12 Mei 2016

Atikel Menarik (Mei 2016) - Lukisan atas papan selaju




RUANG tingkat dua Urbanscapes House di Medan Pasar, Jalan Hang Kasturi, Kuala Lumpur pada hari Khamis lalu tidak putus-putus dilawati pengunjung.
Masing-masing cuba menghayati dan menghadam setiap karya seni yang dipamerkan di situ. Menjadikan papan selaju sebagai ‘kanvas’, setiap artis yang mengambil bahagian meluahkan seni eksplorasi visual mengikut tema yang ditetapkan.
Tidak ketinggalan, Najib Ahmad Bamadhaj, 29, yang turut sama menzahirkan rasa menerusi karya seni berjudul Stand Tall pada Pameran Cannot Be Bo(a)rded yang diadakan buat pertama kalinya di Malaysia itu. Seperti karya lain, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut menyampaikan mesej tersembunyi di sebalik hasil kerjanya.
Memaparkan panorama ibu negara meliputi mercu tandanya, Menara Kuala Lumpur (Menara KL) yang dikelilingi rama-rama berwarna kuning dan merah serta hutan batu di sekelilingnya, karya berkenaan sebenarnya mengisarkan tentang isu politik semasa negara.
Menurut Najib, Menara KL yang masih utuh berdiri tegak menjadi simbol Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang masih tenang biarpun menerima pelbagai serangan politik.
Katanya, rama-rama berwarna kuning pula disifatkan sebagai peserta Perhimpunan Bersih, manakala rama-rama merah pula menjadi lambang kumpulan berbaju merah Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan pada 17 September tahun lalu.
“Idea ini tercetus selepas melihat situasi pada Perhimpunan Bersih dan Himpunan Rakyat Bersatu. Sebagai artis, saya melihat rakyat seperti rama-rama. Ia melambangkan kesucian, kebebasan dan kerapuhan seperti sifat rama-rama itu sendiri,” katanya ketika ditemui kru Jurnal baru-baru ini.


PAMERAN Cannot Be Bo(a)rded anjuran Urbanscapes ini mengetengahkan papan selaju sebagai medium utama penghasilan karya seni.


Cat akrilik
Bercerita tentang proses menghasilkan karya tersebut, anak kelahiran Muar, Johor itu memberitahu, dia menggunakan 10 keping papan selaju yang dicantum antara satu sama lain sebagai medium lukisan.
“Sebenarnya pihak penganjur memang bagi 10 keping, namun terpulang kepada artis untuk guna seberapa banyak bergantung kepada kemahuan individu,” ujarnya.
Najib berkata, dia terlebih dulu menyusun papan selaju secara menegak dan membuat bingkai di belakangnya supaya struktur papan selaju itu lebih stabil.
Katanya, selain membantu menguatkan struktur, ia membolehkan lukisan yang dihasilkan pada satu-satu papan selaju nampak seragam.
“Mula-mula saya cari subjek yang dikehendaki sebelum ketengahkan jalan cerita di sebalik karya ini. Bagi lukisan ini, saya guna cat akrilik dan ambil masa selama seminggu untuk menyiapkannya,” cerita Najib.
Ditanya mengenai cabaran, anak kedua daripada lima adik-beradik yang berpengalaman selama hampir enam tahun dalam bidang seni halus itu mengakui, meskipun nampak mudah, namun karya tersebut ada cabaran tersendiri.
“Ini adalah kali pertama saya melukis di atas papan selaju dan ternyata ia berbeza daripada kanvas. Sebenarnya agak sukar untuk melukis di atas papan selaju kerana permukaannya yang licin. Selain itu bentuk tidak rata dan melengkung turut menyukarkan kerja-kerja melukis,” jelasnya panjang lebar.


KAYU panel dijadikan medium dalam menghasilkan karya berjudul Survival 9 ini.


Tindih warna
Kru Jurnal menyangkakan bahagian yang paling sukar dibuat pada karya Stand Tall adalah Menara KL kerana perinciannya begitu halus, namun ternyata telahan itu meleset sama sekali.
Najib sebaliknya memberitahu, dia mengalami kesukaran ketika mewarnakan rama-rama.
“Karakter karya ini perlu rata, jadi bagi mendapatkan ciri-ciri itu, saya guna teknik tindihan warna. Namun, rama-rama agak susah dicat kerana warna kuning dan merah seakan-akan sukar untuk diadun bersama warna coklat papan selaju.
“Saya perlu mewarnakannya beberapa kali tidak seperti Menara KL yang tidak susah untuk diwarnakan kerana warnanya iaitu kelabu dan putih mudah masuk dengan warna papan selaju,” cerita Najib.
Biarpun memerlukan disiplin, ketekunan dan kesabaran yang cukup tinggi, Najib berpuas hati dan berbangga kerana dapat menzahirkan mesej itu dalam karya lukisannya.
“Sebelum ini, karya saya banyak berkisarkan tentang kepupusan haiwan, namun sejak Mac tahun lalu saya lebih cenderung berkarya tentang isu politik dalam negara.
“Saya berpendapat medium yang digunakan bagi sesebuah lukisan adalah imej utama, manakala subjek yang diketengahkan adalah imej sekunder. Sebagai contoh dalam karya-karya sebelum ini, saya guna papan kayu terpakai sebagai mesej tentang habitat haiwan di negara ini semakin terancam dek kerakusan manusia. Haiwan yang diancam kepupusan pula dilukis di atas papan berkenaan sebagai imej untuk menyokong mesej yang cuba disampaikan,” katanya.


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm#ixzz48PKNLwnn 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan