09 Mei 2017

Artikel Menarik (Mei 2017) - Bukti pengusaha tempatan berdaya saing



Faizal menunjukkan barisan produk pemium kopi pracampur jenama Agromas.



SEAWAL pukul 7.30 pagi, Mohd. Azman Harun, 53, sudah bersedia untuk memulakan rutinnya di Kilang Kopi FAMA, Kanchong Darat, Banting, Selangor. Lengkap bersarung tangan dan memakai serkup kepala, Mohd. Azman perlahan-lahan menuang 12 kilogram biji kopi ke dalam ketuhar pemanggang khas.
Aroma kopi yang agak keras namun mengasyikkan mula memenuhi ruang selepas beberapa ketika ia dipanggang pada suhu mencecah 200 darjah Celsius.
Adunan biji kopi itu dikacau berterusan secara automatik selama 30 minit sebelum dituang dan diratakan ke dalam dulang besar untuk melalui proses pengeringan dan penyejukan.
“Setelah sejuk, adunan itu membentuk ketulan-ketulan besar dan keras. Oleh itu, semua adunan dimasukkan ke dalam sebuah lagi mesin sebelum dikisar menjadi serbuk halus.
“Ia kemudiannya dicampur dengan ramuan tambahan seperti gula, marjerin dan gandum. Oleh sebab itulah ia dikenali sebagai kopi campuran dengan kandungan kopi melebihi 50 peratus berbanding bahan sampingan,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui di kilang tersebut baru-baru ini.
Mohd. Azman yang berkhidmat di kilang itu sejak tahun 1981 berkata, jika dahulu, pekerja turut terlibat memproses kopi segar dipanggil kopi jambu atau buah kopi berkulit. Apabila dibuang kulit, ia dipanggil kopi beras atau lebih dikenali sebagai biji kopi.
Sementara itu, Pengurus Kilang Kopi FAMA, Faizal Shabudin berkata, kilang itu ditubuhkan pada tahun 1974 untuk membantu pekebun kopi di sekitar Banting ekoran isu lambakan komoditi berkenaan ketika itu.
“Justeru, pengurusan kilang telah membeli kopi daripada pekebun kecil antaranya dari Kampung Bukit Bangkong, Kampung Olak Lempit dan Kampung Kanchong Darat untuk diproses dan dijual sebagai serbuk kopi menggunakan jenama Anggerek.
Kilang kopi yang merupakan milik penuh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah FAMA Corporation Sdn. Bhd., itu kemudiannya memperkenalkan barisan produk premium berupa kopi pracampur jenama Agromas pada tahun 2010.
Perbezaan kopi pracampur dengan kopi campuran ialah kopi pracampur mengandungi bahan asas seperti kopi segera, krimer dan gula serta sedia dibancuh.
Justeru, menerusi konsep pengeluaran barangan asli (OEM) sejumlah tujuh produk unit simpanan stok (SKU) kopi pracampur diperkenalkan antaranya Premix Habbatus Sauda, Premix Coffee with Ginseng, Premix Premium Coffee, Premix White Coffee dan Premix Coco.

Petugas bahagian kualiti memeriksa prosedur pembungkusan.


Habbatussauda
Beliau berkata, bahan mentah yang digunakan untuk produk Agromas termasuk kopi segera, gula dan krimer dianggarkan mencecah satu tan dengan kadar pengeluaran kira-kira 100 karton sehari terpulang kepada permintaan.
“Tanpa jenama kukuh dan diperakui seperti Agromas, agak sukar untuk mendapatkan slot terutama di pasar raya atau outlet beli-belah memandangkan produk berasaskan kopi membanjiri pasaran.
“Dalam usaha menjadikan produk kopi pracampur jenama ini berdaya saing, kami memilih bahan tambahan yang jarang dimasukkan pengeluar lain seperti habbatussauda yang mendapat sambutan hangat daripada pelanggan,” katanya produk itu turut menembusi pasaran Brunei dan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif FAMA Corporation Sdn. Bhd., Pauzi Yaman berkata, Agromas merupakan jenama produk yang diperkenalkan FAMA pada tahun 1990 bermula dengan produk kaya kelapa di Rengit, Batu Pahat Johor. Ia berikutan isu lambakan buah kelapa ketika itu.
Pada tahun 2010 jenama Agromas mengalami transformasi dari segi logo, pembungkusan produk dan penstrukturan semula harga.
Makanan halal
Produk yang dijenamakan di bawah Agromas terdiri daripada produk keluaran kilang FAMA sendiri selain dipilih dalam kalangan pengusaha tempatan yang berdaya saing dan maju.
“Ia adalah platform kepada usahawan tempatan untuk meneroka pasaran yang lebih luas termasuk luar negara. Selama ia diperkenalkan, kami melihat ia membantu meningkatkan pendapatan usahawan pengeluar dan memperluaskan pasaran makanan halal tempatan.
“Tahun lalu, produk Agromas merekodkan nilai jualan berjumlah RM19.1 juta dan kami menyasarkan perolehan kadar jualan RM25 juta tahun ini,” jelasnya.
Ujarnya, produk Agromas dijual di lebih 1,000 outlet seluruh negara antaranya di pasar raya besar seperti Giant, Mydin, AEON BiG selain di pasar raya Speedmart, Pasaraya Borong Sakan dan Pasaraya Darul Makmur, Pahang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SGK Food Industry, Steven K. Pillai bercerita, sejak penubuhan kilang biskut itu pada tahun 2005, pihaknya memberi tumpuan kepada eksport pasaran luar negara dengan jenama Grandies.
Bermula dengan mengeluarkan enam produk, syarikatnya kini memiliki 35 produk SKU vegetarian dengan snek signatur popular mereka iaitu biskut lemak bergula, biskut jagung, biskut marie asli dan biskut marie coklat.
Namun, apabila FAMA menawarkan SGK Industry untuk mengeluarkan produk Agromas pada tahun 2014 pihaknya berasa teruja. Pada masa sama bangga kerana terpilih menjadi salah satu daripada pengeluar produk jenama tempatan itu.

Biji kopi dipanggang pada suhu mencecah 200 darjah Celsius.


“Sebelum menyertai Agromas, kami memang sudah mengaplikasikan prosedur kualiti dan kebersihan dari segi halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Selain itu, produk kami turut mendapatkan persijilan daripada takat kawal kritis analisis bahaya (HACCP) dan sijil Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti).
“Itu merupakan antara kriteria pemilihan yang diambil kira oleh pihak FAMA sebelum memilih produk kami untuk disenaraikan di bawah program Agromas,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Menurutnya, buat masa ini SGK Food Industry mempunyai tiga produk di bawah jenama Agromas iaitu biskut jagung, biskut gandum dan biskut marie.
“Buat masa ini produk dari kilang kami telah menembusi 25 negara termasuklah Emiriyah Arab Bersatu, Jepun dan Korea Selatan.
“Ia meliputi antara 90 hingga 95 peratus kadar pengeluaran produk dengan output keseluruhan tiga treler setiap hari. Pengeluaran produk kami di bawah Agromas mengukuhkan lagi pasaran produk kami terutamanya pada peringkat tempatan,” katanya.
Beliau mendedahkan, idea penubuhan kilang itu tercetus selepas tragedi tsunami melanda negara ini pada tahun 2004.
Sumbangan
Beliau yang berkecimpung dalam sektor perhotelan dan perniagaan kitar semula turut terpanggil membantu mangsa ombak besar dengan memberi sumbangan berupa biskut sebanyak dua kontena yang disalurkan menerusi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
“Biskut merupakan produk sedia dimakan berasas tepung yang dapat dijadikan pengalas perut secara mudah dan pantas. Selain mengenyangkan, ia juga berkhasiat.
“Ketika memborong bekalan berkenaan dari kilang pengeluar kami terfikir alangkah baiknya jika kami mempunyai produk biskut sendiri dan menyediakannya mengikut cita rasa kami seperti tidak terlalu manis atau masin,” imbasnya sambil tersenyum.
Beliau berharap, aktiviti amal tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang dengan SGK Food Industry menyasar mengeluarkan lebih 100 SKU menjelang tahun 2020.
“Kami yakin produk inovatif tempatan mampu memberi impak tersendiri dan ini juga sebagai satu cara kami menyumbang kepada negara dengan memperkenalkan jenama Malaysia di luar negara,” ujarnya mengakhiri perbualan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4gcps7bbf 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan