07 November 2017

Artikel Menarik (Oktober 2017) - Waspada aplikasi al-Quran palsu



Al-Quran yang dimuat turun melalui internet tidak diketahui kesahihan sumbernya dan mungkin telah dimanipulasi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. – Gambar hiasan


AL-QURAN merupakan mukjizat teragung daripada Allah SWT kepada umat Islam.
Ia diturunkan dalam bentuk wahyu ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril secara beransur-ansur selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Seperti kitab-kitab sebelumnya iaitu Taurat, Zabur dan Injil, al-Quran menjadi panduan kepada perjalanan hidup manusia sama ada di dunia mahupun akhirat.
Maka pengetahuan yang terkandung dalam al-Quran bukan sahaja diterjemahkan melalui hukum syarak tetapi menyentuh ilmu pengurusan diri seperti sains, matematik serta perubatan.
Oleh yang demikian, setiap umat Islam wajib menghayati setiap patah ayat al-Quran dengan cara membaca, mendengar atau mempelajarinya bagi mencari khazanah mukjizat yang terdapat dalam kitab suci itu.
Pada hari ini, selain dicetak, al-Quran juga wujud dalam bentuk digital. Malah, dengan kecanggihan teknologi juga membolehkan kitab suci itu diakses menerusi laman web atau pelbagai aplikasi menerusi platform Play Store serta Apple App Store.
Difahamkan, terdapat kira-kira 240 aplikasi al-Quran digital yang boleh didapati di kedua-dua platform itu.
Persoalannya, sejauh manakah keaslian al-Quran digital ini memandangkan terdapat pelbagai kemungkinan ia telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, dalam konteks di Malaysia, penerbitan al-Quran perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebelum ia dicetak serta dijual kepada orang ramai.
Katanya, ia termasuk versi al-Quran digital yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat tempatan.
“Bagaimanapun, aplikasi al-Quran secara dalam talian tidak termaktub dengan peraturan tersebut.
“Ini kerana laman web atau platform seperti Play Store dan Apple App Store berasal daripada sumber terbuka dan sesiapa sahaja boleh menghasilkannya dengan pelbagai nama.
Berhati-hati

Umat Islam digalakkan mempelajari al-Quran secara talagi atau berguru untuk mengelak kesilapan semasa proses bacaan dan tafsirannya. – Gambar hiasan


“Justeru, umat Islam disarankan lebih berhati-hati dan sentiasa merujuk kepada agensi berkaitan sekiranya ragu-ragu dengan kandungan serta tafsirannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Antara aplikasi al-Quran yang didakwa mempunyai kandungan yang mengelirukan ialah The Holy Quran Arabic Text and English Translation yang tersebar di kedua-dua platform tersebut beberapa tahun lalu.
Difahamkan, aplikasi itu dihasilkan oleh pengikut kumpulan tertentu yang mengamalkan ajaran bertentangan dengan Islam.
Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Muhidin Mokter berkata, langkah terbaik untuk mempelajari al-Quran ialah secara talaqi atau berguru.
Ini kerana sebarang kesilapan yang berlaku semasa proses bacaan dan tafsirannya dapat diperbetulkan oleh guru al-Quran.
“Mempelajari al-Quran bukan semudah belajar ABC, kena tahu tajwid, kena tahu hukum dan maksud serta menerusi guru sahaja kita dapat menguasainya.
“Jika kita belajar daripada aplikasi al-Quran, tiada siapa yang memeriksa atau menegur kesalahan kita dan jika berterusan melakukan kesilapan, maka kita akan dapat dosa, bukan pahala,” katanya.
Menurutnya, mempelajari al-Quran menerusi aplikasi yang dimuat turun dari internet juga berisiko kerana tiada siapa yang boleh menyelia dan memastikan kesahihan kandungannya.
Ia berbeza berbanding al-Quran yang dicetak kerana penerbitannya perlu mendapat kelulusan daripada agensi berkaitan di negara ini.
“Mungkin tidak semua aplikasi berkenaan palsu, namun sebagai umat Islam kita perlu sentiasa berwaspada dan merujuk kepada sumber yang sahih.
“Ini kerana aplikasi sedemikian mudah dimanipulasi pihak tertentu yang mahu memesongkan akidah umat Islam secara halus.
“Kita tidak tahu siapa mereka, mungkin kalangan bukan Islam atau pengikut kumpulan tertentu yang mahu menyaksikan umat Islam berpecah-belah, ini strategi mereka,” ujarnya.
Pada perkembangan sama, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut menasihatkan umat Islam yang musykil dengan kandungan aplikasi al-Quran secara dalam talian supaya merujuk kepada pihak yang lebih berpengalaman.
Katanya, umat Islam tidak boleh menerima bulat-bulat apa yang ditulis di dalam aplikasi itu sekiranya berasa ragu-ragu sebaliknya perlu mendapat penjelasan daripada pihak yang lebih arif tentang ilmu berkenaan.
“Pengguna boleh menggunakan rujukan tertentu seperti Tafsir Pimpinan Ar Rahman yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambah Mohamad Shukri, usaha menyeleweng ajaran Islam terutamanya menerusi al-Quran telah berlaku sejak zaman pimpinan nabi terdahulu.
Bagaimanapun, usaha itu kurang berhasil kerana al-Quran berperanan sebagai pembimbing umat Islam, sekali gus menyaksikan penyelewengan yang dilakukan tidak tercapai.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=1106&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4xlmoxLXx 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan