18 Mei 2016

Artikel Menarik (Mei 2016) - Pesta air cetek Sungai Golok




BERJALAN kaki merentasi ­Sungai Golok ke Thailand. Mungkin kedengaran mustahil namun sejak lebih sebulan lalu, paras air sungai tersebut surut sehingga beberapa kawasan hanya sedalam betis orang dewasa berpunca daripada fenomena El Nino.
Kebiasaannya, aliran air Sungai Golok dari hulu daerah Waeng di wilayah ­Narathiwat mengalir lesu ke muara di daerah Tak Bai. Menariknya, sungai tersebut merentangi sempadan Malay­­sia - Thailand bermula di Jeli sehingga ke Pengkalan Kubor dengan kepanjang­an kira-kira 168 kilometer.
Kemarau yang melanda rantau ini sejak Januari lalu mengakibatkan aliran Sungai Golok bertambah lesu. Sungai yang dahulunya sebak, berkedalaman hingga lima meter kini semakin jangkat. Batu sungai serta pasir yang dahulunya berada di dasar kini mula timbul.
Fenomena itu menarik perhatian masyarakat setempat. Dalam tinjauan ke Rantau Panjang, Kelantan, kru Jurnal mendapati, air sungai tersebut hanya separas betis orang dewasa. Antara kawasan sungai yang terkena tempias ialah di Kampung Lubok Gong dan Kampung Kedap.
Lokasi paling menarik perhatian orang ramai adalah di belakang Klinik Kesihatan Rantau Panjang yang berhubung dengan Kampung Bereng, Thailand. Penduduk mengambil kesempatan itu dengan ‘berpesta’ setiap hari. Antara aktiviti yang dilakukan ialah beriadah, selain membawa anak-anak bermain air.
Seorang penduduk pekan Rantau Panjang, Saripah Hasan, 61, berkata, musim kemarau tahun ini menyebabkan paras air Sungai Golok menjadi cetek. Keadaan air yang hanya separas betis membolehkan orang ramai membawa anak kecil mereka daripada yang berusia empat tahun untuk bermain air.
“Cuaca panas serta air sungai yang sejuk menjadikan kawasan di belakang Klinik Kesihatan ini tumpuan ramai. Ini merupakan kali pertama air Sungai Golok menjadi cetek sebegini.
“Setiap hari kira-kira 400 hingga 1,000 orang pengunjung akan datang beriadah di beting pasir di belakang rumah saya. Ada yang membawa anak-anak untuk mandi-manda, ada yang mengambil kesempatan untuk menjual makanan dan air minuman.
“Setiap pukul 5 petang keadaan ini menjadi seperti keraian atau tapak pesta. Pelbagai gelagat dan ragam penduduk boleh dilihat. Suasana ini tidak ubah seperti beriadah di Pantai Irama, Bachok,” katanya.

Keadaan paras air Sungai Golok yang hanya separas betis membolehkan orang ramai beriadah dengan berkelah dan bermandi-manda.


Terlalu cetek
Rata-rata penduduk yang tinggal di tebing sungai terbabit mengakui, itu merupakan kali pertama mereka melihat kejadian seumpamanya. Berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air Sungai Golok kini hanya berada pada paras kira-kira tiga meter ber­banding paras normal iaitu lima meter.
Menurut Hasnah Awang Kecik, 58, pula, perkara itu disifatkan sebagai luar biasa kerana tidak pernah sepanjang dia menetap di situ, sungai terbabit menjadi terlalu cetek.
“Sebelum ini sungai ini pernah cetek tetapi tidaklah sampai bot tidak boleh melaluinya. Tahun lalu pun kemarau juga tetapi tidaklah sehingga penduduk boleh menyeberang dengan berkaki ayam ke seberang.
“Saudara-mara yang tinggal di seberang Sungai Golok ini selalunya menggunakan khidmat bot tambang. Namun, sejak lebih sebulan lalu, pengusaha bot sudah tidak beroperasi di pangkalan ini.
“Peniaga kecil-kecilan dari seberang sana kadang-kadang berjalan kaki merentasi sungai membawa barangan seperti buah-buahan, makanan ringan dan minuman untuk dijual di sini,” katanya.

ORANG ramai lazimnya menggunakan sampan sebagai pengangkutan utama untuk menyeberangi Sungai Golok jika paras airnya normal.


Cari etak
Hujan yang tidak turun sejak bulan Mac lalu membuatkan serokan atau teluk kecil di sepanjang sungai tersebut mula kelihatan. Bot-bot penambang yang digunakan untuk membawa penumpang ke seberang kini sudah mula tersadai di pinggir sungai.
Keadaan itu memberi kelebihan pula kepada penduduk. Mereka mengisi masa terluang dengan mencari etak, udang dan ikan di sungai berkenaan.
Seorang penduduk Kampung Kedap, Jafar Long, 61, memberitahu, paras air cetek ini memboleh­kannya mengutip etak untuk dijadikan hidangan, malah ada yang memperoleh laba dengan menjual kerangan tersebut.
“Ketika air surut, proses mencari etak lebih mudah. Sebelum ini mungkin lokasi ‘lubuk’ etak ini agak susah untuk dimasuki berikutan airnya deras.
“Kini dengan keadaan yang cetek, kita dengan mudah masuk ke kawasan lumpur yang menjadi habitatnya. Pelbagai peringkat usia menyertai aktiviti mencari kerangan ini.
“Ini mampu menambah pendapatan kami seharian, kadang-kadang kalau kena dengan keadaan kami boleh membawa pulang kira-kira lima kilogram etak,” katanya.

Peniaga, Numi (kiri) melayan pelanggannya yang membeli makanan di gerainya di pesisir Sungai Golok.


Ketatkan kawalan
Seorang peniaga kain, Numi Che Ghani, 40, berkata, dia memanfaatkan masa terluang untuk menjual makanan dan minuman di beting pasir Sungai Golok pada sebelah petang bermula pukul 5 setiap hari.
“Pada sebelah pagi saya berniaga kain, masa terluang di sebelah petang pula digunakan untuk menjual makanan sejak dua minggu lalu. Selepas penat bermain air, orang ramai akan membeli juadah yang dijual untuk mengisi perut yang kelaparan.
“Setiap petang orang ramai berpesta datang ke sungai yang menghubungkan Kampung Bereng di Thailand dan pekan Rantau Panjang ini tidak putus-putus, malah jumlahnya sema­kin bertambah saban hari. Jadi, ini memberi rezeki tambahan kepada saya,” katanya.
Selepas berita paras air Sungai Golok kering tersebar, ada penduduk yang melahirkan kegusaran tentang meningkatnya aktiviti penyeludupan serta jenayah rentas sempadan di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Azhar Mohamad Yusof memberitahu, keadaan di Sungai Golok terkawal dan masyarakat tidak perlu bimbang dengan keselamatan mereka.
“Setakat ini, daripada pemantauan khususnya di sepanjang satu kilometer kawasan Sungai Golok yang mengalami penyusutan paras air, tidak ada lagi kes penyeludupan atau aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Bagaimanapun pihak Angkatan Tentera Malaysia akan sentiasa me­lakukan pemantauan dan mempertingkatkan kawalan di sepanjang kawasan tersebut.
“Seramai 535 anggota ATM mengawasi sempadan Malaysia- Thailand terutamanya di sepanjang Sungai Golok bagi mengawal aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan rentas sempadan,” katanya


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz491teovAy 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan