Bank terbesar di Australia itu menyatakan, ia tidak dapat menemui dua pita data magnetik yang menyimpan nama, alamat, nombor akaun dan butiran transaksi pelanggan dari tahun 2000 hingga 2016.
Badan penyiaran Australia, ABC melaporkan bahawa semua rekod itu sepatutnya dimusnahkan oleh sebuah syarikat subkontraktor tetapi pihak bank tidak pernah menerima dokumen mengesahkan ia dilakukan.
Namun, pihak bank tersebut memberi jaminan kepada pelanggan bahawa mereka tidak perlu bimbang kerana pita itu tidak mengandungi kata laluan, PIN atau data lain yang boleh digunakan untuk tujuan penipuan.
Menurut bank itu dalam kenyataannya, satu siasatan forensik bebas yang dilakukan pada tahun 2016 memutuskan bahawa pita-pita itu dipercayai telah dimusnahkan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas insiden kehilangan itu didedahkan oleh media Australia.
Kenyataan sama memberitahu bahawa isu tersebut tiada kaitan de­ngan isu keselamatan siber dan tidak menjejaskan platform teknologi, sistem, perkhidmatan, aplikasi atau laman web bank berkenaan.
Bagaimanapun, Bank Komanwel berterusan memantau sebanyak 19.8 juta akaun pelanggan terbabit bagi memastikan tiada sebarang masalah berlaku. – AFP