08 November 2017

Artikel Menarik (November 2017) - Kafe mesra anjing cetus polemik di Britain


SEORANG pengunjung tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama anjing peliharaannya ketika berkunjung ke kafe Pugs and Pals.


PEMILIK anjing di Britain mempunyai satu lagi tarikan baharu untuk menghabiskan masa dan bersantai bersama haiwan kesayangan mereka itu.
Dikenali sebagai Pugs and Pals, kafe mesra anjing itu dibuka khusus untuk anjing daripada baka pug.
Sejak dibuka, kafe yang terletak di Brick Lane, timur London itu sering menjadi tumpuan pemilik anjing baka berkenaan.
“Sangat mengujakan apabila anda dapat menghabiskan masa bersama anjing kesayangan di kafe atau restoran,” kata Sally Afrasiab, 46, yang memiliki anjing bernama Dude.
Dia merupakan salah seorang pengunjung tegar di kafe itu dan sering mengenakan sut kepada anjingnya sebelum memuat naik gambar mereka ke laman Instagram.
“Dude sangat suka mengenakan sut bertema, sama ada ketika parti atau sambutan hari Hallowen,” ujarnya sambil merenung anjing itu.
Bayaran masuk yang dikenakan sekitar AS$6.55 (RM28) dan dua kali ganda sekiranya pelanggan tidak membawa anjing.
Ketika pelanggan bersembang, anjing-anjing peliharaan mereka akan berkeliaran sambil menikmati pelbagai hidangan istimewa yang disediakan.
Seorang pelanggan, Lauren Lowes berkata, biarpun tidak membela anjing, dia mengakui, gembira kerana dapat bermesra dengan anjing-anjing di situ serta mengambil gambar.
“Saya suka anjing dan berminat membelanya, namun tugas yang tidak menentu menjadi penghalang. Jadi, saya datang ke sini untuk bermain dengan anjing-anjing. Semuanya sangat cantik dan manja,” katanya.
Aida Martinez pula berkata, ramai yang meminati anjing sebagai haiwan peliharaan terutamanya dari baka pug.
“Apabila membawa anjing saya bersiar-siar, saya sering ditahan dan diajak bergambar oleh orang ramai,” katanya yang membela Mia iaitu anjing peliharaan yang baru berusia lapan bulan.
Minat yang mendalam terhadap haiwan bermuka lebar dan berhidung penyek itu mendorong dia membuka kafe berkenaan bersama seorang lagi rakan.
Sebelum ini, terdapat beberapa buah bar menggunakan konsep sama di Shoreditch, yang terletak berhampiran London serta di beberapa bandar utama di Britain.
“Negara ini mempunyai ramai pencinta anjing. Pug merupakan spesies anjing yang bijak. Ia juga penyayang dan mudah mesra dengan spesies anjing lain serta kanak-kanak,” kata penyelaras kafe itu, Anushka Fernando.
Populariti

RUANG makan khusus dan diet istimewa antara kelebihan kafe Pugs and Pals.


Naib Presiden Persatuan Veterinar Britain, Gudrun Ravetz berkata, populariti baka anjing itu semakin meningkat sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
“Ramai selebriti kini membela pug yang menyamai baka French Bulldogs sebagai haiwan peliharaan kerana ia sangat comel,” katanya.
Anjing dari baka itu juga sering menjadi tumpuan di media sosial. Doug the Pug, misalnya mempunyai 2.9 juta pengikut di Instagram, 1.45 juta pengikut di Twitter dan pelbagai koleksi barangan di pasaran.
Popularitinya menyebabkan banyak syarikat memilih untuk menggunakan wajah anjing dari baka tersebut dalam pelbagai produk yang dipasarkan.
Ketika ini, jumlah baka anjing itu di Britain dianggarkan meningkat empat kali ganda dalam tempoh 10 tahun lalu. Tahun lalu, jumlahnya dianggarkan sebanyak 10,408 ekor.
Tidak hairanlah, pug merupakan baka keempat paling popular selepas Labradors, Cocker Spaniels dan French Bulldogs.
Bagaimanapun, pakar veterinar menganggap trend itu agak membimbangkan.
“Masyarakat fikir ia comel dengan muka lebar dan mata besar, namun ia mempunyai banyak masalah kesihatan,” kata Ravetz.
Kesukaran bernafas, masalah mata dan hernia cakram antara masalah utama baka haiwan itu.
“Masyarakat tidak mengetahuinya dan membuat kajian apa yang perlu mereka lakukan sebelum membeli anjing daripada baka ini.
“Mereka hanya beli disebabkan oleh rupanya dan mahu meniru gaya yang dilakukan selebriti kesayangan mereka,” katanya.
Persatuan itu kini aktif membuat promosi agar orang ramai membeli anjing daripada baka lain yang mempunyai tahap kesihatan lebih baik.
Seperti Fernando, Martinez memberi pelanggannya informasi mengenai isu-isu kesihatan haiwan itu dan bekerjasama dengan pelbagai persatuan berkaitan.
Bagaimanapun, Ravetz berkata, kewujudan kafe itu akan menyebabkan masalah obesiti dan memburukkan kesihatan anjing.
“Kaedah terbaik menunjukkan kasih sayang ialah membawa ia berjalan-jalan, bukan ke kafe,” katanya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1106&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz4xrvStaW3 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan