“Sekurang-kurangnya 14 pejuang terbunuh dalam serangan di lapangan terbang T-4 termasuk militia Iran,” kata SOHR yang berpangkalan di Britain.
Terdahulu, media pemerintah melaporkan bahawa terdapat kematian dan kecede­raan dalam serangan udara itu tanpa menyebut bilangan korban.
Pangkalan udara T-4 terletak di wilayah Homs, tengah Syria dan juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Tiyas.
“Pasukan keselamatan sekutu rejim Presiden Bashar Al-Assad iaitu Rusia dan Iran di samping militia Hizbollah dari Lebanon diketahui berada di sana,” kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman.
Kumpulan pemantau ber­kenaan yang mempunyai rangkaian sumber meluas di Syria menyatakan, ia tidak dapat mengesahkan siapa melancarkan serangan ke atas pangkalan udara T-4.
Sementara itu, Perancis mengaku ia tidak melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara Syria tersebut.
“Ia bukan kami,” kata jurucakap tentera Perancis, Kolonel Patrik Steiger.
Amerika Syarikat turut menafikan melancarkan se­rangan itu.
Terbaharu, Syria menu­duh serangan misil tersebut dilancarkan oleh Israel, lapor agensi berita SANA.
“Serangan Israel ke atas lapangan terbang T-4 dilakukan oleh pesawat F-15 yang membedil sebilangan peluru berpandu dari ruang udara Lebanon,” kata SANA yang memetik sumber tentera.
Serangan peluru berpan­du itu berlaku se­lepas AS dan Perancis berjanji akan mengambil tindakan tegas berkaitan serangan sen­ja­ta kimia di bandar dikuasai pemberontak di Ghou­ta Timur yang meragut sekurang-kurangnya 60 nya­wa. – AFP/Reuters