09 Mei 2017

Artikel Menarik (Mei 2017) - Pengawal peribadi wanita jadi pilihan




PENINGKATAN permintaan terhadap pemandu serta pengawal peribadi wanita menyebabkan kerjaya itu diceburi ramai kaum Hawa.


SELALUNYA, golongan lelaki sering dipilih untuk menjadi pemandu peribadi kerana selain mempunyai tubuh badan tegap, sifat kaum adam yang kuat dan berani menyebabkan mereka lebih dipercayai untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
Bagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman, profesion tersebut kini turut diceburi oleh golongan wanita.
Apa yang lebih menarik, dewasa ini, permintaan terhadap pemandu peribadi wanita semakin meningkat terutamanya dalam kalangan golongan kenamaan.
Rata-rata mereka memilih untuk menjadikan wanita sebagai pemandu peribadi kerana dikatakan lebih selesa dan selamat ketika berada di luar kawasan.
Biarpun begitu, kesukaran untuk mendapatkan pemandu wanita yang berpengalaman menjadi dilema bagi golongan tersebut sehingga mereka terpaksa mengambil pemandu peribadi lelaki.
Peka dengan masalah yang dialami, syarikat keselamatan Berani Guard Sdn. Bhd. tampil membekalkan pemandu peribadi wanita terutamanya untuk wanita daripada golongan kenamaan.
Latihan insentif
Menurut pengarah urusannya, Saliza Abdullah, 39, pemandu berlainan jantina dilihat menjadi masalah kepada golongan wanita, lebih-lebih lagi apabila terpaksa menghadiri satu-satu majlis yang memerlukan mereka bermalam atau pulang lewat.
“Sekarang, ramai wanita berkerjaya dan golongan kenamaan menggunakan khidmat pemandu peribadi untuk menjalani urusan harian.
“Bagaimanapun, ketiadaan pemandu wanita menyebabkan mereka terpaksa menjadikan golongan lelaki sebagai pemandu peribadi mereka. Perkara tersebut bukan sahaja mendatangkan ketidakselesaan, malah dikhuatiri melanggar adab dan budaya sebagai seorang wanita.
“Jadi melalui khidmat pemandu dan pengawal peribadi wanita, mereka mampu berasa selesa dan selamat dalam melakukan aktiviti harian,” jelasnya.
Menurut Saliza, peningkatan permintaan tersebut menyebabkan syarikatnya mengambil inisiatif untuk melatih dan membekal pemandu merangkap pengawal peribadi kepada golongan yang memerlukan.
Mereka bukan sahaja boleh memandu dan membawa majikan ke satu-satu destinasi yang diingini, malah turut dilengkapi dengan asas-asas keselamatan selain mempunyai lesen senjata api yang sah.
Pengawal peribadi wanita itu dilatih menerusi latihan dalaman yang dibekalkan pihak syarikat.
“Ramai mengetahui bahawa wanita jarang mengambil berat mengenai kenderaan yang dipandu mereka dan kerana itu, kami mengambil inisiatif dengan memberi latihan intensif kepada setiap setiap pengawal peribadi terbabit untuk tujuan tersebut.

PEMANDU peribadi turut mempunyai lesen senjata sah untuk kegunaan di lapangan.


“Menerusi latihan yang dijalankan, mereka akan didedahkan dengan teknik penyelenggaraan kenderaan dengan betul dan aspek-aspek keselamatan lain.
“Latihan itu perlu bagi mengelakkan seseorang pemandu atau pengawal peribadi berasa cemas apabila berhadapan dengan sesuatu kejadian yang tidak dijangka,” jelasnya.
Menurut Saliza, syarikatnya menawarkan tiga jenis pemandu wanita bagi memenuhi permintaan pasaran.
“Pihak kami bukan sekadar menyediakan pemandu peribadi wanita, malah turut membekalkan pemandu merangkap pengawal peribadi tanpa senjata dan pemandu serta pengawal peribadi bersenjata.
“Sebenarnya semua mereka diberi latihan yang sama. Cuma, apa yang membezakan ketiga-tiga kategori ini ialah, pemandu merangkap pengawal peribadi bersenjata dibenarkan untuk membawa senjata ketika bertugas kerana mereka mahir menggunakan senjata,” jelasnya.
Gaji lumayan
Setiap pemandu atau pengawal peribadi terbabit ditawarkan dengan gaji lumayan iaitu antara RM5,000 sehingga RM9,000 sebulan.
Bagaimanapun, jumlah bayaran gaji tersebut bergantung kepada tempoh waktu bekerja setiap hari.
Mengenai kriteria yang membolehkan seseorang wanita bergelar pemandu dan pengawal peribadi, Saliza berkata, individu berperwatakan agresif merupakan calon sesuai untuk memenuhi permintaan pasaran.
“Sebenarnya tiada kriteria khusus yang menunjukkan seseorang wanita itu layak menjadi pemandu dan pengawal peribadi.
“Ini kerana, pada kebiasaannya, wanita yang bersifat agresif dan tahan dengan aktiviti lasak akan dipilih untuk memenuhi permintaan pasaran.
“Selain itu, individu tersebut juga perlu mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam mengendalikan kenderaan.
“Bagaimanapun, kriteria tersebut tidaklah spesifik dan bergantung kepada keadaan. Apa yang pasti, seseorang pemandu peribadi perlu tahu fleksibiliti dan tanggungjawab terhadap pekerjaan yang dilakukan,” jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm#ixzz4gclmKfE5 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan