03 April 2017

Artikel Menarik (Mac 2017) - Dendam Parkman hantui Sturdivant Hall



Sebuah rumah agam di Alabama, Amerika Syarikat dipercayai dihantui roh pemiliknya yang mati dianiaya.


RUMAH agam yang terletak di Mabry Street, Selma, Alabama, Amerika Syarikat (AS) itu kelihatan gah berdiri meskipun sudah berusia 161 tahun.
Siap dibina pada tahun 1856, rumah rekaan Thomas Helm Lee untuk Colonel Edward T. Watts itu menampilkan seni bina neoklasik Greek Revival.
Keunggulan seni bina kediaman yang masih terpelihara itu membuatkannya tersenarai dalam National Register of Historic Places pada 18 Januari 1973.
Di sebaliknya, kediaman yang kini dikenali sebagai Sturdivant Hall itu menyimpan pelbagai kisah misteri sehingga menjadikan ia antara lokasi paling berhantu di Alabama.
Seorang penduduk tempatan yang juga penulis buku, Kathryn Tucker Windham memberitahu, pelbagai kejadian pelik pernah diceritakan berlaku di situ.
Ditembak mati
Windham membukukan kisah seram di rumah agam itu menerusi cerita The Return of the Ruined Banker dalam judul buku bertajuk 13 Alabama Ghosts and Jeffrey.
“Ada penghuni yang melaporkan kononnya pernah terdengar bunyi-bunyi aneh seperti tapak kaki menaiki tangga, pintu dihempas kuat dan jendela tertutup serta terbuka dengan sendirinya.
“Malah, ada ketikanya mereka menyedari barang-barang di dalam rumah itu berubah kedudukan seolah-olah ada entiti yang mengalihkannya.
“Kelibat dua orang kanak-kanak perempuan juga pernah dilihat bermain-main di sekitar kediaman tersebut bagaimanapun identiti mereka tidak diketahui,” katanya seperti dipetik portal Alabama Pioneers.
Sebelum dikenali sebagai Sturdivant Hall, ia dahulunya digelar sebagai Watts-Parkman-Gillman Mansion sempena nama pemilik-pemilik sebelumnya.
Berdasarkan catatan sejarah, selepas rumah agam itu siap dibina, Watts dan keluarganya mendiami kediaman tersebut sehingga tahun 1864 sebelum berpindah ke Texas.
Rumah itu kemudiannya dijual kepada John McGee Parkman, pada 12 Februari 1864 dengan harga AS$65,000 (RM287,235). Beberapa tahun selepas perang saudara di AS, Parkman dilantik sebagai Presiden First National Bank of Selma pada usia 29 tahun.
Bagaimanapun, kemasyhuran yang dikecapinya tidak lama selepas dia dipenjarakan atas kesalahan penyelewengan wang. Pihak berkuasa mengambil alih pentadbiran bank tersebut dan menyita kesemua aset serta hartanya.
Semasa di Penjara Castle Morgan di Cahaba, Alabama, Parkman serta beberapa orang banduan melakukan cubaan melarikan diri pada 23 Mei 1867, namun tidak berjaya.
Roh tidak aman

ROH Parkman didakwa sering kelihatan di bahagian jendela rumah agam Sturdivant Hall.


Parkman dikatakan dibunuh sebelum sempat sampai ke bot yang menunggunya di tebing sungai untuk membantunya melarikan diri. Sehingga ke hari ini, ramai yang tidak tahu bagaimana Parkman dibunuh, namun rata-rata berpendapat dia ditembak mati.
Rumah agam itu kemudian dibeli pada harga lelong oleh seorang saudagar, Emile Gillman pada harga AS$12,500 (RM55,237) dan diduduki sehingga tahun 1957.
Ia kemudiannya dijual kepada City of Selma pada harga AS$75,000 (RM331,425) dan ditukar namanya kepada Sturdivant Hall untuk dijadikan muzium.
Menurut cakap-cakap penduduk setempat, Sturdivant Hall dianggap berpuaka kerana dihantui roh Parkman. Kononnya, roh lelaki itu masih berlegar-legar di rumah agam tersebut kerana tidak dapat menunaikan hajat terakhir bagi membersihkan namanya.
“Ramai penduduk bandar Selma merasakan Parkman sebenarnya menjadi mangsa keadaan. Bank itu terbabit dalam spekulasi perdagangan kapas dan mencatat kerugian besar. Penstrukturan semula di atas kerugian itu dibuat ketika Parkman dilantik sebagai presiden.
“Kelibat kanak-kanak perempuan yang selalu dilihat di rumah itu pula dikatakan roh anak-anaknya. Kononnya roh Parkman selalu dilihat berdiri di jendela sambil memerhatikan mereka bermain,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz4dDOuTC6D 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan