Bank Pusat salahkan konspirasi musuh Teheran sebagai punca kejatuhan
TEHERAN – Nilai mata wang Iran diniagakan pada rekod terendah iaitu 119,000 riyal berbanding AS$1 (RM4.05) semalam, susut nilai dua pertiga sejak awal tahun ini ketika sekatan semula ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS) semakin hampir.
Mata wang riyal menjunam beberapa hari lalu ketika Iran menunggu pelaksanaan semula sekatan penuh AS bermula 6 Ogos ini.
Nilai riyal jatuh ke paras 100,000 riyal bersamaan AS$1 untuk kali pertama Ahad lalu dan terus menjunam, menyaksikan nilainya susut sebanyak 18 peratus dalam tempoh kurang dua hari.
Pada 1 Januari 2018, AS$1 adalah bersamaan dengan 42,900 riyal.
Perkembangan itu mendorong Bank Pusat Iran mengeluarkan kenyataan kelmarin dengan menyalahkan konspirasi oleh musuh Teheran sebagai punca kejatuhan nilai mata wang riyal dan berjanji akan bertindak balas dalam masa beberapa hari lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan