14 Julai 2016

Artikel Menarik (Julai 2016) - Bekal barang dapur basah di pintu rumah



SETIAP pagi, Fathullah akan ke Pasar Borong Selangor untuk membeli stok makanan yang ditempah oleh pelanggannya.



“KETIKA mula-mula menceburkan diri di dalam perniagaan ini, saya pernah pergi ke tempat kerja dengan baju yang berbau ikan dan ayam.
“Mana tidaknya, usai mengerjakan solat Subuh, saya dan isteri terus bersiap dan bergegas ke Pasar Borong Selangor yang terletak berdekatan rumah kami untuk membeli barang-barang jualan sebelum bergegas ke tempat kerja.
“Bagaimanapun, benar kata orang, alah bisa tegal biasa, selepas hampir setahun berkecimpung di dalam perniagaan Barang Dapur Basah bersama isteri, saya kini dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut,” ujar Muhammad Fathullah Mumtaz Ahmad, 29.
Sejak November lalu, Muhammad Fathullah dan isterinya, Nur Diyana Mazlan, 28, mengusahakan perniagaan Barang Dapur Basah menerusi laman sosial Instagram.
Perniagaan yang berkonsepkan pembelian barangan dapur secara tempahan dan penghantaran itu menawarkan pakej barangan basah kepada pelanggan seperti ayam, ikan, udang, ketam, sotong dan daging yang siap dibersihkan di sekitar Lembah Klang.
Menurut Nur Diyana, idea untuk menceburkan diri di dalam perniagaan tersebut muncul kira-kira setahun yang lalu selepas dia menamatkan pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan kejuruteraan alam sekitar di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pada waktu itu, dia berhasrat untuk menjalankan sebuah perniagaan, namun dia mahukan sesuatu yang berlainan daripada perniagaan-perniagaan yang sedia ada.
Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, secara kebetulan, pada waktu itu dia terlihat seorang suri rumah memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan persiapannya dalam menyediakan keperluan barang dapur bagi kegunaan seminggu di Facebook.
Pakej barang basah


NUR DIYANA (kiri) dan suami akan membeli barangan secara harian setiap hari bagi memastikan barangan yang dibekalkan kepada pelanggan sentiasa segar dan berkualiti.



Jelas Nur Diyana lagi, ketika membaca satu per satu komen yang ditinggalkan pada gambar tersebut, dia menyedari rata-rata mereka begitu berharap agar wujudnya satu perkhidmatan yang menawarkan penjualan barangan basah yang siap dibersihkan.
Melihatkan peluang tersebut, Nur Diyana dan suaminya kemudian mengambil keputusan untuk beradu nasib di dalam perniagaan tersebut.
“Menerusi perniagaan ini, kami menyediakan khidmat penyediaan barang dapur basah yang menyasarkan golongan yang bekerjaya dan juga suri rumah. Ini kerana, kami sedar kebanyakan mereka tidak mempunyai masa untuk pergi ke pasar dan membeli barangan keperluan dapur setiap hari.
“Jadi, dengan mengambil kira masalah tersebut, saya dan suami tampil dengan konsep barangan basah yang siap sedia disiang dan dicuci berserta pakej penghantaran di hadapan pintu rumah.
“Dari situ, mereka tidak lagi perlu risau akan kesuntukan masa untuk pergi ke pasar, membeli atau menyediakan barangan basah tersebut dari awal hingga akhir proses.
“Sebaliknya, barangan tersebut hanya tinggal dimasak atau disimpan ke dalam peti sejuk untuk kegunaan seterusnya,” jelas Nur Diyana.
Menariknya, barangan yang ditawarkan oleh Nur Diyana dan suami tidak tertakluk kepada sejenis barangan basah sahaja.
Ini kerana, mereka menyediakan pelbagai pakej barangan basah mampu milik yang dapat menampung keperluan dapur sehingga seminggu.
Percaya atau tidak, dengan harga serendah RM50, orang ramai kini boleh mendapatkan seekor ayam, beberapa ekor ikan, udang dan sotong yang sudah siap dibersihkan serta di hantar di hadapan pintu rumah mereka pada waktu yang diinginkan.
Menurut Nur Diyana, setiap hari, mereka suami isteri akan memulakan operasi selepas Subuh untuk mencari stok barangan dapur basah di pasar.
Aktiviti tersebut dijadikan sebagai rutin harian kerana mereka ingin memastikan kesegaran barangan yang dibekalkan kepada pelanggan terjamin.
“Selalunya orang-orang yang berniaga akan membeli secara pukal. Bagaimanapun, tidak bagi kami kerana kami lebih suka membeli secara harian bagi memastikan barangan yang diberikan kepada pelanggan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
“Setiap hari sebaik sahaja pulang dari pasar, suami akan ke tempat kerja, manakala saya pula akan memulakan proses menyiang dan membersihkan kesemua barangan basah tersebut.
“Barang-barang tersebut kemudian akan dimasukkan ke dalam plastik kedap udara sebelum dibekukan di dalam peti sejuk khas,” jelasnya yang mengusahakan perniagaan tersebut di kediamannya.
3,000 tempahan


Bahan basah yang telah dibersihkan akan dimasukkan ke dalam beg plastik kedap udara sebelum dibekukan.



Cerita Nur Diyana lagi, selalunya pada hari-hari biasa, dia akan menyiapkan kira-kira 20 bungkusan barangan basah dalam sehari.
Bagaimanapun, angka tersebut akan bertambah sehingga melebihi 40 bungkusan menjelang hari minggu.
Jelasnya lagi, disebabkan jumlah tempahan yang meningkat saban hari, dia kini terpaksa mengupah beberapa orang pekerja tambahan selain mendapatkan bantuan daripada ibu mertuanya yang mengambil peranan untuk menyiang puluhan ekor ayam setiap hari.
Selain barangan basah biasa, Nur Diyana turut menawarkan ikan salmon, ikan dori, daging batang pinang dan tulang rusuk kambing kepada pelanggannya.
“Saya sendiri tidak menyangka sambutan yang diperoleh begitu memberangsangkan biarpun tidak sampai setahun menawarkan perkhidmatan ini.
“Mana tidaknya, ketika baru memulakan perniagaan dahulu, kami tidak menerima sebarang tempahan lebih dua minggu sehinggalah saya mengiklankan perkhidmatan ini di sebuah laman web. Mungkin pada waktu itu ramai yang meragui perkhidmatan ini kerana ia masih baharu selain belum pernah dilakukan oleh mana-mana peniaga.
“Bagaimanapun, berkat kesabaran saya dan suami, kami kini telah menerima lebih 3,000 tempahan selain mempunyai pelanggan tetap yang tersendiri,” jelasnya.
Ujar Nur Diyana lagi, bersempena bulan Ramadan yang lalu, tempahan yang diterima begitu menggalakkan kerana kebanyakan golongan yang bekerjaya tidak mempunyai masa untuk ke pasar bagi mencari keperluan barang dapur.
Justeru itu, bagi memudahkan urusan harian mereka terutamanya golongan yang bekerjaya, dia dan suami telah menyediakan lapan pakej bagi memenuhi keperluan stok barangan dapur mereka sepanjang bulan tersebut.
Ceritanya, bukan sahaja bulan Ramadan, Nur Diyana dan suami turut menyediakan pakej khas sempena kedatangan Aidilfitri.
Lebih menarik, pakej yang ditawarkan tidak tertakluk kepada bekalan barangan basah sahaja, tetapi turut merangkumi barangan kering seperti santan, kerisik, ketupat, beras pulut, daun kunyit dan bermacam jenis barangan lain untuk kegunaan musim perayaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0710&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm#ixzz4EQKrmP3B 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan