03 April 2017

Artikel Menarik (Mac 2017) - Tapis filem demi kesejahteraan rakyat



ABDUL HALIM (duduk) bersama timbalannya, Mohd. Zamberi Abdul Aziz (kanan) dan Ahli Lembaga LPF, Mustafa Abd. Hamid sentiasa memastikan filem yang ditapis melepasi empat teras yang ditetapkan.


AWAL minggu lalu, peminat industri filem tanah air melahirkan rasa kecewa apabila Lembaga Penapis Filem (LPF) bertindak memotong tiga adegan yang dikatakan wujudnya elemen mempromosikan gaya hidup gay dalam filem Beauty and the Beast beberapa hari sebelum ia dijadual ditayangkan di negara ini.
Rata-rata peminat filem tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut atas alasan, adegan yang ditonjolkan adalah ringan dan tidak mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat.
Bagaimanapun, pada 20 Mac lalu, Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF) telah meluluskan tayangan filem itu tanpa sebarang potongan dan mula ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu tetapi di bawah kategori PG13.
Keputusan itu telah mence­tuskan kontroversi ke­ra­na ia dianggap sebagai bertentangan dengan keputusan LPF.
Bagi menjawab persoalan tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Pengerusi LPF, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid di pejabatnya yang terletak di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya baru-baru ini.
Kosmo! Ahad: Boleh Datuk ceritakan serba ringkas mengenai peranan LPF dalam industri filem di negara ini?
ABDUL HALIM: LPF ditubuhkan di bawah Akta Penapisan Filem 2002 yang mewajibkan semua filem yang ingin ditayangkan ke khalayak ramai ditapis terlebih dahulu. Apa sahaja filem yang ditayangkan di dalam bentuk fizikal termasuk cakera padat perlu melalui tapisan LPF. Bagaimanapun, LPF tidak bertanggungjawab terhadap filem-filem yang ditayangkan menerusi internet kerana ia di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Seperti yang sedia maklum, LPF diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri memandangkan tujuan tapisan filem dijalankan adalah untuk melindungi orang ramai daripada empat teras utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, agama, sosiobudaya serta ketertiban dan kesusilaan.
Baru-baru ini, terdapat kontroversi mengenai filem Beauty and the Beast berikutan tindakan orang ramai tidak berpuas hati apabila LPF memotong beberapa adegan yang mempromosikan gaya hidup gay dalam filem tersebut. Boleh Datuk terangkan secara ringkas mengenai isu tersebut?
Sebenarnya kami telah menonton tapis filem tersebut pada 17 Februari lalu dan memberi keputusan Lulus Dengan Pengubahan (LDP) di bawah klasifikasi P13 dengan melibatkan tiga potongan serta satu dialog disenyapkan atas asas ia mengandungi elemen mempromosi gaya hidup gay.
Keputusan tersebut menyebabkan pihak penerbit iaitu Walt Disney Pictures dan pengedar filem, Buena Vista Columbia Tristar mengambil keputusan enggan menayangkan filem tersebut di negara ini.
Bagaimanapun, pihak penerbit dan pengeluar filem telah mengemukakan rayuan kepada JKRF pada 21 Mac lalu dan mereka telah memutuskan untuk memberi kelulusan tayangan di Malaysia di bawah klasifikasi P13 tanpa sebarang potongan.
Siapakah JKRF dan apakah peranan mereka?
JKRF merupakan sebuah jawatankuasa yang bebas daripada LPF dan ia ditubuhkan berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002. JKRF tidak terikat dengan apa-apa keputusan yang dilakukan oleh LPF.
Kewujudan LPF dan JKRF secara berasingan berdasarkan undang-undang Akta Penapisan Filem 2002 bertujuan untuk melakukan elemen semak dan imbang di dalam proses penapisan filem di negara ini.
Justeru, JKRF mempunyai kuasa untuk mengesahkan, mengubah atau mengakas keputusan LPF.
Boleh Datuk jelaskan bagaimana pihak LPF menjalankan tugas menapis filem?
Selalunya, selepas menonton filem-filem tersebut, pihak kami akan membincangkan tema filem berkenaan dengan melihat jalan cerita yang hendak disampaikan.
LPF kemudian akan menentukan filem tersebut mengikut tiga kategori iaitu ringan, sederhana berat atau keterlaluan. Selalunya ia dilihat dari segi adegan yang dipaparkan. Adegan tersebut kemudian akan dipecahkan kepada beberapa kategori yang telah ditetapkan iaitu ganas ngeri, seram, seks, kebogelan dan juga dialog. Dari situ pihak LPF akan menentukan mana-mana adegan keterlaluan dan tidak sesuai untuk tontonan umum perlu dipotong. Bagaimanapun, jika pihak penerbit tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah ditetapkan oleh LPF, mereka boleh membuat rayuan.
Apakah proses yang terlibat bagi membolehkan rayuan dilakukan?
Mengambil contoh filem Beauty and the Beast, pihak penerbit yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dikeluarkan oleh LPF boleh membuat rayuan kepada JKRF.
Penerbit atau pengeluar filem boleh membuat rayuan sama ada untuk menurunkan klasifikasi atau tidak mahu mana-mana adegan di dalam filem berkenaan dipotong. Selalunya, rayuan boleh dilakukan dalam tempoh 30 hari selepas keputusan daripada LPF dikeluarkan.
Pihak JKRF yang dianggotai oleh 19 orang ahli akan menonton semula filem tersebut dan membuat undian sama ada rayuan yang dikemukakan diterima atau tidak. Sebaik diluluskan, sijil A iaitu sijil yang menandakan filem tersebut boleh ditayangkan akan dikeluarkan. Proses ini mengambil masa kira-kira lima hari waktu bekerja.
Apakah akta yang terlibat dan elemen utama yang digariskan untuk mendapatkan kelulusan daripada LPF?
Di dalam isu ini, akta yang terlibat ialah Akta Penapisan Filem. Di bawah akta tersebut, terdapat beberapa garis panduan yang perlu diikuti. Segala keputusan yang dijalankan berpegang kepada empat teras iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, agama, sosiobudaya serta ketertiban dan kesusilaan.
Apakah kepentingan penapisan dan pengkelasan filem bagi orang awam?
Pengkelasan filem bertujuan untuk memberi panduan kepada ibu bapa dalam menentukan filem tersebut sesuai untuk ditonton oleh anak-anak mereka atau tidak. Sebenarnya ia dilakukan lebih kepada untuk memelihara kanak-kanak supaya tidak terpengaruh atau terikut-ikut dengan adegan yang ditonjolkan.
Disebabkan itu, proses menapis dan klasifikasi adalah penting. Kebanyakan individu hari ini sering menyalah anggap peranan LPF. Mereka sering beranggapan bahawa LPF dengan sewenang-wenangnya memotong adegan-adegan tertentu kerana ingin menjadi moral guidance semata-mata.
Sebenarnya, mereka perlu sedar, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memotong mana-mana adegan yang boleh memberi kesan sampingan kepada masyarakat, terutamanya kanak-kanak. LPF juga berperanan untuk menjaga keharmonian masyarakat secara menyeluruh. Justeru itu, kami perlu memikirkan kesan sampingan atau negatif yang akan terjadi jika sesuatu adegan dilepaskan. Sebagai contoh adegan seram yang keterlaluan, pihak LPF terpaksa memotong adegan tersebut kerana bimbang ia akan meninggalkan kesan negatif terhadap mental kanak-kanak.
Boleh Datuk ulas serba ringkas mengenai klasifikasi filem yang diaplikasikan di negara ini?
Terdapat tiga klasifikasi utama untuk filem iaitu simbol U yang digunakan untuk kategori tontonan semua lapisan masyarakat tanpa had umur. Selalunya, klasifikasi filem ini memaparkan nilai-nilai murni, kesopanan dan memberi pengajaran positif serta menghiburkan.
Sementara itu, bagi klasifikasi di bawah kategori P13, ia digunakan untuk penonton berumur di bawah 13 tahun dan memerlukan pengawasan serta bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika menonton. Filem ini biasanya mengandungi unsur seram, menakutkan, adegan atau aksi negatif, unsur suspen dan mengejutkan tetapi tidak berlebihan.
Bagi kategori 18 pula, ia adalah untuk tontonan berumur 18 tahun dan ke atas sahaja. Filem ini mengandungi unsur seram, ngeri serta ganas tetapi tidak keterlaluan, adegan kedewasaan yang tidak keterlaluan dan aspek sosial politik serta agama yang sensitif dan memerlukan tahap kematangan tinggi untuk memahaminya.
Apakah harapan Datuk terhadap industri perfileman negara?
Saya berharap agar industri perfileman di negara ini terus berkembang maju dan dibuat dengan mengambil kira empat teras yang telah dijelaskan sebelum ini. Kami di LPF sedaya upaya membantu pihak penerbit mengeluarkan filem-filem mereka. LPF sentiasa membuat keputusan yang tepat untuk memuaskan hati semua pihak. LPF hanya membuat tapisan terhadap filem-filem yang ditayangkan dan pihak kami tidak bertanggungjawab untuk menentukan atau mengawal tayangan filem tersebut di pawagam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_05.htm#ixzz4dDPtE0B1 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan