SERDANG: Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan model pertanian pintar yang boleh
dilaksanakan dalam skala kecil, sederhana atau besar sebagai strategi
meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dalam negara, bermula tahun depan.
Model pertanian secara
tertutup menggunakan sistem rumah perlindungan hujan, mengguna pakai sistem
pengairan dan pembajaan secara automasi melalui kawalan berkomputer atau
aplikasi internet kebendaan (IoT), pencahayaan LED, penghawa dingin dan
hidroponik bertingkat.
MARDI menyifatkan
inisiatif itu sebagai strategi untuk meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran
dalam negara, sekali gus menangani isu kekurangan bekalan sayur disebabkan
peningkatan permintaan, perubahan iklim dan bencana alam, sekali gus membantu
menstabilkan harga dalam pasaran.
Kaedah itu juga dapat
mengatasi masalah sisa kimia pada produk tanaman, menangani isu pencemaran air
dan tanah hasil dari aktiviti perindustrian dan pertanian konvensional, selain
meningkatkan jaminan bekalan dan keselamatan makanan.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi
Abdul Ghani, berkata model berkenaan boleh memberi hasil lima hingga 10 kali
ganda berbanding kaedah tanaman secara konvensional, dan mesra alam.
"Ia memberikan hasil
tinggi, berkualiti dan jangkaan hasil lebih tepat dari segi pengeluaran
sepanjang tahun tanpa gangguan disebabkan perubahan cuaca, ancaman perosak atau
penyakit. Ia sudah dibentang dan diluluskan Lembaga Pengelola MARDI dan akan
diperkenalkan pada tahun depan," katanya kepada BH.
MARDI melabel projek
berskala kecil sebagai model B40, skala sederhana (B40) dan skala besar (T20).
Mohamad Zabawi menjelaskan
model B40 membabitkan penggunaan rumah perlindungan hujan berskala kecil yang
boleh diusahakan di sekitar rumah.
Bagi model berskala sederhana
atau M40 pula, beliau berkata, ia merangkumi penggunaan kontena, manakala bagi
model berskala besar (T20) membabitkan struktur bangunan bersaiz besar atau
kilang untuk 'bercucuk tanam'.
Katanya, ketiga-tiga model
itu akan mengguna pakai sistem pencahayaan lampu LED untuk menghasilkan
formulasi cahaya buatan bagi membekalkan nutrien dan vitamin diperlukan tanaman
serta penggunaan sistem tanaman hidroponik bertingkat.
Model pertanian
menggunakan rumah perlindungan hujan dilihat penyelesaian jangka panjang
kerajaan untuk mengatasi isu kenaikan harga barangan keperluan asas, termasuk
sayur-sayuran disebabkan perubahan cuaca, khususnya setiap hujung tahun akibat
hujan lebat, selain ancaman serangga perosak dan penyakit.
Sejak Oktober lalu, harga
kebanyakan barangan makanan asas seperti sayur-sayuran dan ayam meningkat
mendadak sehingga membebankan rakyat.
Persatuan pengguna
mendakwa harga beberapa jenis sayur-sayuran meningkat sehingga 200 peratus.
Antaranya kubis bunga daripada RM7 sekilogram kepada RM16, sawi pendek (RM3
kepada RM9), brokoli (RM8 hingga RM20), selain kacang buncis, kubis, cili merah
dan cili hijau.
Mohamad Zabawi yakin
pengenalan konsep plant factory (kilang tanaman) oleh MARDI akan mengatasi isu
pengguna mengeluh mengenai harga sayuran dan kekurangan bekalan.
Difahamkan modal
diperlukan untuk menyediakan model berskala kecil yang dilengkapi dengan sistem
asas serendah RM10,000, bergantung saiz kawasan dan rumah perlindungan hujan.
Model bersaiz sederhana,
kosnya kira-kira RM200,000, lengkap dengan sistem pencahayaan lampu LED,
hidroponik, pendingin hawa dan tenaga solar.
Kos model bersaiz besar
pula boleh mencecah sekitar RM1.5 juta bergantung pada keluasan bangunan atau
kilang dan dilengkapi sistem pengairan dan pembajaan secara automasi
menggunakan pendekatan kawalan berkomputer atau aplikasi internet kebendaan
(IoT), pencahayaan LED, penghawa dingin dan integrasi sistem kawalan hidroponik
bertingkat.
"Kaedah ini mudah
kerana tidak perlu dipantau setiap hari, sebab sistemnya berjalan sendiri. Tak
perlu selalu siram sebab sudah ada sistemnya. Tak perlu juga sembur racun
kerana tanaman berada di dalam rumah perlindungan hujan yang tertutup. Tiada
perosak. Hasil lebih cepat tumbuh sebab tiada isu cuaca panas atau hujan,"
katanya.
Beliau berkata, walaupun
kosnya agak tinggi tetapi manfaatnya besar untuk tempoh masa panjang.
Bagi memastikan model
diketengahkan MARDI sampai kepada golongan sasar, beliau berkata, pihaknya
turut bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Memandangkan NGO
banyak bekerjasama dengan majlis agama negeri, kita berharap dapat menggunakan
fasiliti atau bangunan terbiar milik majlis agama supaya golongan asnaf boleh
menceburinya sebagai petani menerusi inovasi ini.
"Majlis agama ini ada banyak bangunan terbiar dan kita akan bekerjasama dengan mereka untuk memperkenalkan kilang tanaman, konsep tanaman dalam kontena. Kita nak bantu asnaf," katanya.
SUMBER: Berita Harian
Oleh Fahmy A Rosli - Disember 6, 2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan