03 April 2017

Artikel Menarik (Mac 2017) - 37 tahun tragedi pelantar minyak di Norway



TRAGEDI pelantar minyak milik Phillips Petroleum merupakan tragedi paling buruk dalam insiden pelantar minyak sejarah dunia.


“WALAUPUN insiden tersebut telah lama berlalu, namun sejak kejadian itu, apa-apa sahaja tragedi yang berlaku di pelantar minyak memberi kesan yang mendalam terhadap saya.
“Lebih-lebih lagi apabila terdengar tangisan kanak-kanak yang kesedihan apabila diberitahu bapa atau ahli keluarga mereka telah pergi buat selama-lamanya,” jelas Bill Boyce.
Mengimbau kembali tragedi yang berlaku pada 30 Mac 1980, Boyce, 60, yang merupakan ketua operasi pelantar minyak di Phillips Petroluem ketika itu mendakwa, semasa kejadian, dia baru sahaja pulang daripada bekerja di pelantar minyak yang berpangkalan di Laut Utara, Norway.
“Pada waktu itu jam menunjukkan pukul 6 petang dan saya baru melangkah masuk ke dalam rumah, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi deringan telefon.
“Saya dimaklumkan satu pelantar minyak milik Phillips Petroluem telah meletup dan terbakar. Tanpa berlengah saya terus bergegas ke tempat kejadian,” jelasnya.
Pukulan ombak
Tragedi yang berlaku di Stavangar, Norway itu merupakan tragedi terburuk pernah berlaku di dalam sejarah pelantar minyak di dunia.
Ia dikatakan berpunca daripada pukulan ombak kuat yang menyebabkan salah satu tiang yang menyokong pelantar minyak tersebut patah.
Keadaan tersebut menyebabkan bahagian pelantar tumbang sehingga berlakunya letupan dan kebakaran.
Ujar Boyce, ketika kejadian berlaku, seramai 229 orang pekerja berada di atas pelantar itu.
“Sebaik kebakaran berlaku di pelantar tersebut, para pekerja dikatakan cemas dan berusaha untuk menyelamatkan diri.
“Sehingga ke satu tahap, mereka sanggup melompat 60 meter dari atas pelantar ke tengah laut kerana bimbang dijilat api,” ujarnya.
Jelas Boyce lagi, keadaan bertambah buruk kerana suhu air di Laut Utara terlalu sejuk sehingga menyebabkan mangsa yang terjatuh ke dalamnya mengalami hyportemia.
“Pada waktu itu ramai yang meramalkan kesemua pekerja di pelantar tersebut akan mati kesejukan kerana tidak memakai pakaian selam.
“Cemas dan hampir tidak keruan saya dibuatnya kerana mengikut anggaran, setiap pekerja yang terjun kel laut hanya dapat bertahan kurang daripada 10 minit. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya 65 orang pekerja terselamat dalam tragedi tersebut,” jelasnya.
Dalam kejadian tersebut, seramai 164 orang pekerja mati kerana kesejukan dan terbakar.
“Walaupun kejadian tersebut telah berlaku 37 tahun lalu, namun saya masih trauma dan sentiasa membayangkan tubuh kaku pekerja-pekerja yang terkorban.
“Biarpun pada waktu itu saya merupakan ketua operasi yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia pelantar tersebut, namun jawatan yang disandang tidak membolehkan saya turun ke laut untuk membantu mereka yang terperangkap.
“Sebaliknya, saya diarahkan untuk berada di darat dan ditugaskan untuk mengenal pasti mangsa-mangsa yang berada di pelantar itu sahaja,” jelasnya.
Pampasan

ANTARA pekerja yang terkorban di dalam tragedi pelantar minyak di Norway 37 tahun lalu.


Pada malam kejadian, Boyce bersama dua orang pembantunya, John Jennings dan Mike McConnel terpaksa bermalam di pejabatnya.
Biarpun tidak terlibat secara langsung dalam kerja-kerja menyelamat, namun kegusaran jelas terbayang pada wajah mereka.
“Pada waktu itu pasukan bomba dan penyelamat sibuk menjalankan misi menyelamat.
“Saya dan dua orang pembantu terpaksa menenangkan waris-waris. Rata-rata mereka begitu sedih dan gusar mengenangkan nasib yang menimpa ahli keluarga masing-masing.
“Bagaimanapun, kami terpaksa berpegang kepada prosedur yang telah ditetapkan. Kami tidak boleh memberi maklumat sehingga kesemua mayat telah dikenal pasti dan disahkan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Cerita Boyce lagi, biarpun pada waktu itu hanya pelantar minyak milik Phillips Petroleum yang terlibat, namun dia begitu terharu dengan sokongan dan bantuan yang diterima daripada kru pelantar syarikat minyak yang lain.
“Ia merupakan satu perkara yang luar biasa apabila pesaing-pesaing saya di pelantar minyak yang lain datang menghulurkan bantuan.
“Pada waktu itu, mereka sanggup meninggalkan segala tugasan semata-mata kerana mahu membantu dalam misi menyelamat itu. Sehingga ke hari ini, saya tidak akan dapat melupakan segala jasa baik yang dilakukan oleh mereka,” jelasnya.
Menceritakan pengalamannya dalam tragedi tersebut, Boyce memberitahu, bukan mudah untuk menjaga mangsa-mangsa yang terselamat daripada tragedi tersebut.
Ini kerana, ketiadaan kemudahan perubatan menyebabkan proses merawat sukar dan mengambil masa yang lama.
“Walaupun banyak nyawa terkorban, namun pihak syarikat tidak mahu bertanggungjawab dalam tragedi tersebut.
“Bagaimanapun, mereka telah membayar wang pampasan kepada semua keluarga mangsa,” jelasnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4dDPKokBX 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan