Kali pertama diumumkan dalam tahun 2013 oleh Presi­den Xi Jinping (gambar kecil), inisiatif itu juga dikenali sebagai Laluan Sutera Baharu, me­libatkan pembinaan landasan kereta api, jalan raya dan pelabuhan di seluruh du­nia dengan Beijing menyediakan pinjaman mencecah berbilion-bilion dolar kepada banyak negara.
Lima tahun kemudian, Jinping terpaksa mempertahankan inisiatif beliau berikutan meningkatnya kebimbangan bahawa China memasang perangkap hutang di negara-negara yang tidak mampu membayar balik kepada gergasi Asia itu.
Semasa lawatan ke Beijing pada bulan lalu, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negaranya akan memba­talkan tiga projek disokong China termasuk pembinaan landasan kereta api yang menelan kos AS$20 bi­lion (RM82.3 bilion).
Di Pakistan pula, parti pimpinan Perdana Menteri baharu, Imran Khan berikrar untuk lebih telus berikutan kebimbangan tentang kemampuan negara berkenaan membayar balik pinjaman China berkaitan projek Koridor Ekonomi China-Pakistan.
Sementara itu, pemimpin dalam buangan Maldives, Mohamed Nasheed berkata, tindakan China di kepulauan Lautan Hindi itu tak ubah se­perti ‘rampasan tanah’ dan ‘kolonialisme’ dengan 80 peratus hutang Maldives dipegang oleh China.
Sri Lanka pula telah membayar harga yang mahal kerana berhutang dengan China.
Pada bulan lalu, negara pulau itu terpaksa memajak sebuah pelabuhan strategiknya selama 99 tahun kepada China kerana gagal membayar balik pinjaman projek tersebut yang menelan belanja AS$1.4 bilion (RM5.76 bilion). 
– AFP