18 Julai 2016

Artikel Menarik (Julai 2016) - Sistem terbaik didik pelajar tentang agama


SEBAIK azan Maghrib berkumandang, lelaki berusia 45 tahun itu bergegas menyiapkan diri dalam sebuah pondok kayu yang kian dimamah tahun.
Berjubah dan serban berona putih, Abdul Ala Hamid melangkah laju menuju ke surau berdekatan pondok kecilnya sambil tangan kanan memegang erat sebuah kitab yang sudah kekuningan.
Selesai menunaikan solat Maghrib, anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu bersama penghuni pondok lain duduk mengelilingi seorang lelaki yang dikenali sebagai tok guru.
Setiap tutur kata yang keluar daripada mulut tok guru didengar dan dihayati dengan penuh khusyuk oleh penghuni tanpa rasa jemu.
Pengajian ilmu berkait fiqh pada malam itu berlangsung selama lebih satu jam sebelum diakhiri dengan solat Isyak.
Itulah sebahagian daripada rutin harian yang terpaksa ditempuhi oleh Abdul Ala selama hampir 13 tahun menetap di Sekolah Pondok Fauzi (SPF), Yan, Kedah.
SPF merupakan sebuah sekolah pengajian pondok yang mempunyai hampir 80 orang penghuni, terdiri daripada golongan dewasa dan warga emas.
Jaga solat
“Saya memilih tinggal di pondok semata-mata untuk mendalami ilmu agama. Saya percaya suasana aman di pondok ini. Lagi pula, sejak turun-temurun ahli keluarga saya menuntut ilmu agama di sekolah pondok.
“Perkara paling menyeronokkan tinggal di pondok ialah waktu solat saya sentiasa terjaga selain dapat mempelajari ilmu agama seperti Fiqh, Feqah, Tasawuf dan mengaji al-Quran,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Menurut bapa kepada enam cahaya mata itu, walaupun terpaksa tinggal di dalam pondok usang yang serba kekurangan, namun ia bukan penghalang untuk menuntut ilmu agama.
Sebaliknya, dia mengakui kehidupan yang serba kekurangan di pondok membantu dirinya menumpukan lebih perhatian dalam pengajian.
“Saya tinggal di sebuah pondok kecil yang diwakafkan oleh pelajar-pelajar terdahulu kepada pihak sekolah. Setiap tahun saya perlu membayar yuran tapak sebanyak RM70 sebulan.
“Walaupun serba kekurangan, namun ia cukup luas dan selesa untuk mengulangkaji pelajaran dan melepaskan lelah,” katanya yang kini bergelar pembantu di SPF sepenuh masa.
Sistem pendidikan pondok merupakan institusi pendidikan Islam tradisional yang diwarisi sejak sekian lama iaitu sekitar abad ke-18 lagi.
Perkataan pondok berasal daripada perkataan Arab fuduqun yang bermaksud rumah tumpangan atau tempat penginap pengembara.
     SEBAHAGIAN pelajar pondok mengikuti kelas di dalam sekolah pondok yang telah dimodenkan.


Pondok dalam konteks sistem pendidikan kebiasaannya dikaitkan dengan rumah kecil yang didirikan sebagai tempat tinggal pelajar.
Unik
Pondok-pondok tersebut biasanya dibina berhampiran surau atau madrasah dan rumah tuan guru di sebuah kawasan khas.
Di Malaysia, sistem pendidikan pondok kebanyakannya tertumpu di negeri-negeri yang berjiran dengan selatan Thailand, seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Pengetua SPF, Ahmad Shazali Ahmed Fauzi berkata, sekolah pondok mempunyai sistem pembelajaran yang sangat unik.
Katanya, majoriti sekolah pondok tidak mempunyai sistem pelajaran yang khusus dan tersusun seperti di institusi-institusi pendidikan lain.
“Sistem kemasukan pelajar ke sekolah jenis ini tidak mempunyai had usia dan tanpa mengira latar belakang. Semua boleh masuk ke sini, cuma mereka harus mempunyai minat sahaja.
“Tempoh pengajian juga tidak terhad kepada tempoh tertentu, sebaliknya bergantung kepada kebolehan seseorang pelajar itu menguasai sesuatu ilmu.
“Kaedah pembelajaran di sini adalah dari kulit ke kulit. Satu demi satu, merangkak, teliti, cermat daripada sebuah kitab ke kitab yang lain,” katanya.
Walaupun begitu, sekolah pondok telah terbukti berjaya melahirkan ramai ilmuan Islam terunggul di rantau ini.
Antara tokoh-tokoh ulama terkenal yang telah dilahirkan daripada sekolah pondok termasuklah Tuan Guru Abbas Ahmad dan Muhammad Yusuf Ahmad al-Kalantani.
Berprestij
“Kejayaan ini jelas menunjukkan bahawa sistem sekolah pondok adalah yang terbaik untuk mendidik pelajar tentang hukum-hakam agama Islam, berakhlak mulia dan cara beribadat dengan betul.
“Setiap pembelajaran yang diajar sampai ke hati pelajar hasil daripada barakah guru yang mengajar,” katanya yang juga bekas pelajar sekolah pondok.
Pada satu ketika, sekolah pondok pernah menjadi institusi pendidikan yang terpenting dan berprestij dalam sistem pendidikan di Malaysia terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu.
Namun kini, majoriti sekolah pondok berada dalam keadaan daif dan semakin jauh ketinggalan berbanding institusi pendidikan lain di negara ini.
     SUASANA kehidupan dalam sebuah sekolah pondok di Kedah.


Mengulas mengenai tanggapan ramai mengenai keengganan sekolah pondok berubah mengikut arus semasa menjadi punca ia terus mundur, Ahmad Shazali bagaimanapun tidak bersetuju sama sekali.
Jelasnya, tidak semua sekolah pondok di negara ini enggan menerima perubahan. Misalnya, pondok miliknya telah mengalami perubahan yang hebat selepas 45 tahun beroperasi.
Antaranya termasuklah mewujudkan sekolah menengah agama harian, mengetatkan syarat kemasukan ke sekolah dan penggunaan kemudahan teknologi dalam pembelajaran.
“Kami tidak menolak sebarang perubahan yang boleh membawa kebaikan kepada sistem pembelajaran sekolah pondok. Misalnya, menggunakan teknologi seperti pembesar suara dan pemancar skrin.
“Namun, pada masa sama kami ingin mengekalkan beberapa ciri-ciri atau nilai sentimental yang ada pada sekolah pondok seperti belajar sambil duduk di depan guru, menghormati guru dan hidup berdikari,” ujarnya.
Menyedari potensi dan peranan sistem pendidikan sekolah pondok, kerajaan bertindak menubuhkan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) pada 2012.
Bantuan
Pengarah Operasi YPPM, Juhaidi Yean Abdullah berkata, matlamat utama penubuhan YPPM untuk memberi pengiktirafan kepada institusi pengajian dan warga pondok.
Katanya, kerajaan sedar institusi pondok banyak menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan pendidikan Islam di negara ini.
Pihaknya juga mengetahui kelangsungan institusi pondok memberi impak positif kepada masyarakat dan mampu menjadi penawar bagi sesetengah penyakit sosial yang kian meruncing.
“Menerusi YPPM, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan dapat berganding bahu mentransformasikan sekolah pengajian pondok di negara ini.
“Usaha ini termasuklah menyalurkan bantuan kewangan dan keperluan asas sekolah-sekolah bagi memastikan kelangsungannya,” katanya sambil memaklumkan, sebanyak 110 buah sekolah pondok telah berdaftar dengan YPPM.
Bagi memantapkan kemahiran mengajar guru-guru sekolah pondok, YPPM menawarkan 50 tempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor.
YPPM juga akan membantu pelajar-pelajar sekolah pondok yang berpotensi untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tanpa perlu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
“Langkah ini bukan bertujuan mengganggu atau mengubah sistem pembelajaran di sekolah pondok. Sebaliknya, kami mahu memastikan masa depan pelajar-pelajar sekolah pondok lebih terjamin,” terangnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0716&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4EnXgBnv7 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan