Yi yang dalam rangka lawatan dua hari ke Korea Utara berkata, Beijing menyokong usaha damai antara Seoul dan Pyongyang itu. Secara teknikal, Korea Utara dan Korea Selatan masih berperang sejak tahun 1950-an.
Bagaimanapun, pemimpin kedua-dua negara Korea itu bersetuju dalam satu pertemuan bersejarah pada ming­gu lalu untuk memeterai perjanjian damai yang muktamad sekali gus menamatkan Perang Korea secara rasmi. Ia bagi menggantikan gencatan senjata yang dimeterai oleh dua negara Korea itu 65 tahun lalu.
“China menyokong penamatan perang di Semenanjung Korea,” Yi dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan oleh Kementerian Luar China.
Menurut kenyataan tersebut, Beijing menyokong peralihan tumpuan strategik Pyongyang kepada pembangunan ekonomi dan turut menyokong usaha Korea Utara dalam mencapai penyelesaian berhubung isu keselamatan ketika negara itu bersetuju melucutkan senjata nuklearnya.
Jong-un mengulangi komitmen perlucutan senjata nuklear itu semasa mengadakan perbincangan dengan Yi.
Menteri Luar China itu mengadakan lawatan tersebut menjelang pertemuan antara Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang dijualkan dalam masa beberapa minggu lagi.
Yi merupakan Menteri Luar China pertama yang melawat Korea Utara sejak 2007 berikutan hubungan ke­dua-dua negara itu agak dingin sejak beberapa tahun lalu.
China yang merupakan satu-satu­nya sekutu kuat Korea Utara menyokong siri sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke atas Pyongyang berhubung program nuklear dan peluru berpandunya. – AFP