28 September 2017

Artikel Menarik (September 2017) - Iktibar jeritan di sebalik jeriji besi





DENDAM kesumat sekumpulan tujuh orang remaja lelaki berusia 11 hingga 18 tahun diketahui menjadi punca kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur pada 14 September lalu.
Enam daripada kumpulan remaja yang dilabel sebagai Geng Budak Jahat oleh masyarakat setempat itu didapati positif dadah jenis ganja. Selain itu, dua daripada mereka juga memiliki rekod lampau jenayah mencuri dan melakukan rusuhan.
Sebagai rekod, dalam kebakaran yang bermula pukul 5 pagi itu, seramai 21 pelajar dan dua guru maut manakala keseluruhan tingkat tiga bangunan tiga tingkat tersebut musnah.
Insiden kebakaran itu merupakan kes kedua terbesar pernah berlaku melibatkan sekolah agama di negara ini. Peristiwa sama pernah menggemparkan negara 28 tahun lalu di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah dalam kejadian pada 22 September 1989 yang mengorbankan 27 pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 18 tahun.
Berbalik kepada kejadian yang menimpa pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, meskipun diketahui angkara perbuatan khianat, aspek keselamatan tidak boleh diabai dan dipandang ringan sebaliknya perlu ditambah baik agar kejadian sedemikian dapat dibendung pada masa hadapan.
Seperti yang dilaporkan media tempatan, kebakaran tersebut dipercayai bermula di bahagian pintu masuk yang juga satu-satunya pintu keluar masuk pusat tahfiz berkenaan. Keadaan itu sekali gus menyebabkan sebahagian penghuni terperangkap serta gagal menyelamatkan diri.
Selain itu, pemasangan jeriji besi yang tidak boleh dibuka pada tingkap juga dikenal pasti sebagai antara ciri-ciri keselamatan yang turut diabaikan.
Memang ajal maut di tangan Tuhan tetapi angka kematian mungkin dapat dikurangkan jika sekolah tersebut mematuhi piawaian keselamatan bangunan yang ditetapkan sekali gus memberi peluang kepada mangsa menyelamatkan diri.
Jalan mati
Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia, Ezumi Harzani Ismail berkata, walaupun terdapat permintaan tinggi terhadap sekolah agama dan bangunan asrama, pihak pengendali sekolah tidak harus berkompromi dengan standard keselamatan bangunan.

ANGKA kematian mungkin dapat dikurangkan jika pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mematuhi piawaian keselamatan bangunan yang ditetapkan.


Menurutnya, di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984, setiap bangunan mesti dibina dengan mematuhi peraturan bangunan sebelum boleh diduduki atau beroperasi mengikut tujuannya.
“Ia suatu perkara penting bagi pemilik atau pengendali bangunan untuk melibatkan arkitek dan jurutera profesional bagi membuat reka bentuk bangunan dengan mematuhi syarat keselamatan yang ditetapkan di bawah undang-undang.
“Tujuannya adalah bagi memastikan semua bangunan dibina serta direka bentuk dengan betul dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Ezumi berkata, di bawah Jadual Kelima dalam UBBL, hostel serta bangunan sekolah termasuk pusat tahfiz termasuk dalam kategori Kumpulan Tujuan II-Institusi di mana faktor keselamatan perlu mengambil kira peruntukan bangunan untuk kemudahan penginapan penghuninya.
“Oleh itu, had jalan mati untuk jarak perjalanan bagi kumpulan berkenaan tidak boleh melebihi enam meter. Dalam kes seperti sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang juga digunakan sebagai asrama, syarat-syarat lebih ketat untuk pintu keluar kecemasan perlu mengikut Jadual Ketujuh dalam UBBL.
“Jalan mati tidak dibenarkan dan mesti ada minimum dua pintu keluar daripada mana-mana bilik yang diduduki melebihi enam orang,” jelasnya.
Lebar tangga
Selain itu, Ezumi memberitahu, setiap bangunan di bawah kategori itu mestilah dilengkapi dengan dua atau lebih tangga bergantung kepada susun atur bangunan manakala lebar tangga pula bergantung kepada jumlah penghuni.

PEMASANGAN jeriji besi yang tidak boleh dibuka pada tingkap dikenal pasti sebagai antara ciri-ciri keselamatan yang diabaikan.


Di samping reka bentuk keselamatan pasif tersebut, terdapat banyak lagi syarat keselamatan kebakaran yang perlu dipatuhi bagi menjamin keselamatan bangunan dan penghuninya.
“Ini termasuklah tanda keluar kecemasan bercahaya, sistem pengesan haba, sistem pengesan asap, penggera kebakaran, gegelung hos dan lampu kecemasan,” ujarnya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah mengeluarkan satu garis panduan bertarikh 1 Ogos 2004 berkaitan dengan pemasangan gril keselamatan di bangunan kediaman.
Menurut panduan itu, gril pemasangan tetap tidak boleh digunakan di bangunan kediaman kerana jika berlaku kebakaran, ia boleh menjadi perangkap maut.
“Gril tersebut haruslah boleh dibuka dari dalam. Dalam situasi kecemasan, ia boleh dibuka dan digunakan sebagai alat bantuan melarikan diri,” katanya.
Sebagai tambahan kepada UBBL, di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988, terdapat syarat untuk kategori bangunan tertentu yang perlu diperiksa setiap tahun oleh bomba selain mendapat sijil kebakaran daripada pihak berkuasa itu.
Antara bangunan yang perlu diperiksa setiap setahun buat masa ini adalah perpustakaan dengan keluasan melebihi 1,000 meter persegi, hospital dan rumah jagaan yang memiliki tiga tingkat dan ke atas, hotel dengan 21 buah bilik atau lebih, hostel dan asrama enam tingkat atau lebih serta bangunan pejabat yang melebihi ketinggian 30 meter dan keluasan 10,000 meter persegi.
Sementara itu, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) diundang untuk menganggotai pasukan petugas khas bagi menyelaras aspek keselamatan di semua sekolah termasuk sekolah tahfiz.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, NIOSH bersedia memberi kerjasama dan input kepada pasukan petugas khas dan antara cadangan yang akan dikemukakan termasuklah mewajibkan semua sekolah membentuk jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang dianggotai oleh pengurusan sekolah termasuk pengetua, guru dan wakil pelajar.
Ini kerana, katanya, sekolah dilihat sebagai sebuah premis kerja yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan premis yang mempunyai 40 atau lebih pekerja perlu membentuk jawatankuasa KKP.
Buat masa ini, terdapat 941 maahad tahfiz swasta dengan lebih 150,000 pelajar berdaftar dengan Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia.
Daripada jumlah itu, kira-kira 621 pusat tahfiz berdaftar dengan pihak berkuasa negeri dan Kementerian Pendidikan manakala sebanyak 329 maahad tahfiz tidak berdaftar kerana bimbang kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan akan mengambil alih pusat tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4u13Ncu2P 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan