07 November 2017

Artikel Menarik (Oktober 2017) - Terapung 2,438 meter guna 100 biji belon


MORGAN pada mulanya menjalankan aktiviti terbang di ruang angkasa untuk mengisi waktu lapang.


PADA tahun 2009, orang ramai melahirkan rasa kagum tatkala menonton filem animasi Pixar, UP yang menayangkan seorang lelaki tua terbang bersama rumahnya dengan hanya menggunakan ratusan belon helium.
Walaupun ia hanyalah merupakan filem animasi, namun siapa sangka, seorang lelaki baru-baru ini menjadikan filem tersebut sebagai sumber inspirasi untuk terbang di ruang angkasa.
Percaya atau tidak, lelaki Inggeris yang dikenali sebagai Tom Morgan itu berjaya terbang setinggi 2,438 meter dari aras tanah dengan hanya menggunakan 100 biji belon helium berukuran 25 sentimeter yang diikat pada sebuah kerusi.
Morgan yang juga merupakan pemilik syarikat pengembaraan The Adventurists di Bristol, England berkata, pada mulanya, dia menggunakan kaedah tersebut untuk terbang secara suka-suka bagi mengisi waktu lapang.
Bagaimanapun, sebaik menge­tahui ia mendapat permintaan daripada orang ramai, dia mula menawarkan servis tersebut kepada umum.
“Saya mendapat inspirasi untuk melakukan pengembaraan menggunakan belon daripada filem kartun animasi UP,” jelasnya.
Kerusi
Menurut Morgan, ketika aksi dia terbang menggunakan 100 biji belon yang setiap satunya mempunyai 6.6 m3 gas helium tersebar di laman sosial, ia mendapat kritikan hebat daripada orang ramai.
“Biarpun begitu, segelintir daripada mereka memberi respons yang begitu positif dan ingin mencuba sendiri pengalaman tersebut.
“Saya kemudiannya mula menawarkan perkhidmatan tersebut dalam syarikat ini,” jelasnya.
Walaupun nampak menarik, namun aktiviti terbang menggunakan belon helium yang dilakukan oleh Morgan dan syarikatnya itu begitu mencabar kemampuan diri individu.
Ini kerana, individu perlu duduk di atas sebuah kerusi sebelum diikat dengan 100 biji belon bagi membolehkan mereka terbang.
“Ramai yang mengatakan bahawa idea ini gila kerana individu akan terbang setinggi 2,438 meter dari aras tanah dengan hanya duduk di atas kerusi.
“Dakwa mereka, aktiviti ini mengarut dan mengundang maut.

SERATUS biji belon boleh menerbangkan individu hingga ketinggian 2,438 meter.


“Tetapi, percayalah, ia tidak membahayakan atau mendatangkan sebarang kecederaan setakat ini. Malah, kami telah mengujinya beberapa kali sebelum dibuka kepada orang ramai,” jelasnya.
Dua bulan
Ujar Morgan lagi, bagi memastikan pengembaraan itu benar-benar selamat, dia telah melakukan ujiannya selama dua bulan.
“Kali pertama saya menjalankan ujian ialah dengan melakukan penerbangan di Gaborone, Botswana yang terletak di selatan benua Afrika.
“Kami sengaja memilih Botswana kerana kawasannya luas dan memudahkan kami untuk memantau tempoh waktu belon tersebut diterbangkan serta mendarat dengan selamat.
“Bagaimanapun, selepas dua minggu menjalankan percubaan, kami masih gagal melakukan pendaratan dengan selamat. Kami kemudian memindahkan lokasi pengembaraan ke utara Johannesburg, Afrika Selatan,” jelasnya,
Sebaik fasa ujian keselamatan selesai, Morgan melakukan pe­nerbangan pertamanya pada 23 Oktober lalu.
Pada waktu itu, Morgan mengikat dirinya di atas kerusi yang dipenuhi dengan gantungan belon.
Jelas Morgan, berbekalkan 100 biji belon, dia berjaya terbang selama dua jam pada ketinggian 2,438 meter dan mengembara sejauh 25 kilometer sekitar Johannesburg.
“Sebaik dirinya terapung di ruang udara, perasaan takut dan gayat mula menguasai diri. Lebih-lebih lagi apabila angin bertiup dengan kencang pada waktu itu.
“Bagaimanapun, saya cuba menenteramkan diri bagi memastikan tiada perkara buruk berlaku.
“Sebaik melihat diri berada pada ketinggian 2,438 meter, saya mula memotong satu demi satu belon sehingga kerusi tersebut selamat mendarat di atas tanah,” jelasnya.
Kejayaan pengembaraan belon yang ditawarkan syarikatnya di Bristol itu menjadikan ia diiktiraf sebagai antara salah satu aktiviti lagak ngeri di England.
Menurut Morgan, selain pengembaraan belon, The Adventurists turut menganjurkan beberapa aktiviti aksi lagak ngeri lain seperti berjalan di Banjaran Himalaya dan perlumbaan motosikal di tasik beku terbesar dunia yang terletak di Rusia iaitu Tasik Baikal.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm#ixzz4xlnKoBCu 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan