Arab Saudi dan Israel masih tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi tetapi di sebalik tabir pula, hubungan kedua-duanya semakin pulih sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Arab Saudi dan Israel sepakat melihat Iran sebagai ancaman luar terbesar dan turut menjadikan Amerika Syarikat (AS) sekutu utama mereka.
Namun, konflik Rejim Zionis dengan rakyat Palestin menjadi halangan utama kepada pemulihan sepenuhnya hubungan Arab Saudi dan Israel berikutan Riyadh terus menyokong tuntutan Palestin untuk menubuhkan sebuah negara yang berdaulat.
Kini, Putera Mohammed turut berpendirian bahawa musuh Palestin itu mempunyai hak yang sama berhubung isu tersebut .
Beliau menyatakan demikian dalam temu bual dengan ketua pengarang majalah berita AS, The Atlantic yang disiarkan kelmarin.
Putera itu ditanya oleh Jeffrey Goldberg sama ada “orang Yahudi berhak membentuk sebuah negara di sekurang-kurangnya sebahagian daripada tanah air nenek moyang mereka (Palestin).
“Saya percaya bahawa setiap orang, di mana sahaja, mempunyai hak untuk tinggal dalam negara aman mereka,” kata Putera Mohammed yang berada di AS untuk rangka lawatan tiga minggu.
“Saya percaya warga Palestin dan penduduk Israel berhak mempunyai tanah air sendiri.
“Namun, kita perlu mempunyai perjanjian damai bagi memastikan kestabilan untuk semua orang dan memiliki hubungan yang normal,” tambahnya.
Sejak tahun 2002 lagi, Arab Saudi selaku penaja utama Inisiatif Keamanan Arab, mengetengahkan penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik Israel-Palestin
Namun, belum ada pegawai kanan Arab Saudi yang percaya bahawa Israel berhak ke atas mana-mana tanah Palestin melainkan sebagai memenuhi syarat dalam memuktamadkan sebuah perjanjian damai yang berkekalan. – AFP