09 Mei 2017

Artikel Menarik (Mei 2017) - Kisah usahawan berlian dari benua Afrika



Setiap perhiasan yang dihasilkan West mempunyai ciri unik.


Industri perhiasan permata merupakan salah satu sektor yang jarang diterajui oleh golongan wanita warga Afrika.
Bagaimanapun, seorang wanita Nigeria, Thelma West, 32, memecah tradisi apabila mengungguli pengeluaran produk batu permata di benua Afrika yang terkenal sebagai lokasi sumber utama batu-batu berharga di dunia itu.
Dia menjadi legasi pertama dalam keluarganya yang berkecimpung dalam industri berlian. West juga sudah biasa menjadi orang luar kerana dibesarkan oleh sebuah keluarga berbangsa Yahudi.
“Saya seorang sahaja wanita Nigeria berbangsa Yahudi terbabit dalam industri ini dan saya tidak tahu sekiranya ada pesaing wanita lain di luar sana,” jelasnya yang berpangkalan di London, Britain.
Pengajian
Setiap pelanggan yang datang ke premisnya itu disambut mesra. Pada masa sama, dia turut memperagakan beberapa aksesori pada pergelangan tangannya.
Baginya, budi bicara dan faktor keselamatan sangat penting kerana kedai berlian selalu menjadi sasaran penjenayah. Disebabkan itu, kedainya dijaga rapi menggunakan sistem interkom, pintu automatik dan televisyen litar tertutup.
Selepas menyambung pengajian di sekolah antarabangsa yang paling berprestij di Lagos, Nigeria, West mengembara ke Britain pada usia 16 tahun untuk menyambung pengajian.
“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera kerana pada masa itu, anda terpaksa memilih kerjaya yang kukuh seperti doktor, peguam dan bidang profesional lain di Nigeria,” ujarnya.
Namun, seperti kata pepatah Inggeris, Diamonds Are Forever, kilauan batu-batu berharga itu memukau dirinya dan orang-orang Barat sejak zaman kanak-kanak lagi.
“Ibu saya mempunyai banyak barang kemas. Kami sentiasa bermain dengan kotak barang kemas manakala ibu akan sentiasa membersihkan perhiasannya dan saya akan membantu dia,” kata West.
Ibunya merupakan pekerja di sebuah syarikat minuman, manakala bapanya bekerja sebagai pemaju hartanah.
Pada usia 17 tahun, West berhijrah sendirian ke Antwerp, Belgium iaitu pengeluar utama batu berlian. Di sana, dia belajar di sekolah antarabangsa Hoge Raad Voor Diamant untuk mengasah kemahirannya.
Usahanya tidak sia-sia kerana selepas menjalani latihan selama enam bulan, dia diambil bekerja oleh seorang peniaga berlian berketurunan Yahudi Ortodoks. Dia bekerja setiap petang selepas sekolah selama setahun.

Setiap berlian mempunyai cerita tersendiri berdasarkan coraknya.


West kemudian diambil bekerja oleh salah satu pembekal berlian terbesar di Eropah yang berpangkalan di Sepanyol.
“Ia merupakan pengalaman yang telah memberi pendedahan mendalam tentang berlian. Pada umur 19 tahun, saya diberi tanggungjawab untuk memeriksa dan membersihkan setiap berlian milik syarikat tunggal itu,” ujarnya.
Menyerlah
Bekerjasama dengan rakan-rakan sekolah dari Lagos yang rata-ratanya telah berpindah ke sektor perbankan pelaburan, West menubuhkan perniagaan sendiri di London untuk berdagang batu berharga.
Sambil memegang penyepit logam di tangan, West berkongsi rahsia beberapa stok berlian miliknya.
“Berlian mempunyai api. Batu itu rata tetapi ia mendapat banyak kehidupan di dalamnya, ia dipotong kira-kira 100 tahun lalu,” katanya sambil menunjuk sebiji batu yang kecil.
“Batu ini berharga AS$141,000 (RM563,717). Ia mempunyai warna yang kurang menyerlah tetapi batu ini telah dipotong dengan sempurna supaya ia mencerminkan cahaya dalam apa-apa cara yang menakjubkan,” jelasnya.
Daripada 50 pelanggan, 12 daripada mereka adalah pelabur dan mempunyai akses kepada pengetahuan Barat.
Mempunyai pelanggan dari pelbagai negara seperti Switzerland, Rusia, Ghana, Nigeria dan Perancis yang diperkenalkan dari mulut ke mulut, ia menjadi faktor kejayaan kedai berliannya.
Dibantu oleh pasukannya yang terdiri daripada 10 orang wanita, West memberi jaminan seumur hidup untuk produk berlian keluarannya.
Rekaan paling berharga ialah seutas kalung yang ditempah khas bernilai kira-kira AS$2 juta (RM8 juta). Dia merancang untuk membuka sebuah bengkel di Nigeria untuk melatih kanak-kanak perempuan dalam seni pembuatan barang kemas.
Dia turut mencipta peralatan revolusioner yang akan membantu orang ramai dalam perniagaan mereka.
“Alat itu harus menjadi sebahagian daripada setiap peniaga berlian dan kedai,” ujarnya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz4gcrkV72M 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan