28 September 2017

Artikel Menarik (September 2017) - Bandar Perikanan beri manfaat kepada nelayan

Sektor perikanan perlu dibangunkan agar dapat terus menyumbang kepada ekonomi negara. – Gambar hiasan
Permintaan khazanah laut seperti ikan, udang dan sotong semakin meningkat selari dengan pertambahan jumlah penduduk di negara ini.
Begitupun, hasil laut yang diraih oleh nelayan dan penternak perlu dikawal selia dengan tegas bagi mengelakkan ketirisan.
Selain itu, infrastruktur pemain industri perlu diperkasa selaras dengan kemajuan sektor tersebut.
Justeru, mengurus sumber perikanan negara agar ia kekal menyumbang kepada pendapatan negara adalah suatu perkara yang sangat mustahak.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Ahmad Rudin Hussain berkata, industri perikanan boleh berkembang dengan lebih pesat menerusi program pembangunan yang dirancang oleh pihak kerajaan.
Menurutnya, program pembangunan sektor perikanan seperti yang dijalankan di Kuala Kedah sehingga diisytihar sebagai Bandar Maritim wajar diperluaskan ke kawasan lain yang berpotensi di negara ini.
“Negara kita kaya dengan hasil laut yang pelbagai sehingga industri tersebut dijadikan sumber pendapatan utama komuniti setempat.
“Meskipun begitu, masalah utama yang dihadapi nelayan kini adalah dari segi kelemahan operasi sektor ini seperti faktor kebersihan, keselesaan dan keselamatan tempat pemprosesan hasil laut.
“Justeru, perancangan menyeluruh harus dibangunkan dengan lebih teliti supaya Bandar Perikanan ini dapat dijalankan dengan berjaya dalam semua aspek,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Biarpun ia mungkin mengambil masa yang lama, hasrat membangunkan industri perikanan sehingga menjadi hab ekonomi nelayan tempatan boleh dicapai sejajar dengan negara maju lain seperti Korea Selatan.
Tambah Ahmad Rudin, kerajaan wajar memilih lokasi terbaik bagi mempertimbangkan kesesuaian sesuatu tempat itu dijadikan Bandar Perikanan.
Bahkan, pelaksanaan tersebut disifatkan sebagai nilai tambah terhadap industri perikanan negara.
Kosmo! baru-baru ini turut melaporkan, kerajaan bercadang menaik taraf beberapa lokasi pendaratan ikan sebagai langkah mewujudkan Bandar Perikanan dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan nelayan.
Cadangan berkenaan sudah dimaklumkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi mengenal pasti lokasi sesuai dan konsep yang akan digunakan bagi bandar berkenaan kelak.
Manfaat
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyatakan, sebagai permulaan dua atau tiga jeti pendaratan ikan akan dijadikan Bandar Perikanan.
Pihaknya telah meminta LKIM supaya memikirkan konsep yang sesuai dan cadangan lokasi untuk dipertimbangkan bagi Rancangan Malaysia Ke-12.
Selain itu, beliau juga mencadangkan pembinaan restoran atau kafe yang bersesuaian dengan konsep tersebut.
Pada hematnya, sebagai memperkasa jeti LKIM di Kuantan yang merupakan jeti pendaratan hasil laut antara yang terbesar di negara ini, kawasan pendaratan ikan di San Francisco, Amerika Syarikat boleh dijadikan rujukan.
Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kuantan, Zamri Mohamad berkata, pihaknya menyambut baik cadangan pihak kerajaan untuk menubuhkan Bandar Perikanan.
Menurutnya, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada nelayan malah kepada semua pihak.
“Inisiatif membangunkan
Bandar Perikanan sedikit sebanyak berupaya membuka peluang pekerjaan berkaitan hasil laut sekali gus mengurangkan kadar pengangguran negara.
“Selain itu, ia juga berupaya menarik golongan muda untuk menceburi bidang berkaitan hasil laut tanpa perlu lagi bergantung kepada sumber buruh asing.
“Bagi memastikan pembangunan tersebut berjaya dilaksanakan, semua pihak harus sepakat dan bersedia untuk membangunkan modal insan dari awal sebagai persediaan menjelang penubuhan Bandar Perikanan nanti,” ujarnya.
Tambah Zamri, kesempatan tersebut seharusnya direbut oleh masyarakat tempatan kerana ia menawarkan peluang baharu untuk diteroka generasi muda.
Ia secara tidak langsung dapat menyuntik semangat keusahawanan generasi muda dan menaik taraf sektor perikanan tempatan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4u0qB1u3n 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan