08 November 2017

Artikel Menarik (November 2017) - Melaka pendaratan tertinggi penyu karah


Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Melaka ini memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kepentingan pemuliharaan penyu.



“PENYU, engkau ditangkap pemburu, engkau tertangkap di pukat, daging dan cengkerangmu diratah petualang, pembangunan yang bermaharajalela, melenyapkan habitat yang pilu, parah telur-telurmu juga menjadi santapan, oleh insan yang tidak berperikemanusiaan.”
Itulah antara bait-bait sajak yang dibaca oleh Nurul Natasha Sapri, 16.
Dengan penuh penghayatan dia mendeklamasikan sajak itu sehingga mendapat tepukan gemuruh rakan-rakannya yang juga merupakan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (Pembelajaran) Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru, Melaka.
Walaupun mengalami masalah dalam pembelajaran, Nurul Natasha bersama 15 rakannya yang lain ternyata teruja ketika mengunjungi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Alor Gajah.
Kunjungan mereka ke pusat konservasi itu adalah bagi menjayakan program kesedaran pemuliharaan penyu yang dianjurkan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia (WWF Malaysia) dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Hijau Asia (Green Growth Asia).
Pelbagai soalan diajukan oleh pelajar istimewa ini kepada penganjur program untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kehidupan penyu.
“Macam mana mahu bezakan penyu jantan dan betina?
“Telur penyu boleh dimakan atau tidak?” Itu antara sebahagian soalan yang dikemukakan oleh mereka.
Siapa sangka di bumi Hang Tuah itu terdapat satu kawasan yang menjadi tempat pendaratan penyu karah untuk bertelur.
Fungsi pusat itu adalah menjalankan program-program penetasan, pemuliharaan dan penyelidikan penyu di Melaka.
Pada masa yang sama pusat konservasi itu juga menyediakan maklumat dan aktiviti pendidikan serta kesedaran awam tentang pentingnya melindungi spesies penyu karah.
Penyu karah dikelaskan sebagai spesies yang terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).
Ia merupakan penyu tercantik di dunia berbanding spesies lain. Melaka pula menjadi destinasi pendaratan tertinggi di Asia Tenggara bagi hidupan laut berkenaan.
Rondaan
BARIYAH bertanggungjawab untuk memantau lokasi pementasan telur penyu.


Sama seperti penyu lain, spesies penyu karah ini boleh dibezakan melalui bentuk paruh mulutnya yang menyerupai paruh helang selain bahagian tepi cengkerangnya.
Dalam pada itu, Pegawai Konservasi Marin WWF Malaysia cawangan Melaka, Nurul Bariyah Babu berkata, menjadi rutin harian baginya dan beberapa staf pusat konservasi itu untuk menguruskan penetasan telur dan pelepasan penyu karah ke laut.
Menurutnya, setiap minggu mereka akan membuat penggalian lubang sebagai sarang untuk menetaskan telur penyu.
“Pada musim penyu karah ini bertelur antara bulan April sehingga September ada petugas yang melakukan rondaan setiap malam di sepanjang pantai bagi mengutip telur-telur penyu ini.
“Telur-telur yang dikutip kemudiannya akan dimasukkan ke dalam lubang yang telah kami sediakan di pusat konservasi ini untuk ia menetas,” jelasnya.
Kebiasaannya, masa yang diambil untuk penyu ini menetas adalah dalam tempoh masa dua bulan. Penyu yang menetas kebiasaannya akan turun ke laut pada waktu malam.
Pada waktu malam sepanjang musim penetasan akan ada petugas yang bertugas bagi membantu anak-anak penyu ini turun ke laut.
Jelas Bariyah, setiap lubang penetasan telur penyu akan direkodkan jumlahnya.
“Setelah seminggu tempoh penetasan, kami akan menggali kembali lubang bagi membantu anak penyu yang lemah untuknya keluar dari lubang tersebut.
“Pada masa sama, kami akan merekodkan jumlah telur yang menetas untuk mengira jumlah penyu yang berjaya turun ke laut,” katanya.
Tambahnya, lubang yang menjadi tempat penetasan penyu itu akan didedahkan pada cahaya matahari untuk mematikan bakteria.
Santuari

Beberapa lubang dibuat khas bagai pementasan telur penyu.


Dalam pada itu, Pegawai Kanan Konservasi Marin WWF Malaysia cawangan Melaka, Lau Min Min berkata, kawasan di Padang Kemunting itu sentiasa menjadi habitat pendaratan penyu karah untuk bertelur setiap tahun.
Jelasnya, WWF Malaysia telah bekerjasama dengan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu itu bagi pemeliharaan penyu karah.
“Hasil kajian mendapati penyu-penyu ini menjadikan kawasan perairan kepulauan Riau dan Singapura sebagai tempat untuk mencari makanan.
“Apabila tiba musim bertelur, kesemua penyu itu akan kembali mendarat di Padang Kemunting,” jelasnya.
Tambahnya, kawasan itu mesti diwartakan sebagai kawasan perlindungan penyu karah dan santuari penyu bagi memastikan spesies itu kekal mendarat untuk bertelur setiap tahun.
“Jika tempat pendaratan penyu untuk bertelur tidak dijaga dan diganggu, ada kemungkinan spesies ini tidak akan datang semula ke tempat tersebut.
“Ini amat merugikan kerajaan negeri khususnya bagi sektor pelancongan kerana penyu amat sensitif dengan keadaan pantai tempatnya bertelur,” ujarnya.
Dalam pada itu, Min Min menjelaskan, konflik antara manusia dengan penyu juga menjadi faktor yang menyukarkan proses pemeliharaan haiwan tersebut.
Menurutnya, kawasan pantai di Padang Kemunting ini merupakan salah satu destinasi pelancongan di negeri ini.
“Aktiviti yang dijalankan di sekitar pantai ini terutamanya pada waktu malam mengganggu pendaratan penyu untuk bertelur.
“Kami bukan menghalang aktiviti pelancongan di sekitar pantai ini. Namun mungkin langkah mengehadkan aktiviti di sekitar pantai ini pada waktu malam ketika musim penyu bertelur boleh dilaksanakan.
Kesedaran

KAWASAN pantai di Padang Kemunting yang menjadi kawasan pendaratan penyu untuk bertelur.


“Pada masa yang sama kami juga bekerjasama dengan pemilik-pemilik calet di sekitar kawasan pantai ini bagi mengurangkan pencahayaan bagi membolehkan penyu mendarat untuk bertelur,” jelasnya.
Tambahnya, amalan penduduk di negara ini yang kebiasaannya memakan telur penyu juga menjadi faktor kepada permasalahan berkurangnya jumlah penyu ini.
WWF Malaysia juga turut bekerjasama dengan penduduk-penduduk kampung di sekitar kawasan pantai itu untuk melakukan rondaan dan mengutip telur-telur penyu untuk dibawa ke pusat konservasi itu.
Penyu karah berhadapan ancaman kepupusan sekiranya habitat untuknya naik bertelur diganggu.
Oleh itu, program-program kesedaran harus sentiasa dilaksanakan bagi memberi didikan agar orang ramai bersama-sama memelihara lokasi pendaratan penyu untuk bertelur sebagai kesinambungan generasi haiwan tersebut.
Kerjasama yang dilaksanakan oleh WWF Malaysia dan Green Growth Asia dilihat menjadi platform terbaik untuk mendidik generasi muda untuk bersama-sama memelihara penyu.
Di bawah program Ecoschools yang dikendalikan oleh Green Growth Asia, pelajar-pelajar sekolah dibawa ke pusat konservasi penyu itu bagi mendekatkan diri mereka dengan haiwan tersebut.
Ketua Projek Ecoschools Melaka, Sri Themudu B. Baboo berkata, pihaknya bekerjasama dengan WWF Malaysia kerana mereka mempunyai kepakaran tentang pemuliharaan penyu itu.
Jelasnya, oleh itu pihaknya mengatur program melibatkan pelajar-pelajar sekolah di Melaka bagi mendidik mereka tentang kepentingan untuk memelihara penyu.
“Lebih mudah dan berkesan mendidik pelajar-pelajar sekolah tentang kepentingan untuk pemeliharaan penyu ini kerana mereka yang akan menyambung dan menentukan usaha konservasi haiwan ini pada masa hadapan.
“Oleh itu, kami berharap dengan penganjuran program sebegini ia boleh mendidik sikap prihatin generasi muda untuk bersama-sama memelihara penyu,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan negeri Melaka, Johari Tim, memberitahu, jumlah pendaratan penyu karah di Melaka bagaimanapun menurun kepada 383 dengan jumlah telur turut berkurang kepada 42,248 biji tahun lalu berbanding 418 pendaratan (47,148 biji telur) pada tahun sebelumnya.
“Jumlah penetasan telur penyu menurun kepada 27,285 biji tahun lalu berbanding 16,067 biji pada 2015 disebabkan pelbagai faktor termasuk perubahan ekosistem laut akibat aktiviti tambakan di sepanjang perairan Melaka,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1106&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4xrvnVp6x 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan