08 November 2017

Artikel Menarik (November 2017) - Percutian kereta api sewa khas





BAYANGKAN jika perjalanan sebuah kereta api hanya dipenuhi dengan kenalan satu pejabat atau sanak saudara tanpa ada penumpang lain yang tidak dikenali.
Pastinya perjalanan tersebut lebih menyeronokkan kerana dikelilingi oleh mereka yang dikenali, selain seseorang itu bebas untuk bergerak tanpa rasa kekok.
Seringkali jika melibatkan acara seperti hari keluarga, lokasi seperti kawasan perkelahan misalnya di tepi pantai atau inap desa menjadi pilihan.
Namun, bagaimana pula jika ia ­dilakukan di dalam gerabak kereta api yang sedang bergerak untuk pergi ke destinasi yang dirancang? Pas­tinya ia menjadi pengalaman menarik buat sesiapa sahaja untuk dinikmati.
Oleh kerana bayangan itulah, pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berbesar hati untuk menawarkan pengalaman berharga itu dengan menyediakan perkhidmatan sewa khas kereta api untuk percutian keluarga mahupun sesebuah organisasi.
Mungkin kedengaran agak pelik apabila sebuah kereta api disewa untuk percutian yang melibatkan keluarga besar, namun itulah antara pakej yang disediakan oleh KTMB dalam usaha untuk memberi ke­lainan kepada pengguna kereta api.
Menurut Ketua Unit Pengurusan Pelancongan dan Acara KTMB, Mohd. Noordin Kimi, KTMB telah menawarkan beberapa bentuk pakej perjalanan menggunakan kereta api secara sewa khas sejak tahun 2006 dan telah dinaik taraf bagi memberi pengalaman berbeza kepada pelanggan.
“Pakej sewa khas ini ditawarkan kepada penyewa untuk beberapa tujuan seperti mengadakan aktiviti seperti mesyuarat, lawatan berkumpulan, hari keluarga dan riadah,” ujar Mohd. Noordin.
Kehendak penyewa
Katanya lagi, idea untuk menawarkan perkhidmatan sewa khas kereta api tersebut adalah atas dasar untuk memberi peluang dan ruang terutama kepada sesebuah syarikat atau organisasi melakukan aktiviti riadah dalam kumpulan besar menggunakan perkhidmatan kereta api.
Ujarnya lagi, aktiviti itu dilihat sebagai suatu kelainan apabila mereka dapat berkumpul bersama-sama ke­luarga dalam satu perjalanan yang menjanjikan pengalaman berbeza.
“Inilah satu platform yang dikete­ngahkan dalam bentuk baharu apabila kita mengumpulkan sejumlah ahli yang ramai dalam satu perjalanan menarik dan menjadi kenangan buat mereka,” katanya.
Untuk perkhidmatan sewa khas kereta api tersebut, KTMB menyediakan keperluan berdasarkan permintaan pelanggan dengan mengambil kira keperluan yang mereka inginkan sepanjang perjalanan nanti.

RANI HISHAM (tengah) bersama kakitangan KTMB sedang menikmati minum petang di salah sebuah koc dalam kereta api sewa khas.


Mengikut keperluan yang dikehendaki penyewa, bilangan koc yang disediakan minumum sebanyak empat gerabak untuk 200 penumpang dan maksimum sebanyak 12 gerabak dengan kapasiti 800 orang akan digunakan mengikut kepeluan penyewa.
Pada masa sama, penyewa boleh menggunakan perkhidmatan sewa khas kereta api itu mengikut kehendak perjalanan mereka me­rangkumi destinasi yang mereka inginkan ke seluruh Malaysia yang dihubungkan dengan rangkaian KTMB sehingga ke Selatan Thailand.
Lebih menarik lagi, KTMB akan cuba memenuhi kehendak penyewa yang inginkan tema tertentu mengikut kesesuaian aktiviti yang dilakukan di dalam koc seperti sambutan majlis hari jadi dengan membuat rekaan dalaman mengikut tema yang diinginkan.
Secara pakej
Dalam pada itu, Mohd. Noordin mendedahkan bahawa permintaan untuk menyewa kereta api dilihat berjaya menarik minat beberapa organisasi yang ingin merasai pe­ngalaman yang ditawarkan.
Justeru, Mohd. Noordin me­nyarankan supaya pelanggan membuat tempahan awal supaya pihaknya dapat melakukan persediaan sebaiknya bagi memenuhi keperluan pelanggan.
Pengalaman kru Jurnal berada di dalam kereta api sewa khas sempena mengikuti perjalanan KTMB ke Selatan Thailand baru-baru ini amat mengagumkan.
Pada bahagian setiap koc kereta api itu terdapat beberapa kemudahan selain koc kerusi empuk yang boleh digunakan oleh pelanggan seperti bilik mesyuarat, koc hiburan, koc santai, ruangan tamu serta beberapa buah bilik tidur berserta katil.
Juga turut disediakan adalah sebuah bilik khas yang dihias dengan perincian mewah dan eksklusif umpama seperti di dalam sebuah bilik hotel.
Harga yang dikenakan bermula RM20,000 bergantung pada bentuk perjalanan yang dibuat secara pakej merangkumi makan dan minum, tempoh sewaan, jumlah koc yang digunakan, jarak perjalanan serta penginapan hotel apabila tiba di destinasi yang ingin dituju.
Untuk penambahan koc, har­ganya adalah antara RM3,000 hingga RM5,000 sebuah.

PARA wakil agensi pelancongan dan media dari Thailand berpeluang merasai pakej menaiki KTMB ke Kuala Lumpur baru-baru ini.


Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hisham Samsudin menjelaskan, idea untuk mewujudkan perkhidmatan sewa khas kereta api itu direalisasikan selepas KTMB berada di dalam industri pengangkutan selama 132 tahun.
Menjual pengalaman
Tambahnya lagi, perkhidmatan KTMB diselaraskan mengikut peredaran semasa seiring dengan keperluan dan kesesuaian masa dan sebagainya.
“Walaupun KTMB telah pun mempunyai perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) yang lebih ­moden dan laju, terdapat segelintir golongan yang merindui pengalaman menaiki koc lama.
“Sebab itulah kita menggunakan koc lama, namun telah diubah suai dan dinaik taraf bagi mengembalikan nostalgia kepada mereka,” ujar Rani.
Secara tidak langsung, perkhid­matan tersebut dilihat umpama menjual pengalaman menarik untuk dirasai pelanggan bersama keluarga dalam satu perjalanan yang penuh dengan kenangan.
Perkhidmatan sewa khas kereta api itu menawarkan pelbagai destinasi yang mempunyai jaluran landasan iaitu dari Johor Bahru sehingga Padang Besar, Perlis atau jaringan ke Pantai Timur.
Bagi perjalanan tersebut, pe­langgan sendiri boleh menetapkan waktu perjalanan kereta api me­nuju destinasi yang dirancang.
“Apa yang penting, pelanggan dapat sampai ke destinasi mereka dari titik A ke B dengan selamat sambil menikmati pengalaman bersama KTMB,” jelas Rani.
Menggunakan pendekatan The Train is Yours, Rani meletakkan harapan tinggi melalui perkhidmatan kereta api sewa khas ini ia dapat memberi pengalaman istimewa kepada pengguna terutama bagi mereka yang tidak pernah merasai perjalanan secara berkumpulan menggunakan tren.
Bagi sebarang pertanyaan atau maklumat untuk tempahan, pe­langgan boleh menghubungi mana-mana stesen KTMB berhampiran atau menghubungi unit KTMB Holiday di talian 03-2279 8867.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4xruzssVs 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan