28 September 2017

Artikel Menarik (september 2017) - Kedai aiskrim unik Venezuela gulung tikar


Kedai aiskrim, Heladeria Coromoto di Merida, Venezuela terpaksa ditutup ekoran kesukaran mendapatkan bekalan mentah seperti gula dan susu.


KEDAI aiskrim popular, Heladeria Coromoto di Merida, Venezuela yang menawarkan pelbagai perisa seperti coklat, vanila, bawang putih, avokado dan juga sotong kurita kini tiada lagi.
Ia ekoran kurangnya bekalan seperti susu dan gula bagi memproses perisa-perisa berkenaan.
Ketika Manuel Da Silva, 86, membuka kedai pertamanya itu pada tahun 1981, Heladeria Coromoto hanya menjual perisa aiskrim seperti vanila, strawberi, coklat dan kelapa.
“Hinggalah pada suatu hari, Da Silva mencipta perisa avokado kepada pelanggannya dan ia ternyata berjaya.
“Dia mempunyai idea yang gila dan mula mencuba dengan daging dan ikan pula bagi mencipta perisa baharu,” kata Jose Ramirez yang merupakan menantu Da Silva dan turut mengusahakan kedai itu.
Menurut Ramirez, bapa mertuanya itu mungkin telah bersara daripada menjalankan perniagaan itu tetapi dia bukanlah seorang lelaki yang cepat berputus asa.
“Perisa baharu pasti akan diciptanya. Dia pernah bereksperimen mencipta perisa bawang putih dan akhirnya tercipta aiskrim berperisa seperti itu.
“Imaginasi Da Silva tidak mempunyai batas dan jumlah perisa unik serta aneh sentiasa bertambah, sama seperti reputasinya,” ujar Ramirez lagi.
Sementara itu, bagi seorang pemuda tempatan, Luis Marquez berkata, ramai orang datang ke bandar ini semata-mata untuk mencuba pelbagai perisa aiskrim yang pelik di Heladeria Coromoto.
Pada tahun 1991, hanya satu dekad selepas pembukaan kedai berkenaan, Heladeria Coromoto telah mencipta rekod dunia Guinness dengan menyediakan paling banyak perisa aiskrim di dunia iaitu 386 perisa.
Tetapi Da Silva yang juga seorang imigran Portugis tetap berinovasi dan mencipta perisa demi perisa baharu yang sesuai dengan cita rasa orang ramai.
Dia kemudian muncul dengan perisa-perisa baharu seperti kacang hitam, cili dan ubi kayu sehingga berjaya menghasilkan 860 perisa yang mengagumkan.
Kedai aiskrim itu juga menjadi daya tarikan utama di Merida iaitu sebuah bandar dengan populasi 450,000 orang penduduk. Bandar itu juga dikenali dengan kereta kabel tertinggi di dunia iaitu pada setinggi 4,765 meter dari paras laut.
Selain itu, bandar itu juga mendapat rating yang tinggi dan disyorkan dalam destinasi pelancongan seperti Lonely Planet dan Trip Advisor.
Tetapi dengan krisis ekonomi Venezuela yang semakin meruncing sejak kejatuhan harga minyak mentah pada 2014, menyebabkan sumber bahan mentah seperti gula dan susu dalam beberapa tahun kebelakangan ini sukar diperolehi.
“Selama bertahun-tahun kami mengalami kekurangan bahan mentah dan terpaksa membelinya di pasaran gelap. Kami juga tidak boleh mendapatkan produk daripada pembekal tradisional.
“Da Silva selalu berjaya mengatasinya sehingga sekarang, namun keadaan menjadi semakin rumit pada tahun ini,” ujar Ramirez yang berusia 56 tahun.
Protes
Seperti kebanyakan orang di Venezuela yang berperang lapar dan kekurangan zat makanan akibat krisis ekonomi dan politik, begitu juga yang sedang dialami kedai popular itu.
Katanya, krisis ekonomi di Venezuela yang merupakan negara pengeksport minyak begitu serius sejak berbulan-bulan lalu sehinggakan pernah terjadi protes ganas yang mengakibatkan 125 orang awam terbunuh.
“Kami telah berusaha sedaya upaya yang mungkin untuk terus maju, tetapi masanya sudah tiba, kami tidak lagi dapat bertahan.
“Kami cuba mengekalkan harga yang berpatutan, tetapi makan aiskrim adalah suatu lambang kemewahan bagi kebanyakan orang,” kata Ramirez.
Tambah Ramirez lagi, jualan aiskrim jatuh separuh daripada kebiasaan antara 2015 dan 2016, dan separuh lagi pada tahun lalu.
“Sebelum ini, pada musim kemarau, ia seperti menjadi kegilaan ramai, kedai kami sentiasa penuh tetapi kini suasana berkenaan sudah hilang,” ujarnya.
Di Heladeria Coromoto, dua sudu aiskrim bernilai 5,000 bolivar atau AS$1.50 (RM6.30).
Begitupun, ia bukan satu jumlah yang kecil bagi rakyat Venezuela yang mana gaji minimum bulanan mereka ialah 136,543 bolivar iaitu sekitar AS$40 (RM168), dengan tambahan baucar diterima daripada kerajaan 189,000 bolivar atau AS$56 (RM235).
Ini bermakna, bagi pasangan yang mempunyai dua orang anak, mereka hanya boleh berbelanja lebih daripada satu per enam daripada gaji minimum untuk menikmati aiskrim sekeluarga.
Pada hari Isnin pertama bulan ini, Ramirez telah menutup Heladeria Coromoto, kerana mustahil untuknya mendapatkan bahan mentah aiskrim seperti gula dan susu pada harga kompetitif. Itu belum dikira lagi bahan-bahan lain seperti sotong.
“Kedai ini telah menjadi tradisi untuk para pelancong sejak bertahun-tahun lamanya, kini ia telah ditutup dan membuat saya jadi sedih,” kata seorang penduduk tempatan, Mina Perez, yang berdiri di luar pintu hadapan kedai aiskrim berkenaan.
Hidup dalam kekurangan telah menjadi rutin harian bagi rakyat Venezuela sejak krisis ekonomi melanda.
Barisan rak-rak kosong menyambut mereka di kedai-kedai runcit. Begitu juga episod yang tidak berkesudahan di depan farmasi dan rata-rata mereka mencari makanan atau ubat bagi hari-hari yang mendatang.
Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Venezuela menghadapi inflasi terburuk di dunia iaitu sebanyak 720 peratus pada tahun ini.
Berbalik kepada kisah kedai aiskrim itu, tahun lalu, ia tidak lagi menguntungkan dan Ramirez terpaksa menutupnya selama tiga bulan. Namun, dia berjaya membukanya semula akhir tahun lalu.
Katanya, kini aiskrim berada dalam senarai keutamaan yang paling bawah untuk kehidupan orang ramai, namun dia mengimpikan kebangkitan pada masa akan datang.
“Siapa tahu, mungkin kami boleh membukanya semula sekali lagi!” ujarnya dengan penuh semangat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4u144W6e5 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan