12 Mei 2016

Artikel Menarik (Mei 2016) - Cincin 13 hasil kerja tangan Tok Sabri




MENJEJAKI premis kecil di kawasan sempadan daerah Klang dan Banting, Selangor itu terasa seperti berada di sempadan waktu. Dihiasi dedaun nipah, kedai cincin berdekorasi kayu-kayan di persimpangan Jalan Batu 7 Sempadan, Sijangkang itu menawarkan warisan kraf unik bersentimen eksentrik.
Pengusahanya, Mohammad Sabberi Yunus, 44, digelar Tok Sabri sebenarnya belum bercucu bahkan masih bujang. Gelaran itu diberikan rakan-rakan lantaran kemahirannya sebagai tukang cincin kayu yang dianggap seni orang tua selain rambutnya yang semakin ditumbuhi uban.
Pelanggan kraf cincin kayu yang dihasilkan oleh Tok Sabri datangnya dari negara jiran, Singapura. Ironinya, kraf itu masih kurang mendapat liputan walaupun disenaraikan oleh sebuah blog di internet sebagai salah satu produk kraf di Selangor yang wajib diketahui.
Kerja tangan


TOK SABRI yang memiliki kemahiran membuat cincin permata kayu.


Melihat gemerlapan ketulan-ketulan lonjong di dalam peti, ia nampak seperti bijian batu licin.
Hakikatnya, ia merupakan ketulan kayu yang menjadi permata hiasan cincin buatan Tok Sabri.
Tok Sabri dikagumi kerana kehalusan pembuatan cincin berpermata kayunya terutamanya cincin 13 iaitu rekaan cincin sukar ditemui yang direka dengan 13 jenis kayu atau teras kayu. Bingkai cincinnya pula diperbuat sama ada daripada besi atau perak.
Menurut Tok Sabri, pada masa ini terdapat 18 jenis kayu yang masih ada dalam simpanannya untuk dibuat permata cincin seperti kayu kemuning hitam, gemunggal, raja kayu dan lain-lain.
“Saya mencabar diri untuk sentiasa menghasilkan rekaan-rekaan baharu yang bersesuaian dengan cita rasa moden.
“Selain golongan lebih berusia, saya juga mahu menarik minat orang muda memakainya. Saya tidak mahu orang kata rupa cincin saya macam cincin bomoh,” katanya yang selesa berpakaian jersi dalam pertemuan dengan Kosmo! di kedainya baru-baru ini.
Keindahan kerja tangan Tok Sabri turut diserikan dengan kreativitinya memasukkan kepingan aloi atau perak pada rekaan kayunya. Lazim didapati dalam bentuk bulat atau segi empat, kayu-kayu tersebut secara semula jadi mempunyai warna dan corak yang menarik seperti sulur bertam yang mempunyai corak seperti bunga.
“Kayu-kayu ini dipotong kecil sebelum dicanai dengan mesin canai bagi membentuk ketulan-ketulan bulat atau bujur sebelum menjadi rekaan permata cincin kayu.
“Sebelum memiliki mesin, saya mencanai secara manual menggunakan gergaji, pisau dan kikir serta mengambil masa dua jam untuk siapkan sebiji permata kayu. Sekarang, 10 minit pun boleh siap sebiji. Sebentuk cincin pula boleh disiapkan sekitar tiga hingga empat jam,” katanya yang sudah lebih sedekad menceburi kerjaya itu.
Tok Sabri berkata, premisnya pernah dikunjungi Kembara Kraf Selangor tahun lalu yang turut disertai pelancong dari China, Korea dan Jepun.
Warisi kemahiran
ANEKA cincin permata kayu rekaan Tok Sabri diperbuat daripada pelbagai jenis kayu.


“Mereka sungguh tertarik dengan cincin-cincin kayu yang saya hasilkan kerana di tempat mereka tidak ada cincin seperti itu. Saya juga pernah dikunjungi pelancong dari England. Dia menyifatkan cincin seperti ini bernilai tinggi di negaranya.
“Pelanggan-pelanggan saya datang sejauh Singapura. Ramai juga dalam kalangan pelanggan saya ahli-ahli korporat dan kerabat diraja,” katanya yang dilahirkan di Melaka tetapi dibesarkan di Selangor.
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tok Sabri mewarisi kemahiran pembuatan cincin daripada bapanya, seorang guru agama, Allahyarham Yunus Abu atau Mat Qari yang merupakan pengasas sebuah madrasah di Kuala Linggi, Melaka.
Bapanya suatu ketika dahulu pernah dikenali sebagai pakar khasiat kayu dan pembuat cincin yang hebat dengan kemampuan menghasilkan cincin kayu 33 atau campuran 33 jenis kayu.
Sememangnya apabila berbicara tentang khazanah alam seperti kayu sukar untuk dicerakinkan dengan aura, khasiat dan kegunaannya yang menjadi tarikan orang untuk menggunakannya. Kayu tongkat Ali misalnya sehingga kini dikaitkan dengan kesihatan lelaki.
Sejak dulu, masyarakat kita menggunakan kayu dan pelbagai tumbuhan sebagai ramuan untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan kesihatan. Ada kayu yang dipercayai menjadi penawar, pembuang bisa, pelindung daripada haiwan, makhluk halus dan sebagainya.
“Saya sebenarnya bimbang apabila bercakap perkara ini kerana paling takut berlaku syirik. Seringkali saya tekankan kepada para pelanggan, sebelum mereka memikirkan tentang khasiat atau kelebihan kayu yang paling utama ialah jangan menyekutukan Allah. Kita mesti percaya semuanya berlaku dengan kuasa dan kehendak Allah semata-mata manakala kayu itu cuma asbab (sebab).
“Sebenarnya bagi saya tidak timbul soal mistik, kerana Allah jadikan tumbuh-tumbuhan itu secara semula jadinya dengan pelbagai khasiat dan kegunaan tersirat tetapi kita sebagai manusia mungkin tidak tahu kerana tidak mengkaji. Ia tidak memerlukan kepada jampi serapah atau kepercayaan karut pun.
“Kayu tas misalnya dianggap sebagai penunduk haiwan sedangkan ia sebenarnya tumbuhan yang dijadikan Allah mempunyai bau hanyir yang tidak disukai haiwan liar di dalam hutan. Kemuning hitam pula membuang bisa haiwan seperti lipan, ikan sembilang dan ular kerana keupayaannya membuang racun manakala memegang gemunggal bukan kebal tetapi ia membantu mengelak kemudaratan simbahan asid kerana kayu itu mengandungi alkali yang tinggi,” dakwanya.
Sungguhpun Tok Sabri merupakan tukang cincin kayu, dia bagaimanapun tidak pernah masuk ke hutan mencari kayu. Sebaliknya dia membeli daripada pengumpul atau mengupah orang.
Kisah Tok Sabri mula berkecimpung dalam pembuatan cincin kayu juga tidak kurang menarik.
Mimpi


SELEKSI ketulan kayu seakan-akan ketulan batu licin.


“Saya sebenarnya tidak pernah terfikir untuk menjadi tukang cincin kayu dan tidak pernah berminat untuk mempelajarinya daripada bapa. Selepas bapa meninggal dunia pada tahun 2003, permintaan terhadap cincin kayu masih ada dan saya terpaksa menolak permintaan kerana tidak tahu membuatnya.
“Suatu malam saya bermimpi bapa membawa saya ke biliknya. Saya terjaga dan timbul tanda tanya, lalu saya ke biliknya untuk melihat apa yang ada. Saya melihat pelbagai jenis kayu dan saya cuba membuat cincin dengan kayu-kayu itu dan tidak sangka berjaya. Mungkin kerana darah kemahiran bapa saya itu sudah mengalir dalam diri.
“Saya kemudian mengumpulkan kertas-kertas catatan bapa tentang khasiat-khasiat kayu. Saya merujuk kepada pakar-pakar kayu tentang catatan bapa saya dan mereka mengesahkan kesahihan maklumat itu,” katanya.
Namun, Tok Sabri kini mempunyai dilemanya sendiri. Sebagai seorang yang masih belum berumah tangga, dia bingung kepada siapa akan diwarisi kemahirannya membuat cincin kayu itu.
“Saya pun fikir tentang pelapis untuk mewarisi legasi kemahiran ini, adik-beradik saya macam tidak ada yang ke arah itu. Ibu saya pun sudah bertanya sampai bila saya nak membujang. Nampaknya tahun ini juga kena kahwin,” katanya tertawa.


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0509&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz48PJkMU6g 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan