09 Mei 2017

Artikel Menarik (Mei 2017) - Misi selamatkan monyet barbari





“JIKA sesuatu tidak dilakukan, spesies ini akan pupus dalam tempoh sedekad,” ujar Ketua Aktivis Pemuliharaan dan Kesedaran Monyet Barbari, Ahmed Harrad sambil menampal poster yang menyeru masyarakat Maghribi menyelamatkan monyet di negara itu.
Ahmed dan pasukannya berusaha keras untuk melancarkan kempen sehingga ke utara Maghribi bagi meyakinkan penduduk tempatan agar melindungi monyet yang semakin terancam itu.
Ia merupakan satu-satunya spesies monyet barbari yang ada di luar Asia. Haiwan itu hidup di atas pokok dan boleh mencapai berat sehingga 20 kilogram.
Monyet barbari banyak ditemui di Afrika Utara dan beberapa bahagian Eropah tetapi kini ia hanya berada di pergunungan Algeria dan Maghribi.
Sebagai tindak balas kepada ancaman itu, Maghribi telah melancarkan kempen untuk menyelamatkan spesies monyet tersebut.
“Kami bekerja di dua kawasan bagi memantau dan membuat bancian spesies serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk tempatan supaya mereka bekerjasama menyelamatkan monyet itu,” tuturnya.
Haiwan peliharaan
Ujar Ahmed, monyet itu dijual kepada pembeli di Eropah pada harga antara RM476 ($110) sehingga RM1,428 ($330) seekor walaupun undang-undang mengharamkan perdagangan tersebut.
Monyet tersebut dijadikan sebagai haiwan peliharaan terutamanya yang muda kerana ia sangat comel dan tenang.
Namun, tabiatnya yang suka menggigit, bergaduh dengan kanak-kanak serta memanjat langsir menyebabkan ia dibuang oleh pemiliknya. Bagaimanapun, kecomelan monyet berbulu lembut dan berona kelabu keperangan itu mampu menarik perhatian sesiapa sahaja.
Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menjelaskan, primat tersebut kini diancam bahaya kepupusan. IUCN mendakwa, kepupusan tersebut terjadi akibat pemburuan haram, pelancong yang memberi makan monyet dan eksploitasi habitat semula jadi haiwan itu.
Sementara itu, National Geographic turut mendedahkan monyet barbari wujud sejak zaman purba apabila rangka haiwan itu ditemui di Pompeii iaitu sebuah bandar di Mesir suatu ketika dahulu.
Seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Air, Hutan dan Pergurunan di Maghribi, Zouhair Ahmaouch berkata, pelan pemuliharaan baharu yang dirangka oleh pihaknya memberi tumpuan untuk menangani pemburuan haram.

PELANCONG dilarang memberi monyet makan kerana haiwan itu terdedah kepada obesiti dan sukar pembiakan.


Maghribi tidak boleh menghantar pulang monyet ke Eropah kerana asal usul haiwan itu tidak dapat dipastikan sama ada dari Gibraltar, Algeria atau negara itu sendiri.
Bancian yang dibuat oleh Afrika Utara mendapati, bilangan monyet di seluruh negara itu telah menurun setiap tahun. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh saintis mereka menganggarkan Maghribi merupakan habitat kepada 3,000 hingga 10,000 ekor berbanding 17,000 ekor monyet tiga dekad lalu.
Walaupun sukar untuk melihat monyet barbari di hutan Maghribi tetapi ada segelintir orang yang sanggup meredah masuk ke dalam hutan untuk memberi mereka makan dan melihat telatah haiwan tersebut.
Obesiti
Ketua Taman Negara, Lahcen Oukennou berkata, memberi haiwan itu makan boleh mengakibatkan masalah kesihatan seperti obesiti dan mengganggu keupayaan monyet itu untuk membiak.
Pengarah Taman Negara Talassemtane di Utara Maghribi, Anouar Jaoui berkata, strategi pemuliharaan yang dilakukan termasuk langkah-langkah untuk memulihkan dan membina semula habitat spesies tersebut. Ia memerlukan pengurangan kepada eksploitasi berlebihan sumber semula jadi.
Di hutan Atlas tengah, pihak berkuasa menganjurkan kempen kesedaran kepada pelancong agar tidak memberi binatang itu makanan ataupun menghampirinya.
Pada Oktober tahun lalu, monyet barbari disenaraikan sebagai spesies yang diancam kepupusan pada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa untuk Spesies Terancam (CITES). Sehubungan itu, membeli dan menjual monyet itu diharamkan kecuali dalam keadaan tertentu.
Ahmaouch menyambut baik langkah tersebut dan menyeru agar negara-negara lain bersatu dalam usaha memerangi perdagangan haram monyet barbari.
“Memulihara warisan ini merupakan tanggungjawab global yang harus diberi perhatian penuh,” katanya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz4gcpEIbTP 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan