19 Jun 2017

Artikel Menarik (Jun 2017) - Rumah ‘raksasa’ Mamee di Jonker

MI yang sudah siap dileraikan akan digoreng sebelum dibungkus dan sedia untuk dinikmati.


KELIBAT ‘raksasa’ besar berwarna biru itu cukup mudah dilihat dari bahu Jalan Jonker di bandar raya Melaka. Bangunan dari rona kuning dan merah itu pula kelihatan tidak putus-putus dikunjungi pengunjung yang berada di sekitar Jalan Jonker.
Baru-baru ini, kru Jurnal berpeluang melawat bangunan milik syarikat Mamee Double-Decker (M) Sdn. Bhd. itu yang mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2014.
Jika dilihat, mungkin ramai yang menyangka Mamee Jonker House hanya menawarkan kedai menjual cenderamata Mamee atau menjual produk makanan syarikat itu sahaja.
Namun begitu, Mamee Jonker House sebenarnya bersifat interaktif kerana selain menawarkan penjualan cenderamata serta muzium mini, ia juga turut memberi peluang kepada orang ramai untuk membuat sendiri mi segera Mamee yang merupakan produk paling popular syarikat yang berpangkalan di Melaka itu.
Mamee Jonker House menempatkan sebuah muzium mini, sebuah kafe, bengkel membuat mi segera Mamee Monster serta Noodle Doodle iaitu sebuah kawasan di mana orang ramai berpeluang melukis sendiri motif yang diingini pada pek mi segera Mamee untuk dibawa pulang.
Menurut Ketua Komunikasi Koperat Mamee, Sharszany Shahry Abu Shahriman, Mamee memilih Jonker Walk di Melaka sebagai ‘rumah’ pertamanya memandangkan ia cukup terkenal sebagai pusat tarikan pelancong yang cukup popular di Malaysia.
“Umum mengetahui bahawa Jonker House ini cukup sibuk dengan pengunjung tidak kiralah dari dalam mahu pun luar negara.
“Oleh itu, pemilihan untuk menempatkan Mamee Jonker House di lokasi ini dilihat cukup bersesuaian dan mampu untuk menarik lebih ramai pengunjung untuk datang dan melihat sendiri proses mi segera Mamee dihasilkan,” ujarnya ketika ditemui kru Jurnal baru-baru ini.
Menjengah ke sekitar bangunan dua tingkat itu, sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke Mamee Jonker House, pengunjung akan melihat sebuah kedai cenderamata yang menjual produk Mamee secara eksklusif.
Interaktif
Antaranya termasuklah cawan dengan motif raksasa biru yang cukup sinonim dengan jenama itu, kemeja-T dan patung mini Mamee Monster. Sebuah muzium mini juga turut ditempatkan di aras yang sama.
Pengunjung berpeluang melihat asal-usul dan sejarah penubuhan syarikat dan jenama Mamee pada tahun 1972 selain evolusinya sehinggalah ia terkenal sebagai salah satu jenama snek paling berpengaruh di Malaysia.
Di muzium kecil itu juga, pengunjung berpeluang mengenali pengasas jenama itu secara lebih dekat memandangkan sejarah beliau juga turut diceritakan di muzium tersebut.
Siapa sangka, pengasas jenama Mamee, Datuk Pang Chin Hin pada asalnya merupakan seorang penjual kereta terpakai sebelum menceburkan diri dalam dunia perniagaan mi segera.
Bagi muzium itu, bayaran masuk yang dikenakan kepada pengunjung ialah RM5 bagi dewasa, manakala RM3 bagi kanak-kanak.

PENGUNJUNG sedang melihat proses membungkus produk mi segera dalam cawan yang dikeluarkan syarikat Mamee.


Sejarah penubuhan
Selain itu, Mamee Cafe yang terletak di aras satu menyajikan menu-menu enak termasuk nasi ayam kepal yang cukup sinonim dalam kalangan penduduk di bandar raya bersejarah tersebut.
Menjengah ke aras dua, kru Jurnal disambut mesra oleh Stanford Lim Kuan Yam yang merupakan salah seorang staf di Mamee Jonker House.
Bahagian kiri aras itu menempatkan Noodle Noodle, yang memberi peluang kepada orang ramai untuk melukis sendiri motif yang diingini pada cawan mi segera Mamee.
Selesai melukis, pengunjung boleh memilih daripada tiga perisa mi cawan yang disediakan iaitu ayam, kari dan kari laksa selain memilih sendiri bahan perasa untuk diletakkan dalam mi segera masing-masing.
“Antara bahan perasa yang disediakan termasuklah lobak merah, cili dan bawang goreng. Pengunjung boleh mencampurkan kesemua bahan itu bagi mencipta perisa mi segera sendiri,” ujar Stanford.
Bahagian terakhir Mamee Jonker House pula merupakan stesen membuat mi segera yang dipanggil Lil Monster Kitchen.
Menariknya, pengunjung berpeluang menyediakan sendiri bancuhan snek enak tersebut dan boleh terus dimakan sebaik ia selesai dimasak.
Pihak Mamee Jonker House akan menyediakan bancuhan tepung, minyak serta bahan perisa dan pengunjung akan menguli sendiri bahan-bahan tersebut sehingga menjadi doh mi tarik.
Selepas dibancuh, adunan tersebut akan dimasukkan ke dalam sebuah mesin membuat mi sebelum digoreng garing. Hasilnya, snek Mamee enak yang boleh terus dinikmati.
Lil Monster Kitchen juga menawarkan bengkel menghasilkan mi snek selama 90 minit pada setiap Sabtu dan Ahad.
Aktiviti tersebut sesuai untuk individu yang mencari acara santai menarik pada hujung minggu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0618&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz4kT4XoO58 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan