad Alfi Syahmi Mohammad Sofian, 29.

"Ini adalah salah satu perjuangan saya membantu masyarakat khususnya anak muda untuk mengenali dan menguasai kemahiran menulis khat yang juga satu bentuk seni orang Melayu.

"Ini untuk memastikan seni ini relevan dengan masa kini, saya masukkan unsur abstrak dan warna supaya ia selari dengan seni moden," kata Alfi yang juga salah seorang ahli Gajir Calligraphy dalam penghasilan tulisan khas terpanjang dalam Festival Kebudayaan dan Kesenian Islam Antarabangsa (PIIACUF) 2015.

Belajar memanah dan berkuda

Selain Malam Melayu Sejati yang membuatkan perkampungan di Pulau Misa ini semakin dikenali dan sekali gus juga sering dikunjungi oleh pelbagai pihak bagi tujuan pembelajaran.

Umpamanya, di sini ada Perkampungan Sunnah membolehkan badan bukan kerajaan (NGO), iaitu Remaja Pembela Ummah (RPM), dan 29 setiausaha zon RPM dari seluruh negara datang berkunjung untuk melakukan pelbagai aktiviti.

Antaranya, mereka menyertai teknik memanah, berkuda dan berenang, iaitu tiga sukan sunnah Nabi Muhammad SAW yang diadakan cara santai.

Peserta, Muhammad Rifaah Asaari, 38, berkata beliau beruntung kerana dapat menghidupkan semula permainan sunnah.

"Jika sebelum ini diri saya kurang tahu mengenai sukan kegemaran Rasulullah ini, kini saya dan rakan yang lain dapat merasai pengalaman berharga ini.

"Sepanjang dua hari ini, kami bukan sahaja seronok bermain tetapi diselitkan juga sirah nabi. Jadi saya dapat lebih mendalami dan mengenali Baginda SAW," kata Muhammad Rifaah.

Seorang lagi peserta, Muhammad Aiman Faridan, 21, berkata, kunjungannya itu adalah kali pertama membuatkan diri teruja untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti memanah dan berkuda, selain melihat persembahan seni budaya yang mengimbau kehidupan zaman silam.

"Saya gembira sebab tak pernah berkuda dan memanah. Kursus ini memberi pengalaman baru kepada saya dan pasti saya akan ke sini lagi," katanya.


Ajar teknik memanah

Bagi pelatih aktiviti berkuda dan memanah di Pulau Misa, Amran Ahamad, 51, beliau berasa bangga peserta dapat menamatkan kursus singkat dengan jayanya.

"Pada permulaan, kita lihat peserta sedikit kekok memegang busur panah, tapi selepas diajar teknik yang sempurna, Alhamdulillah, kini mereka sudah tahu cara yang betul. Malah ada juga dua, tiga peserta yang cepat mahir.

"Kemahiran ini kita perlu diturunkan kepada generasi pelapis supaya mereka mahir supaya mereka boleh mengajar generasi seterusnya," katanya.

SUMBER: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan