DENGAN perlahan-lahan, lelaki bertubuh sasa itu mendayung sampan miliknya menyeberangi sungai sambil membawa muatan barangan dapur yang baru dibeli dari pasar berhampiran.
Sesekali, lelaki tersebut tersenyum sambil mengangkat tangan selepas disapa oleh beberapa orang penduduk kampung yang berada di tebing sungai. Mereka memerhatikan gelagatnya mendayung sampan berwarna hijau dalam pandangan penuh minat.
Lelaki itu, Tom Davies, 32, terus berdayung tetapi sesekali dia sempat membetulkan beberapa bahagian pada sampannya supaya tidak karam di tengah sungai.
Apa yang menarik perhatian ramai, Davies tidak mendayung sampan biasa yang selalu digunakan oleh orang lain, sebaliknya dia mendayung sampan yang diperbuat daripada susunan botol-botol plastik yang diikat membentuk sebuah sampan.
Lelaki yang berasal dari Fiji itu telah memikat hati ramai penduduk di sekitar tempat tinggalnya selepas dia berjaya membina sebuah sampan menggunakan 600 biji botol plastik.
“Walaupun sampan ini diperbuat daripada botol plastik, namun ia mampu membawa sehingga tiga orang lelaki dewasa tanpa mengakibatkan sampan itu karam,” ujarnya sambil tersenyum.
Kesemua botol yang digunakan untuk membina perahu itu adalah daripada saiz yang sama iaitu berukuran isipadu 600 mililiter dan diikat di atas selapis papan yang diperbuat daripada gabus pada bahagian bawah sampan.
Lapisan gabus itu bertujuan untuk membolehkan sampan terapung di atas air selain mengelakkan air daripada memasuki ruang sampan sekali gus menyebabkan ia tenggelam.
Dengan menggunakan sebanyak 600 biji botol plastik, Davies berjaya membina sebuah sampan bersaiz sederhana yang berukuran 4.5 meter panjang dan 1.4 meter lebar.
Menurut Davies, dia membina sampan tersebut dengan tujuan menyampaikan cita-citanya terhadap menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar.
“Saya membuat sendiri sampan daripada botol plastik kerana semangat cintakan alam sekitar yang semakin teruk diterokai,” ujarnya.
Tambah Davies, tindakan itu sekali gus diharap dapat mengajak penduduk kampung supaya menghentikan aktiviti menebang pokok untuk membina sampan.
Bukan itu sahaja, idea untuk membina sampan menggunakan botol plastik terbuang juga sebenarnya dibuat untuk memberi kesedaran kepada penduduk setempat tentang kegunaan bahan terbuang yang boleh dikitar semula.
Dakwa Davies, sepanjang pesisir pantai dan di tepi-tepi jalan di kawasan tempat tinggalnya mempunyai banyak botol-botol plastik yang dibuang sehingga mencemarkan kawasan tersebut.
Usahanya membina sampan daripada bahan terbuang sekurang-kurangnya dapat membuka mata penduduk setempat tentang kegunaan bahan terbuang itu yang boleh diolah menjadi sesuatu yang bermanfaat seperti membuat perahu atau rakit.
“Daripada menebang pokok sehingga memusnahkan alam sekitar semata-mata untuk membina sampan, lebih baik menggunakan botol-botol terbuang yang tahan lebih lama berbanding kayu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Davies berharap agar penduduk di Fiji dapat menggunakan kelebihan yang terdapat pada bahan terbuang yang boleh digunakan semula supaya dapat menyeimbangkan alam sementelah Fiji merupakan sebuah negara kepulauan yang sangat kecil.
Di Fiji, kegunaan sampan dan rakit menjadi alat pengangkutan utama yang digunakan oleh sebahagian penduduk untuk melaksanakan aktiviti harian seperti menangkap ikan dan berhubung dari satu kawasan ke satu kawasan lain.
RUJUKAN : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz44DUAoSgo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan