06 April 2017

Artikel Menarik (April 2017) - Seni mural satukan penduduk Fanzara


PIHAK berkuasa Fanzara yakin seni mampu merapatkan kembali hubungan antara penduduk yang tegang sebelum ini.


SEJAK Perang Saudara Sepanyol berakhir sekitar tahun 1930-an, hubungan antara penduduk Fanzara iaitu sebuah perkampungan kecil di bandar pelabuhan, Valencia, Sepanyol sentiasa dingin dan tegang.
Rata-rata penduduk yang terdiri daripada pesara tentera mempunyai fahaman politik masing-masing yang diterjemahkan menerusi bar yang dikunjungi sama ada untuk golongan kanan (nasionalis) atau kiri (republikan).
Perasaan benci itu semakin meluap-luap selepas ada pihak mencadangkan pembinaan insinerator di perkampungan tersebut sebelum ia mendapat tentangan daripada pihak lain, sekali gus menjejaskan keharmonian penduduk.
Bagaimanapun, persengketaan itu semakin dilupakan pada hari ini berikutan kehadiran ramai artis jalanan dari seluruh dunia yang menghasilkan lukisan mural gergasi di bangunan-bangunan di perkampungan itu.
Kewujudan galeri seni terbuka itu secara tidak langsung berjaya mengubah landskap Fanzara yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Valencia sebagai tarikan baharu kepada pelancong.
“Kami bekerjasama dengan penduduk bagi melaksanakan projek seni ini. Ia bertujuan untuk merapatkan hubungan antara mereka,” kata bekas ahli majlis perbandaran yang juga salah seorang arkitek dalam projek itu, Javier Lopez.
Sejak beberapa tahun lalu, penduduk di Fanzara bertelagah sesama sendiri berhubung cadangan itu.

SERAMAI 21 artis bergabung tenaga menghasilkan karya seni untuk tatapan pengunjung.


Cadangan untuk membina insinerator tidak menjadi kenyataan selepas majlis perbandaran yang dikuasai golongan kanan gagal berkuasa setelah tewas dalam pilihan raya pada tahun 2011.
Bagaimanapun, penduduk mendakwa, ketegangan masih lagi wujud antara kedua-dua golongan yang dilihat berdasarkan lokasi bar yang dikunjungi.
“Kami dapat mengenal pasti mereka menyokong pihak mana berdasarkan kepada lokasi bar itu,” kata seorang ahli bomba, Marc Zapota, 22.
Persengketaan berhubung fahaman politik masih menebal di Sepanyol khususnya di kawasan pedalaman selepas perang saudara antara golongan nasionalis dan republikan sekitar tahun 1936 hingga 1939.
Festival seni
Dalam usaha merapatkan hubungan itu, pihak berkuasa tempatan mengajak penduduk tempatan dan artis jalanan menghasilkan mural-mural gergasi pada tahun 2014.
Ia berjaya mengubah kawasan itu menjadi satu festival seni apabila seramai 21 artis berkumpul di Fanzara beberapa bulan kemudian. Karya-karya mereka menghiasi sebahagian besar bangunan di kawasan itu.
Festival tahunan yang dikenali dengan Unfinished Museum of Urban Art (MIAU) itu telah tersenarai sebagai acara seni jalanan berprestij seperti di Copenhagen, Kanada dan New York, Amerika Syarikat.
Pada mulanya, tidak ramai penduduk yang mahu terlibat dan menyerahkan dinding kediaman mereka bagi tujuan itu.

KEUNIKAN lukisan mural menjadi tarikan pelancong di Fanzara.


Namun, golongan artis diberikan kepercayaan selepas bekerjasama dengan penduduk termasuk menghasilkan karya seni yang memaparkan kehidupan di luar bandar.
Seorang artis seni tempatan, Hombre Lopez mengabadikan wajah penduduk dalam bentuk lukisan batu-batu kecil di sungai berhampiran.
“Objektif utama seni mural ialah untuk mengeluarkan ia daripada muzium agar mesej itu sampai kepada masyarakat,” katanya.
Sejak tahun 2015, lebih 2,300 kanak-kanak telah dibawa melihat karya seni itu di samping mengenali kehidupan penduduk tempatan secara lebih dekat.
Ketika ini, Fanzara mempunyai 105 karya seni dan semakin ramai penduduk yang melibatkan diri dalam festival yang diadakan.
Dianggarkan lebih 200 artis dari seluruh dunia telah memohon untuk menyertai festival tahunan yang bermula pada 6 hingga 7 Julai ini.
“Kehidupan di sini agak baik dan tenang. Di sini ada farmasi, doktor, kedai daging, kedai roti dan kini dengan MIAU iaitu satu festival yang bertaraf antarabangsa.
“Secara tidak langsung, pelancong dari seluruh dunia akan mengenali Fanzara,” kata seorang penduduk, Elisa Edo, 64.
Pada edisi kedua festival tahun 2015, ada penduduk yang mengajak artis-artis terlibat tinggal di rumah mereka di bawah program Artis Angkat.
“Saya suka kerana melihat perubahan sikap penduduk di sini,” tambah Lopez.
Bagaimanapun, usaha itu juga tidak terlepas daripada kritikan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0405&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4dVpvAwar 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan