LOS ANGELES, California – Gergasi laman jaringan sosial, Facebook meluluskan elaun berjumlah AS$10 juta(RM40.6 juta) untuk meningkatkan kawalan keselamatan keluarga pengasasnya, Mark Zuckerberg.
Elaun sebelum cukai itu bertambah berbanding peruntukan serupa AS$7.3 juta (RM29.6 juta) yang diluluskan tahun lalu untuk keselamatan rumah, menggaji pengawal peribadi dan membayar penerbangan sewa khas. Firma penyelidikan Equilar menyatakan, elaun itu adalah termahal pernah diperuntukkan kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat tersenarai dalam Fortune 100.
Ia yang diumumkan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa, bertujuan untuk menangani ‘kebimbangan keselamatan berikutan ancaman spesifik’.
“Elaun ini sebagai tambahan kepada peruntukan berterusan bagi membiayai keseluruhan program keselamatan Zuckerberg,” kata Facebook dalam dokumen yang dikemukakan kepada suruhanjaya itu.
Menurut syarikat laman sosial itu, elaun tinggi tersebut wajar berikutan Zuckerberg adalah penting kepada Facebook.
CEO tersebut dibayar gaji cuma AS$1(RM4.06) pada tahun lalu.
Pada tahun 2015 pula, kos kawalan keselamatan Zuckerberg berjumlah AS$4.25 juta (RM17.27 juta).
Saluran berita CNBC melaporkan bahawa Zuckerberg mempunyai pasukan 16 pengawal peribadi yang mengawal rumahnya di Palo Alto, California.
Bajet keselamatan Zuckerberg adalah amat tinggi berbanding CEO lain. Sebagai perbandingan, bos Amazon, Jeff Bezos membelanjakan AS$1.6 juta (RM6.5 juta) untuk kawalan keselamatan pada 2016, manakala ketua Apple, Tim Cook membayar cuma AS$224,000 (RM910,088) bagi tujuan serupa pada tahun sama.
Kenaikan elaun Zuckerberg itu diumumkan pada hari sama saham Facebook menjunam 19 sen (RM0.77), mengakibatkan nilai syarikat itu berkurangan sebanyak AS$119 bilion (RM483.4 bilion), manakala kekayaan peribadi beliau susut AS$12 bilion (RM48.7 bilion) dalam masa kurang 24 jam.
Kekayaan bersih pengasas Facebook itu kini berjumlah AS$74 bilion (RM300.6 bilion), menyebabkan kedudukannya merosot ke tangga kelima senarai manusia terkaya di dunia.
– Agensi
Zuckerberg berucap pada persidangan tahunan pemaju F8 di San Jose, California, Amerika Syarikat pada 1 Mei lalu.
MAYAT seorang lelaki yang didakwa pencuri durian terbaring di sebuah kebun durian di Tambon Kradae, daerah Kanchanadit dalam wilayah Surat Thani kelmarin.
Novel (tengah) menjawab soalan pemberita di pejabat Suruhanjaya Pembasmian Rasuah di Jakarta pada 3 Mei lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan