28 September 2017

Artikel Menarik (September 2017) - Semarak monodrama Malaysia, Indonesia, Brunei



Berbekalkan hanya sebuah tiang lampu dan sebuah beg guni yang mengandungi beberapa tin kosong, aktor Sani Sudin bermonolog dalam karya sama judulnya dengan visual yang diberi kepada penonton iaitu Di Bawah Tiang Lampu.
Tidak perlu pentas ekstravaganza atau kostum rekaan pereka terkenal, persembahan Sani selama 30 minit benar-benar menusuk ke jiwa setiap penonton yang hadir.
Lontaran dialog yang keluar daripada mulut lelaki itu penuh dengan maksud mendalam, tetapi mudah difahami dan dihayati. Mesej berkenaan jati diri yang ingin disampaikan menerusi teater monodrama yang dilakonkannya sendiri menerusi watak orang gila di jalanan kota Kuala Lumpur pantas melekap dalam hati.
Itu antara rasa yang masih tertinggal dalam kotak memori penulis ketika menonton teater monodrama tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Brunei yang dianjurkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) selama tiga hari bermula 15 sehingga 17 September lalu di Laman Wau, Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
Pementasan itu diadakan sempena DiverseCity: Kuala Lumpur International Art Festival 2017 yang berlangsung dari 31 Ogos lalu sehingga 1 Oktober depan.
Berbicara lebih lanjut tentang seni monodrama, Sani yang juga pengarah untuk karya Di Bawah Tiang Lampu enggan membuat perbandingan antara teater monodrama dan teater komersial yang lebih popular serta mendapat sambutan penonton.
“Terpulang kepada penerimaan masing-masing. Bagi saya setiap karya tidak kira teater monodrama dan teater komersial berskala besar yang biasanya menggunakan pelakon popular, kedua-duanya tetap mempunyai mesej yang ingin disampaikan kepada penonton,” kata Sani yang juga seorang pelukis dan penulis buku.
Sani yang juga anggota kumpulan Kopratasa bagaimanapun tidak menafikan persembahan teater monodrama lebih mudah. Ia tidak perlu bajet yang besar atau pelakon yang ramai untuk menyampaikan mesej. Contohnya seperti karya Di Bawah Tiang Lampu nukilannya sendiri yang diambil daripada pengalaman hidup.
“Sama seperti seni teater lain, monodrama juga memerlukan latihan dan skrip. Bezanya untuk karya ini sayalah pengarah, penulis skrip dan pelakon dalam masa sama. Kadang-kala sewaktu di jalanan lagi, saya sudah boleh berlatih dan persembahkan kepada orang ramai,” katanya yang bakal mengeluarkan buku monodrama berjudul Monolopong.
Berkongsi pengalamannya menyertai pementasan monodrama dengan dua lagi aktivis teater terkenal iaitu Indonesia, Ken Zuraida dari Brunei, Zefri Ariff, Sani meluahkan rasa terkejut apabila dipilih oleh pihak ITBM untuk mewakili Malaysia pada acara tersebut.
“Sebenarnya, saya amat terkejut kerana ini kali pertama diminta membuat persembahan. Apapun, saya seronok kerana dapat bertemu dan bertukar pendapat dengan rakan aktivis teater yang merupakan nama besar di negara masing-masing.
“Jika diberi peluang dan kesempatan, saya berharap pementasan gabungan seperti ini dapat dibuat di negara mereka pula. Secara tidak langsung kita boleh membawa seni Malaysia merentasi sempadan,” ujar Sani yang sehingga kini masih menjadikan jalanan sebagai dewan kuliah terbaiknya.
Pengurusan teater
Menyambung bicara tentang teater monodrama, pengarah Zefri Ariff yang mewakili Brunei menerusi karya Cakra menjelaskan, kejayaan sebuah teater tidak kira berskala besar atau kecil terletak kepada pengurusannya.
Malah, tidak semestinya teater komersial berskala besar yang mempertaruhkan barisan pelakon popular akan sentiasa laris dan mendapat pulangan menguntungkan. Semuanya terletak kepada kebijaksanaan pengurusan produksi sebuah pementasan teater.

Pengarah Pentas Monodrama dari tiga negara. Dari kiri; Sani Sudin (Malaysia), Ken Zuraida (Indonesia) dan Brunei diwakili oleh Zefri Ariff semasa DiverseCity: Kuala Lumpur International Art Festival 2017 baru-baru ini.


“Dalam seni tiada beza kerana tujuannya sama iaitu menghiburkan, menyampaikan mesej dan ekspresi diri. Ia bergantung bagaimana sesuatu karya itu diterjemah dan dipersembahkan kepada masyarakat.
“Karya yang kecil seperti monodrama, jika pengurusannya cekap dan bagus, ia juga boleh menjadi sebuah teater komersial,” ujar Zefri yang juga seorang penulis dan aktivis teater terkenal dari negara tersebut.
Sungguhpun teater monodrama agak kurang popular dalam kalangan masyarakat, kata Zefri, seni monodrama sebenarnya sudah lama bertapak dalam sejarah dan budaya Melayu.
“Jika kita melihat sejarah banyak seni monolog telah dibuat oleh orang Melayu antaranya wayang kulit. Walaupun mempunyai banyak karakter, tetapi ia dimainkan oleh orang yang sama.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab aktivis teater untuk cuba cara terbaik memberi informasi tentang teater monodrama kepada masyarakat supaya mereka sedar bahawa sebagai penonton mereka mempunyai banyak pilihan. Tidaklah mereka menerima bulat-bulat satu jenis seni teater sahaja,” kata Zefri.
Tambah Zefri seperti di Malaysia, teater monodrama juga masih dilihat sesuatu yang baharu di Brunei. Namun, seni monodrama masih boleh bernafas kerana terdapat orang perseorangan yang tanpa lelah mempersembahkan seni itu pada masyarakat.
Bagaimanapun untuk kesan jangka panjang tegas Zefri, didikan daripada peringkat rendah iaitu sekolah perlu diterapkan supaya seni teater khususnya monodrama tidak hilang ditelan zaman.
Seni harus mudah difahami
Beralih kepada sutradara Ken Zuraida yang mewakili Indonesia menerusi karya Cemarawungu yang dilakonkan oleh Ambadewi Soeroso, beliau mengakui teater bersifat komersial biasanya tidak mempunyai mesej yang mendalam seperti monodrama yang lebih pengisian.
Namun, enggan mengkritik terlalu keras, kata Ken yang juga isteri kepada sasterawan terkenal Indonesia, Allahyarham W.S Rendra, kedua-dua bidang seni sama ada komersial atau tidak mempunyai kepentingan tersendiri.
“Karya komersial kadang-kala dibuat tanpa difikirkan secara mendalam, biasanya luaran sahaja terlihat indah, tetapi isinya kosong. Berbeza dengan monodrama yang pengisian penuh walaupun hanya dengan seorang pelakon.
“Apapun apabila berbicara tentang seni sebagai pembikin karya, saya selalunya menitikberatkan karya yang mudah difahami penonton. Jika terlalu berseni sehingga orang yang menontonnya tidak faham, tiada gunanya juga.
“Jika terlalu komersial, sehingga tiada satu mesej yang dapat penonton bawa pulang juga tidak boleh kerana seni itu bagi saya satu tanggungjawab bukan hiburan semata-mata,” luah Ken.
Apapun bagi Ken, tidak kira teater komersial atau monodrama yang berskala kecil, kedua-duanya memerlukan keperluan yang sama seperti publisiti dan bajet.
“Walaupun teater monodrama berskala kecil, itu tidak bermakna ia tidak perlu publisiti kerana apa sahaja kerja seni perlu bajet. Bezanya teater monodrama, isi kandungan dan kemasannya tidak boleh ditokok tambah seperti teater berskala besar,” kata Ken.
Menyentuh tentang karya Cemarawungu yang dipersembahkan di Laman Wau, kongsi Ken ia berkenaan nasib wanita yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Katanya, isu berkaitan wanita cukup dekat dengan jiwanya apatah lagi masalah tersebut tidak pernah mempunyai pengakhiran.
“Sebenarnya, isu pemerdagangan manusia membabitkan wanita bukan sahaja masalah berat di Indonesia, tetapi juga banyak negara di dunia.
“Cuma sebagai aktivis teater, menjadi tanggungjawab saya untuk membawa isu seperti ini di atas pentas supaya masalah ini lebih mendapat perhatian masyarakat,” kata Ken.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4u14P5nwk 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan