NEW YORK – Pasaran saham global mengalami penyusutan nilai kira-kira AS$2 trilion (RM8.2 trilion) kelmarin selepas Britain memilih untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), manakala mata wang Britain, pound sterling jatuh dalam tempoh sehari ke paras terendah dalam tempoh 31 tahun.
Akibat keyakinan pelabur dan ketidaktentuan, undian itu sekali gus menghalang Rizab Persekutuan AS daripada meningkatkan kadar faedah seperti yang dirancang pada tahun ini, malah mencetuskan pengurangan pusingan dasar kecemasan baharu daripada bank-bank pusat utama.
Langkah itu menyukarkan pelabur yang menjangka Britain akan mengundi untuk kekal dalam EU dan mewujudkan penetapan semula harga kelas aset.
Pasaran ekuiti Eropah mengambil bahagian jualan paling hebat apabila para pelabur bimbang undian itu boleh menjejaskan kestabilan blok 28 anggota dengan mendorong lebih banyak referendum daripada negara lain.
Bagaimanapun, mata wang Jepun, Yen dan emas terus mencatatkan peningkatan.
Pasaran emas meningkat hampir empat peratus dan hasil ke atas penanda aras 10 tahun wang Perbendaharaan AS merosot ke paras terendah iaitu 1.406 peratus, kali terakhir pada 2012.
Saham merosot di Eropah, Frankfurt dan Paris dengan masing-masing mencatatkan penurunan 7 ke 8 peratus.
Pasaran saham Itali dan Sepanyol turut mencatatkan kejatuhan dalam tempoh sehari apabila merosot lebih 12 peratus.
Syarikat Unicredit daripada Itali turut mencatatkan kemerosotan sebanyak 24 peratus, manakala bank Banco Santander di Sepanyol merosot 20 peratus.
Bursa Saham London, FTSE pula merosot 3.2 peratus dengan sebilangan pelabur membuat spekulasi bahawa kejatuhan nilai pound boleh memberi manfaat kepada ekonomi Britain.
Keputusan pengundian yang menunjukkan 51.9 peratus undi keluar dan 48.1 peratus undi kekal telah meletakkan Britain pada laluan yang tidak menentu dan mewujudkan halangan terbesar kepada usaha Eropah untuk menjalin perpaduan yang lebih besar sejak Perang Dunia Kedua. – REUTERS
Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0626&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4CoufxO8Y
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan