RASULULLAH S.A.W bersabda yang bermaksud: "Solat pada awal waktu dari awalnya mendapat keredaan ALLAH dan di akhirnya mendapat keampunan ALLAH (Riwayat al-Termizi).
Berlandaskan hadis ini, Muslim disarankan agar menyegerakan solat ‎selaras dengan saranan Nabi kita, Muhammad SAW.
Namun, kadangkala kita sebagai manusia yang imannya ada turun naik tanpa sedar ada kalanya melengahkan waktu solat.
Moga ALLAH sentiasa memandu kita ke jalan yang lurus dan benar.
Sebagai satu muhasabah, baru-baru ini penulis berkesempatan ke bumi Syam, Jordan, sepanjang keberadaan di sana, penulis merasakan ada beberapa budaya di bumi tersebut yang perlu ditiru oleh masyarakat Islam kita, antaranya menyegerakan solat.

SOLAT DIMANA-MANA, SEUSAI AZAN
Pada pemerhatian penulis sepanjang 11 hari berada ‎di sana, penulis mendapati rata-rata umat Islam di sana menjadikan amalan menyegerakan solat sebagai satu kelaziman.
Sebab itulah, jika anda ke sana anda boleh melihat mereka menunaikan solat di mana-mana asal sahaja tempat itu bersih dan membolehkan mereka menunaikan solat selepas sahaja azan habis berkumandang.
Dalam pada itu, antara budaya yang boleh ditiru di Jordan adalah layanan kepada tetamu dan sapaan memberi salam kepada sesama muslim walaupun kita tidak mengenali mereka.
Jadi sepanjang keberadaan penulis di sana, penulis merasakan seperti berada di negara sendiri kerana mereka seolah-olah tidak meminggirkan orang luar seperti penulis.

MERAIKAN TETAMU  WALAUPUN 'TIDAK SEBERAPA'
Lagi satu budaya di sana adalah menganggap 'tetamu sebagai membawa rahmat daripada ALLAH'  maka ‎tidak hairanlah anda akan dijamu dengan sehabis baik oleh tuan rumah jika anda berkesempatan melawat mereka.
Kesempatan penulis melawat beberapa rumah Arab Jordan disana, budaya itu ternyata memberi kesan kepada penulis bahawa tuan rumah benar-benar mengalu-alukan kedatangan tetamu.
Makanan terlebih cukup, itu sahaja yang boleh dikatakan, walaupun kalau kita lihat dari segi luaran mereka sebenarnya tidaklah semampu mana.

RAMADAN YANG DINANTI
Sementara itu, ketika penulis menemui beberapa pelajar Malaysia yang menuntut di sana, mereka mendambakan ketibaan bulan Ramadan kerana bulan mulia itu dinantikan bukan sahaja penduduk di sana tetapi, rakan muslim dari negara lain.
"Bayangkan mereka akan memanggil kita berbuka sekali, walaupun ‎kita tidak kenal mereka, rezeki waktu bulan puasa sangat murah, saya sangat merindui bulan tersebut,".
"Ramadan bagai satu perayaan, majlis ilmu, ceramah agama 'membiak-biak, indahnya Ramadan," jelas Ahmad penuntut Malaysia Universiti Yarmouk ketika berbicara mengenai bumi Jordan.
Penulis bersama NGO Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Astro Prima memulakan misi ke kem pelarian Syria di Jordan yang mengambil masa selama 11 hari di bumi Jordan bermula 12 April lalu.
Ketiga-tiga agensi ini yang disatukan dalam satu tim, ke kem pelarian Syria di Jordan adalah bagi memberi sumbangan berbentuk ubat-ubatan, makanan dan sumbangan yang lain.
Kira-kira 10 orang krew yang terlibat dalam misi kemanusian tersebut iaitu terdiri daripada Penerbit Program Hajat Astro Prima, Azmee Mahmud; Pengarah Hajat Musim ke-5, Lokman Hakim Mustapha; Pengacara Hajat Musim ke-5 Pencetus Ummah, PU Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil dan Pengacara bersama, PU Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi.
Selain itu, dua orang doktor daripada NGO (Haluan) iaitu Ketua Biro Kemanusiaan Dr Baharuddin Suri; ‎Ketua Unit Latihan Biro Kemanusiaan Dr Mohtar Ibrahim; Aktivis Kemanusiaan Haluan, Muhammad Qawiem Abdul Baki dan ‎Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan Haluan Muhammad Shakir Sabarudin.
Turut bersama aktivis Kemanusiaan Haluan yang juga merangkap jurugambar, ‎Abdullah Afiq Nashiron dan wartawan Sinar Harian Muhammad Shamsul Abd Ghani.‎

RUJUKAN : http://www.sinarharian.com.my/rencana/budaya-di-jordan-yang-wajar-dicontohi-1.514084