19 Jun 2017

Artikel Menarik (Jun 2017) - Sistem penilaian tingkat keselamatan pengguna



GRABCAR akan memperkenalkan sistem penilaian pengguna bagi memastikan tahap keselamatan penumpang terjamin.


“SEJAK wujudnya GrabCar dan Uber, pergerakan saya menjadi lebih mudah terutama apabila menuju ke destinasi yang jauh dari capaian perkhidmatan awam konvensional seperti bas serta tren.
“Jika dahulu, saya terpaksa menelefon teksi untuk menghantar ke stesen komuter dan menaiki tren dari sana menuju ke destinasi yang ingin dituju,” ujar Nur Fatin Syuhada Ahmad Jafni, 26 sewaktu dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Tenaga pengajar bahasa Inggeris di Pusat Bahasa ELS Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor itu lebih selesa menggunakan khidmat kereta sewa secara online kerana ia lebih praktikal buat dirinya yang masih teragak-agak memandu terutamanya pada waktu puncak.
Namun, pertambahan jenayah melibatkan pemandu yang semakin banyak dilaporkan di media massa kini membuatkan dia dihimpit perasaan bimbang berhubung keselamatan dirinya.
Persepsi
Bagi menepis persepsi negatif masyarakat berhubung isu keselamatan sewaktu menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam darat online, Persatuan Pemandu GrabCar Malaysia (GDMA) bakal menambah baik perkhidmatan GrabCar dengan memperkenalkan sistem penilaian pengguna selewat-lewatnya hujung tahun ini bagi memastikan tahap keselamatan pengguna terjamin.
Menurut Pengerusi GDMA, Arif Asyraf Ali, sistem penilaian sedia ada hanya tertumpu kepada pemandu GrabCar dan penambahbaikan perlu dilakukan dalam usaha mendapatkan kembali kepercayaan pengguna pada perkhidmatan ini.
“Sistem perkhidmatan GrabCar sedia ada sudah cukup baik memandangkan kesalahan yang dilakukan pemandu dapat dikesan dengan cepat berserta bukti yang mencukupi, namun perlu ada sedikit penambahbaikan.
“Justeru, selewat-lewatnya Disember ini, kita akan memperkenalkan sistem penilaian pengguna supaya isu keselamatan pengguna GrabCar dapat ditambah baik dan mengelakkan daripada berlakunya kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Arif berkata, sistem penilaian pengguna penting bagi menyelesaikan kes-kes yang berlaku melibatkan GrabCar dan maklumat mudah disalurkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan.
“Melalui sistem ini, kita dapat mengesan maklumat pengguna sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini dan ini boleh membantu pihak terbabit untuk mengambil tindakan dengan kadar yang segera,” ujarnya lagi.
Kosmo! bertarikh 12 Jun melaporkan seorang peniaga online yang dalam keadaan mabuk menjadi mangsa rogol seorang pemandu GrabCar ketika ingin pulang ke rumahnya di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, keselamatan bukanlah suatu isu yang baharu dan ia perlu dipandang serius dengan menambah baik sistem sedia ada.
Pelaksanaan
“Kita mungkin tidak boleh memastikan keselamatan pengguna sepenuhnya melalui sistem sedia ada tetapi boleh mengurangkan risiko untuk terjerat dalam kejadian yang tidak diingini. Pengguna juga perlu dididik supaya lebih beretika serta mempunyai sedikit kesangsian terhadap orang asing terutama golongan wanita,” ujarnya.
Nadzim berkata, undang-undang sedia ada sudah memadai untuk mengekang kes jenayah yang melibatkan pengguna tetapi pelaksanaannya mungkin kurang dan perlu dikuatkuasakan.
“Undang-undang untuk mengekang kes jenayah melibatkan perkhidmatan kereta sewa ini sudah cukup tetapi kita lihat pelaksanaannya perlu dipergiatkan lagi,” jelasnya ketika dihubungi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4kT3fXlo8 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan