14 Jun 2016

Artikel Menarik (Jun 2016) - Galakan orang ramai bertukang di rumah


SALAH seorang ahli komuniti menyiapkan kerusi kayu.


MEMILIKI perabot yang lengkap dan bersesuaian dengan keluasan kediaman pasti menjadi impian setiap insan.
Namun, kekangan kewangan menyebabkan ramai individu yang terpaksa melupakan hasrat tersebut.
Munzir Ahmad Jazuli, 28, tidak terkecuali berdepan dengan dilema itu selepas dia mengambil keputusan berpindah ke rumah baharunya di Kampung Melayu Subang, Selangor.
Bagi merealisasikan impian itu, dia memutuskan untuk mereka bentuk perabot sendiri. Malangnya, Munzir tidak mempunyai asas dalam kerja-kerja pertukangan kayu.
Justeru, anak kelahiran Johor itu mencari maklumat berkaitan pertukangan kayu secara online. Sewaktu sibuk mencari maklumat menerusi media sosial Facebook, Munzir mendapati laman komuniti yang menyediakan ilmu pertukangan perabot iaitu Pertukangan Kayu Do It Yourself (DIY) Malaysia (PKDIYM) dapat membantu merealisasikan impiannya.
Menerusi teknik dan tip yang diperoleh daripada komuniti itu, Munzir berjaya menyiapkan meja serta kerusi makan dalam tempoh seminggu. Malah, reka bentuk dan hasilnya juga cukup menawan.
“Saya tidak sangka ada laman perkongsian berkaitan kerja kayu di negara ini. Sebelum menjumpai laman web ini, saya ada melihat beberapa laman web pertukangan luar negara seperti Woodworking Profit dan Joe’s Deck Plans.
“Laman ini juga memberi idea kepada saya untuk menghasilkan meja dan kerusi makan dengan modal minimum menerusi penggunaan kayu palet pain yang diperoleh secara percuma di belakang kilang” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu kemudiannya memuat naik gambar meja dan kerusi makan tersebut dalam laman komuniti.
Namun, ada rakan berminat untuk membuat tempahan selepas tertarik dengan reka bentuk dan hasil kerjayanya yang kemas.
Pada awalnya, Munzir terpaksa menolak tempahan-tempahan itu kerana niatnya memuat naik imej tersebut hanya satu perkongsian bersama rakan.
Kesibukan tugas sebagai seorang pendidik di Sekolah Rendah Agama Bukit Jelutong, Selangor juga menyukarkannya untuk menyiapkan tempahan itu.
Begitupun, minat yang mendalam terhadap pertukangan kayu akhirnya mendorong Munzir menerima tempahan perabot secara kecil-kecilan.
“Niat asal saya menyertai komuniti ini hanya mahu mendalami ilmu berkaitan bertukang kayu. Namun, tanpa disangka hobi itu membuka peluang kepada saya untuk menambah pendapatan.
Lumayan
“Ini semua hasil maklumat dan tunjuk ajar yang diperoleh daripada laman PKDIYM. Ilmu yang diberi sangat lengkap berserta foto dan video,” katanya yang mampu meraih pendapatan lumayan hasil penjualan pertukangan kayu.
PKDIYM merupakan sebuah komuniti yang diwujudkan untuk mengumpul para peminat dan penggiat seni pertukangan kayu di negara ini.
Ia juga merupakan platform perkongsian maklumat berkaitan kerja-kerja pertukangan kayu daripada proses mereka bentuk sehinggalah kepada pemasaran. Komuniti itu mempunyai hampir 31,000 orang pengikut dalam laman Facebook.
Sementara itu, salah seorang pengikut PKDIYM, Mohd. Shaharul Nizam Mohd. Suhaimi, 31, berkata, komuniti tersebut banyak memberi ilham kepadanya untuk membuka bengkel pertukangan kayu.
Bermula secara suka-suka, bekas pekerja Sime Darby itu tidak menyangka sama sekali minat terpendam dalam pertukangan kayu sejak sekian lama dapat dikembangkan selepas menyertai komuniti PKDIYM.
Kini, dia berbangga selepas berjaya bergelar seorang usahawan perabot apabila membuka Kustom Karpenter di Puchong, Selangor pada awal tahun ini.
“Kalau ikutkan, pekerjaan saya sebelum ini tidak begitu kena dengan jiwa. Saya lebih sukakan kerja-kerja pertukangan.
“Minat ini telah membawa saya ke PKDIYM bagi melihat perabot yang dihasilkan oleh rakan-rakan lain. Daripada situ, timbul rasa untuk mula bertukang dengan membuat rak baju, rak buku dan rak aksesori di rumah sebelum dikomersialkan,” katanya.
Bak keluarga


HISHAMUDDIN menunjukkan salah satu meja kayu yang berjaya dihasilkannya.


Menurut anak kelahiran Taiping, Perak itu, PKDIYM banyak membantunya daripada aspek konsep reka bentuk, cara penggunaan mesin kayu, aksesori, tempat mendapatkan kayu murah dan pemasaran.
Tambahnya, rakan-rakan dalam komuniti juga tidak lokek memberi nasihat dan tip bagi menyelesaikan setiap permasalahan yang diajukan.
“Ahli dalam komuniti ini seperti sebuah keluarga. Apa sahaja persoalan yang ditanya di dalam komuniti ini pasti akan dijawab. Ia sangat mudah dan membantu.
“Pernah satu ketika, saya ingin mengetahui mengenai kedai yang membekalkan peralatan pertukangan kayu dengan harga murah di sekitar Lembah Klang.
“Ramai yang beri input dan akhirnya saya dapat membeli peralatan dengan harga terbaik,” katanya yang telah menyertai komuniti PKDIYM sejak awal tahun lalu.
Menariknya, komuniti PKDIYM turut menjadi rujukan beberapa usahawan pertukangan kayu berjaya di negara ini termasuk Mohd. Saiful Bahrin Mohd. Rani dan Nur Shazlisha Sahar.
Jelas Pengasas PKDIYM, Hishamuddin Azhar atau lebih dikenali sebagai Rombozzi, 36, objektif utama penubuhan komuniti PKDIYM adalah untuk menggalakkan orang ramai bertukang di rumah.
Katanya, komuniti itu diwujudkan selepas mendapati bahawa tidak ada platform atau forum yang boleh dijadikan rujukan berkaitan pertukangan kayu di negara ini.
“Menerusi komuniti ini, saya berharap ia dapat membantu masyarakat memperoleh maklumat berkaitan pertukangan kayu sama ada dari segi peralatan, teknik, tip, pendapat mahupun aduan.
“Maklumat-maklumat ini dapat membantu orang ramai membuat perabot sendiri di rumah dan menjadikannya sebagai hobi mengisi masa lapang mereka,” katanya yang turut terkenal sebagai seorang tukang kayu.
Hishamuddin juga tidak menyangka, komuniti yang diasaskannya sejak Mei 2014 itu akan mendapat maklum balas positif daripada masyarakat.
Komuniti itu bukan sahaja terdiri daripada kalangan penggiat industri tetapi pelajar, pembeli dan penggemar perabot di seluruh negara.
“Komuniti PKDIYM ini dibuka secara percuma kepada orang awam tidak kira sesiapa sahaja yang berminat ke arah pertukangan kayu. Dalam komuniti ini, ada pensyarah, doktor, peguam yang berkongsi minat sama.
“Tidak ada sesiapa yang lebih pandai dan kurang pandai dalam kerja-kerja pertukangan kayu. Perkongsian ilmu dan pengalaman pertukangan kayu lebih diberi keutamaan,” katanya.
Selain perkongsian secara online, komuniti itu turut mengadakan perjumpaan berkala di bengkel-bengkel terpilih di sekitar Lembah Klang.
Menerusi perjumpaan itu, ahli-ahli dapat berkenalan antara satu sama lain dan bertukar-tukar pandangan serta idea mengenai pertukangan kayu.
“Kami semua tidak pernah berjumpa antara satu sama lain sebelum ini. Komuniti ini berjaya menyatukan kami semua.
“Biasanya, saya akan jemput ahli-ahli komuniti ke bengkel saya. Sesiapa yang ada kelapangan boleh datang. Saya juga ada buat kelas pertukangan kayu kepada komuniti,” jelasnya.


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4BZPk8eDV 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan