08 November 2017

Artikel Menarik (November 2017) - Citah diancam kepupusan di Iran


Kekurangan makanan antara punca kepada haiwan ini pupus.


AHLI-AHLI pencinta alam di Iran menggesa pihak-pihak bertanggungjawab untuk melakukan usaha melindungi citah iaitu harimau Asia yang semakin diancam kepupusan di dunia itu.
Dianggarkan lebih 50 ekor haiwan itu berhadapan ancaman terutamanya menjadi mangsa dilanggar kenderaan di jalan raya.
“Kali terakhir kami dapat mengambil gambar seekor citah di sini ialah dua tahun lalu. Namun, kami tidak pasti sama ada haiwan itu masih wujud di rantau ini atau sebaliknya,” jelas Timbalan Ketua Projek Perlindungan Kebangsaan, Rajab Ali Kargar.
Dia bertugas di sebuah kem yang pernah menjadi kawasan pemburuan haiwan itu di wilayah Garmsar di daerah Semnan yang terletak sekitar 120 kilometer dari selatan Tehran, Iran.
Tumpuan penubuhan kem itu adalah untuk memberi fokus terhadap perlindungan haiwan tersebut.
Citah merupakan haiwan darat terpantas di dunia dan ia mampu berlari pada kelajuan sehingga 120 kilometer sejam serta habitat mereka banyak terdapat di bahagian timur India sehingga pantai Atlantik, Senegal.
Jumlah haiwan itu di bahagian selatan Afrika masih stabil tetapi spesies tersebut hampir berkurangan di utara Afrika dan Asia.
Pemburu haram
Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar menjelaskan, spesies Acinonyx jubatus venaticu yang lazimnya dikenali sebagai citah Asiatik itu amat terancam disebabkan oleh aktiviti pemburuan haram.
Iran melancarkan satu projek perlindungan haiwan itu pada tahun 2001 dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Apabila kami menyedari bahawa Iran ialah negara terakhir yang mempunyai spesies citah Asia, program ini terus dilaksanakan,” jelas Hooman Jokar yang mengetuai projek itu.
Melalui projek itu, satu rangkaian perlindungan yang dianggotai seramai 92 warden penjaga taman terlatih ditugaskan untuk memantau kawasan seluas enam juta hektar di bahagian tengah dan utara Iran.
Jelas Hooman, setiap hari pasukan warden akan melakukan rondaan beratus-ratus kilometer untuk mengesan haiwan liar tersebut.
Menurutnya, terdapat lebih 20 penemuan haiwan itu di wilayah Semnan pada tahun lalu.
“Ramai berfikir bahawa tanpa projek ini, citah akan hilang sepenuhnya dari Iran,” kata Hooman.
Perang antara Iran dan Iraq yang berlaku sekitar tahun 1980-an telah mengorbankan haiwan itu terutamanya di sepanjang sempadan barat negara tersebut.
Tiga masalah utama yang menimpa citah Asiatik pada masa lalu adalah dilanggar kereta, dibunuh petani dan kekurangan makanan.
“Apabila kami melancarkan projek itu, bahaya terbesar yang dihadapi oleh haiwan ini adalah ketiadaan mangsa buruan yang boleh dijadikan makanan,” jelas Hooman.
Pasukan itu kemudiannya memberi tumpuan kepada menambah bilangan rusa kecil dan arnab untuk dijadikan makanan haiwan tersebut serta usaha itu dilihat berjaya.
Bagaimanapun, kereta dan petani tetap menjadi ancaman utama haiwan itu.
“Hari ini, citah meninggalkan habitat mereka dan mendekati kampung-kampung.
“Petani dan anjing mereka membunuh citah untuk melindungi kawasan masing-masing,”jelas Hooman.
Tambahnya, sekawan anjing boleh mengalahkan seekor citah itu.
Selain itu, sekurang-kurangnya 20 citah terbunuh akibat dilanggar kereta sejak 16 tahun lalu.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap haiwan itu, langkah paling berjaya yang dilakukan oleh projek tersebut adalah dengan meletakkan imej citah di jersi bola sepak kebangsaan pada kempen Piala Dunia dan Sukan Asia 2014.
“Langkah itu mempunyai kesan luar biasa dalam mendidik dan menggerakkan orang untuk bersama-sama melindungi haiwan ini.
“Sekarang, semua orang tahu haiwan ini berada dalam bahaya,” kata Hooman.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz4xruWb7cW 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan