03 April 2017

Artikel Menarik (Mac 2017) - Pensyarah cilik termuda dunia


BERGELAR seorang pensyarah pada usia seawal 14 tahun membuatkan Asley berasa sungguh gembira.


SEORANG remaja kelihatan berjalan keluar dari sebuah bangunan sambil menjinjit beberapa keping fail dan sebuah buku tebal.
Tubuhnya yang kecil molek berserta raut wajah mudanya langsung tidak menggambarkan remaja tersebut sebagai seorang pelajar universiti, apatah lagi sebagai salah seorang tenaga pengajar.
Namun, itulah hakikat sebenar apabila remaja berusia 14 tahun itu sebenarnya merupakan seorang pensyarah matematik di Universiti Leicester, England.
Jika kebanyakan remaja yang lain sibuk ke sekolah dan bermain dengan rakan-rakan di padang, berbeza dengan Yasha Asley apabila dia berpeluang menggalas tugas sebagai seorang pendidik pada usia yang sangat muda.
Biarpun tidak melalui zaman indah yang sepatutnya dilalui oleh kebanyakan remaja dunia yang lain, Asley tidak pernah berkecil hati atau menganggap ia sebagai satu bebanan, malah dia mengakui cukup teruja dan suka dengan cabaran yang dihadapinya apabila bergelar sebagai seorang pensyarah universiti.
Asley, seorang remaja Muslim yang berkulit cerah telah diisytiharkan sebagai pensyarah matematik termuda di dunia selepas memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik di England.
Melihat pada fizikal remaja yang turut digelar sebagai ‘manusia kalkulator’ itu, siapa sangka, pada usia 14 tahun dia telah pun dilantik sebagai salah seorang pensyarah di universiti terkemuka.
Paling pintar
Terdahulu, Asley pernah disenaraikan sebagai salah seorang kanak-kanak paling bijak di Britain pada zaman kanak-kanaknya sebelum menjadi tenaga pengajar di Universiti Leicester untuk mengajar mata pelajaran Matematik.
Asley diambil untuk bekerja di Universiti Leicester kerana kebolehannya memahami penyelesaian masalah matematik dan dapat menerangkannya dengan jelas serta mudah kepada orang lain.
“Saya ditugaskan untuk mengajar tutorial pada setiap minggu kepada pelajar dewasa,” ujar Asley yang juga merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Matematik di universiti yang sama sekali gus memegang rekod sebagai penuntut termuda di universiti tersebut.
Asley mengakui gementar apabila diberi tanggunjawab untuk mengajar mahasiswa yang lebih tua daripadanya namun mereka menghormati remaja itu kerana kaedah menyelesaikan masalah Matematik yang digunakan Asley mudah difahami.
Menurutnya lagi, pekerjaan baharunya itu menjadikan Asley cukup gembira memandangkan tidak perlu lagi menyarung pakaian seragam sekolah dan menuntut di sekolah bersama rakan-rakan seusianya.
“Saya sedang menjalani masa yang paling seronok dalam hidup saya. Saya tidak perlu lagi menyarung pakaian sekolah dan untuk itu, saya amat berterima kasih,” ujar remaja tersebut.
Terdahulu, remaja genius itu telah menghadiri temuduga dan ditawarkan bekerja pada usia 13 tahun dengan mengalahkan beberapa orang calon lain yang lebih dewasa.
Sebelum memulakan tugas sebagai pensyarah, pegawai pentadbiran universiti perlu membuat permohonan kepada Majlis Bandaraya Leicester terlebih dulu bagi membenarkan remaja tersebut bekerja kerana umurnya yang terlalu muda.
Tidak gentar

SEAWAL usia lapan tahun, Asley telah menguasai bidang matematik pada peringkat tertinggi.


Asley sebelum ini bersekolah di sebuah sekolah rendah di Leicester dan telah mendapat tempat untuk belajar pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang matematik ketika berusia 12 tahun pada 2014.
Dia merupakan pelajar pertama di dunia yang mendapat keputusan gred A dalam mata pelajaran Matematik pada peperiksaan peringkat A Level dengan markah 100 peratus ketika berusia lapan tahun.
Semasa berusia sembilan dan 10 tahun, Asley telah lulus peperiksaan peringkat A Level dalam mata pelajaran Matematik serta Statistik dan menyambung pelajarannya di universiti selepas tamat sekolah rendah.
Memetik laporan portal berita antarabangsa British Broadcasting Company (BBC) pada tahun 2010, Asley mendedahkan dia tidak berasa gentar untuk menjawab kertas soalan peperiksaan tersebut.
“Saya tidak pernah mengulang kaji mata pelajaran tersebut dan tidak berasa gementar untuk menjawab kertas peperiksaan Matematik,” dedah Asley.
Bangga
Selain pintar matematik, Asley juga mampu bertutur dalam bahasa Inggeris, Arab, Perancis dan Parsi ketika baru berusia empat tahun.
Menurut bapanya, Moussa Asley, 53, dia berasa begitu bangga melihat pencapaian anaknya, lebih-lebih lagi apabila dia membesarkan anaknya sendirian di rumah sebelum kepintaran Asley diketahui pihak universiti.
Moussa merupakan rakyat Iran yang sudah lama menetap di England. Dia membesarkan Asley sendirian kerana bergelar bapa tunggal apabila perkahwinannya gagal semasa Asley baru berusia setahun.
Menurut Moussa, dia mula mengesan anaknya itu merupakan kanak-kanak pintar selepas Asley berjaya membaca dengan lancar selain mampu menguasai pelbagai bahasa pada usia yang amat muda.
“Asley jauh lebih pintar jika dibandingkan dengan rakan-rakan seusianya yang lain.
“Kebolehannya menguasai pelbagai bahasa selain mengira dengan amat pantas merupakan sesuatu yang semula jadi dan seolah-olah berlaku secara automatik,” ujar Moussa.
Sebagai bapa, Moussa cukup berbangga apabila remaja itu menunjukkan kebolehan yang luar biasa dalam mata pelajaran Matematik.
“Bagi Asley, mata pelajaran Matematik itu cukup mudah serta sesuatu yang amat seronok untuk diselesaikan.
“Saya sangat bangga melihat dia berkembang maju dan membesar dengan melakukan perkara yang digemarinya,” ujar Moussa yang akan menghantar anaknya setiap hari ke universiti untuk mengajar.
Tambahnya lagi, Asley sangat pintar untuk memahami sesuatu masalah dan akan menerangkannya dengan jelas. Tugasnya sebagai pensyarah memang sangat bersesuaian dengan kebolehannya itu.
Menurut Asley pula, dia mengakui berasa sangat seronok menjalani kehidupan sebagai seorang pensyarah dan gemar ke universiti untuk bekerja dan membantu pelajar lain.
“Saya amat menyukai matematik kerana ia satu subjek sains yang tepat dan merupakan satu-satunya mata pelajaran yang anda boleh buktikan dengan betul,” ujar Asley.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4dCx4mgCz 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan