Syarikat Orion Span berkata, pihaknya akan melancarkan hotel berbentuk kapsul itu pada tahun 2021 tetapi mula dibuka kepada orang ramai menjelang tahun 2022.
Hotel yang dikenali sebagai Aurora Station itu bagaimanapun cuma mampu menempatkan enam orang iaitu empat pengunjung dan dua anak kapal pada satu masa.
“Kami membangunkan Aurora Station bagi menyediakan satu destinasi dan penginapan luar biasa di angkasa lepas yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana syarikat lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Orion Span, Frank Bunger.
Ia merupakan sebuah hotel luar biasa memandangkan para tetamu akan menginap dalam keadaan terapung selama 12 hari menginap di situ.
Bagaimanapun, kos penginapan bagi setiap individu bukan murah kerana mencecah AS$9.5 juta (RM36 juta) termasuk tiket pergi dan balik dari angkasa lepas selain dikehendaki membayar wang deposit sebanyak AS$80,000 (RM310,000).
Bagi memastikan keselamatan, setiap tetamu perlu menjalani latihan berada di angkasa lepas di sebuah pusat perkhidmatan Orion Span di Houston, Texas dekat sini. – Agensi