26 Julai 2016

Artikel Menarik (Julai 2016) - Kanak-kanak bersin 8,000 kali sehari


MALANG bagi seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun apabila dia terpaksa menanggung derita kerana bersin sebanyak 8,000 kali sehari.
Penyakit tersebut mula menghantui hidup Ira Saxena, 9, tiga minggu lalu.
Menurut ibunya, Priya Saxena, 38, setiap satu minit, anaknya itu akan bersin sebanyak sepuluh kali tanpa henti dan tidak menunjukkan sebarang isyarat.
Bagaimanapun, penderitaan sementara yang dihidapi gadis kelahiran Colchester, England itu berhenti serta-merta ketika dia tidur.
“Ketika pertama kali dia menghidap penyakit misteri itu, saya sangkakan ia normal dan mungkin berlaku disebabkan oleh alahan terhadap makanan.
“Tambahan pula penyakit tersebut akan terhenti apabila dia mula tidur. Disebabkan itu, saya menyangka ia akan kembali normal seperti biasa keesokan harinya.
“Bagaimanapun, keesokan harinya, dia mula bersin sebanyak 8,000 kali sehari dan ia berlanjutan sehingga ke hari ini,” jelasnya.
Ujarnya lagi, pada mulanya Ira hanya bersin biasa-biasa sahaja.
Bagaimanapun, lama-kelamaan tahap bersin Ira semakin menjadi-jadi sehingga ia menyebabkan seluruh ahli keluarga begitu takut melihatkan keadaan tersebut.
Penyakit misteri
Menurut Priya lagi, keadaan tersebut mengganggu aktiviti harian anaknya sehingga menyebabkan dia tidak boleh ke sekolah.
Bimbang dengan keadaan tersebut, ibunya membawa Ira ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.
Sangka Priya, penyakit anaknya mampu sembuh sejurus bertemu doktor.
Bagaimanapun, sangkaan tersebut meleset kerana doktor sendiri tidak dapat mengenal pasti penyakit yang dihidap anaknya itu.
Bukan itu sahaja, doktor turut mendakwa, penyakit tersebut berkemungkinan merupakan penyakit misteri dan tiada kaitan dengan alahan terhadap suhu sejuk mahupun makanan.
“Sudah tentu saya tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh doktor berkenaan.
“Disebabkan itu, saya kemudian membawa Ira ke beberapa buah klinik pakar untuk pemeriksaan lanjut.
“Jawapan yang diterima sama sahaja dan ia benar-benar menghampakan perasaan saya sebagai seorang ibu. Siapa yang tidak sedih apabila melihat anak yang selama ini membesar dengan sihat tiba-tiba menghidap penyakit misteri yang tiada penawar,” jelasnya.
Doktor mendakwa, penyakit tersebut berkemungkinan berlaku disebabkan oleh dua keadaan iaitu sistem saraf pada otak yang tidak dapat menyeimbangkan tindak balas badan dan juga gangguan pada tekak yang dipanggil immunologist.
Hidung gatal
Bagaimanapun, dakwaan tersebut hanya andaian awal hasil daripada eksperimen dan ia masih belum dapat disahkan.
“Dia tidak mempunyai alahan kepada apa-apa dan diberikan beberapa jenis ubat seperti steroid, antihistamin dan semburan hidung.
“Ubat-ubatan tersebut bagaimanapun tidak dapat memberi tindak balas terhadap badan Ira.
“Saxena pernah menjalani rawatan hipnoterapi selama satu jam dan pada waktu itu dia berjaya tidak bersin sepanjang tempoh waktu tersebut.
“Sebaik sahaja rawatan tersebut berakhir, dia kembali bersin seperti biasa,” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut Ira, sejak menghidapi penyakit misteri tersebut, dia begitu gemar tidur kerana ia merupakan satu-satunya waktu yang membolehkannya berada dalam keadaan tenang.
“Penyakit yang saya hidapi ini sangat membebankan kerana ia menyukarkan pergerakan harian dan membuatkan saya mudah penat. Saya bersyukur kerana guru-guru dan rakan-rakan di sekolah banyak membantu.
“Saya pernah ke sekolah tetapi hanya bertahan selama beberapa jam kerana saya bersin tidak henti-henti dan ia mengganggu proses pembelajaran.
“Hidung saya sentiasa terasa gatal dan seperti mempunyai air yang banyak di dalamnya,” jelas Ira.
Menurut gadis itu lagi, dia tidak mengharapkan apa-apa melainkan segera sembuh dan mampu menjalani kehidupan normal seperti sebelumnya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan