29 Disember 2017

Artikel Menarik (Disember 2017) - Israel mahu namakan stesen Trump




Projek rangkaian kereta api laju itu akan menghubungkan Tel Aviv dan Baitulmaqdis yang akan dinamakan dengan nama Trump.

TEL AVIV - Menteri Pengangkutan Israel memaklumkan pelan untuk membina terowong kereta api di bawah Baitulmaqdis dan menamakan stesen terletak bersebelahan kawasan Haram al-Sharif yang menempatkan Masjid al-Aqsa dengan nama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Yisrael Katz memberitahu rancangan itu, kelmarin kononnya sebagai penghargaan kepada jutawan hartanah itu kerana mengiktiraf Kota Lama itu sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lalu walaupun berdepan bantahan antarabangsa.
Difahamkan, stesen dan terowong yang dijadualkan dibuka pada tahun depan akan menjadi sebahagian daripada projek rangkaian kereta api laju yang menghubungkan bandar Tel Aviv dengan Baitulmaqdis.
Dalam perkembangan lain, Knesset meluluskan dana AS$11 juta (RM44.7 juta) untuk membiayai projek penempatan haram di Tebing Barat susulan mesyuarat antara Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan kumpulan pemimpin agama Yahudi.
Akhbar Haaretz melaporkan pertemuan tersebut bertujuan untuk meraih sokongan pemimpin agama Yahudi selepas Netanyahu kini berdepan siasatan dua kes rasuah.   
Selain itu, Parlimen Israel turut mengesahkan undang-undang yang menghalang polis mendedahkan maklumat tentang siasatan jenayah kepada umum yang didakwa ada kaitan dengan siasatan sedang dijalankan ke atas Netanyahu. - Agensi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan