|
TERIK matahari pagi yang sedari tadi mula memancarkan langsung tidak dihiraukan lelaki yang berumur 24 tahun itu.
Biarpun beberapa individu yang berada di kawasan tersebut sudah berkali-kali mengelap titisan peluh yang keluar daripada lapisan kulit mereka, namun itu tidak mematahkan semangat buat Abudi Alsagoff untuk terus lincah beraksi.
Kira-kira 10 minit yang lalu, badannya berguling dan melompat dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain tanpa henti.
Melihatkan kelincahannya memanjat dan bertukar-tukar posisi, bayangan bintang filem terkenal Hong Kong yang merupakan pelakon lagak ngeri popular dunia, Jackie Chan ketika sedang beraksi di dalam filem The Spy Next Door tiba-tiba melintasi kotak fikiran kru Jurnal.
Aksi Abudi yang tidak ubah seperti bintang filem terkenal itu ternyata menunjukkan kemahirannya di dalam sukan ekstrem parkour.
Menurut Abudi, dia mula diperkenalkan dengan sukan tersebut melalui salah seorang jiran kira-kira sembilan tahun yang lalu.
Disebabkan minat dengan sukan tersebut, dia kemudian mencari dan mengkaji video-video yang memaparkan aksi sukan ekstrem parkour di laman sosial Facebook.
“Pertama kali melibatkan diri di dalam sukan ini, saya menjadikan padang dan taman-taman sebagai lokasi latihan selain dibantu oleh rakan-rakan.
“Pada waktu itu saya rasakan sukan ini amat sukar dilakukan memandangkan di negara kita ia bukan sahaja masih belum popular, malah tiada kemudahan yang selamat serta sesuai untuk digunakan,” jelasnya.
Seni pergerakan
Menurut Abudi, parkour merupakan sukan yang dicipta oleh Raymond Belle, seorang lelaki Perancis sekitar tahun 1980-an.
“Parkour merupakan sukan yang melibatkan seni pergerakan badan. Ia memerlukan seseorang individu untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan sepantas yang mungkin.
“Sukan ini mula popular sekitar tahun 1990-an di negara-negara Eropah selepas sebuah filem berjudul Yamakasi yang memaparkan aksi-aksi tersebut ditayangkan selain dokumentari dan iklan-iklan komersial.
“Walaupun kelihatan berbahaya, namun sukan ini tidak membahayakan orang awam malahan mampu meningkatkan tahap kekuatan mental dan fizikal seseorang,” jelasnya.
Menurut Abudi, untuk mahir di dalam sukan ini, individu perlu kerap menjalani latihan bagi menguji ketahanan mental dan fizikal.
“Sukan ini sebenarnya bergantung kepada stamina seseorang.
“Selain mengamalkan diet makanan yang seimbang, individu juga perlu kerap menjalani latihan seperti larian pecut, lompat tinggi dan lompat jauh.
“Sesi latihan pula bergantung kepada individu tersebut. Selalunya, kami akan berlatih kira-kira dua hingga tiga jam sehari, empat kali seminggu,” jelasnya.
Lazimnya latihan akan dijalankan di kawasan yang berdinding bagi memudahkan aksi dilakukan.
Jambatan Putrajaya
Bagaimanapun Abudi menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai lokasi tetap untuk menjalani sesi latihan dan disebabkan itu, dia sentiasa mencari tempat-tempat menarik dan baharu.
Antara lokasi yang dia sering menjalani latihan ialah di sekitar Putrajaya.
“Saya sering menjadikan taman permainan dan tapak sukan ekstrem untuk beraksi memandangkan ia lebih selamat dan boleh digunakan dalam tempoh waktu yang diinginkan.
“Sukan ini bukan merupakan satu aktiviti yang mudah kerana anda perlu melatih diri sendiri bagaimana untuk menguasai sesuatu pergerakan.
“Walaupun melalui medium sosial terdapat segelintir individu yang mengajar setiap pergerakan secara dalam talian seperti tutorial video di YouTube, namun hanya anda sahaja yang akan menguasai sesuatu pergerakan tersebut,” jelasnya.
Keberanian Abudi nyata terserlah kerana selain melibatkan diri di dalam sukan ekstrem parkour, lelaki itu juga pernah menguji diri meniti Jambatan Seri Warisan di Putrajaya sekitar Mei tahun lalu.
Seorang lagi peminat sukan ekstrem tersebut, Mudabbir Ahmad, 26, mula menjinakkan diri di dalam sukan ini pada tahun 2007.
Menurut pemuda yang lebih mesra dipanggil Abir itu, sejak kecil lagi dia begitu meminati sukan-sukan ekstrem dan lasak selain sering melibatkan diri di dalam silat serta gemar memanjat bangunan.
Bukan itu sahaja, Abir juga gemar menonton filem-filem aksi barat iaitu Yamakasi dan B13. Sehingga ke satu tahap, dia terdorong untuk melibatkan diri di dalam sukan tersebut.
“Setelah melihat aksi-aksi di dalam filem berkenaan, saya menjadi terpengaruh dan selalu mempraktikkan apa yang dilihat.
“Bermula dari situ saya mula mencari rakan-rakan yang mempunyai hobi yang sama dan mula meningkatkan lagi kemahiran dalam parkour bersama mereka,” jelasnya.
Kaca televisyen
Seperti Abudi, Abir menjadikan Putrajaya sebagai lokasi untuk melakukan sukan tersebut kerana ia mempunyai ciri-ciri bangunan yang sesuai bagi membolehkan mereka berlatih dan meningkatkan lagi kemahiran dalam sukan ekstrem tersebut.
Menurut Abir, sepanjang menjalani sukan tersebut, dia perlu sentiasa fokus dan mengatasi ketakutan minda terutamanya ketika ingin melakukan sesuatu aksi yang baharu dan berbahaya.
“Sukan ini memerlukan daya fokus yang sangat tinggi memandangkan ia memerlukan individu yang terlibat untuk bergerak tangkas dan lasak selain berhati-hati dalam setiap langkah yang dilakukan.
“Sepanjang hampir sepuluh tahun saya melibatkan diri dalam sukan ini dan pernah mengalami kecederaan serius sehingga terpaksa berehat selama enam bulan untuk pulih,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aliff Iqmal Muhammad, 26, pula menceritakan dia mula menceburkan diri di dalam sukan itu pada tahun 2008 sejurus tamat persekolahan.
“Sebenarnya sejak kecil lagi saya telah melibatkan diri di dalam sukan ini.
“Bagaimanapun saya tidak tahu pada waktu itu sukan yang saya lakukan adalah parkour sehingga pada tahun 2008,” jelasnya.
Menurut Aliff, rakannya iaitu Abudi merupakan individu yang memperkenalkan sukan itu kepadanya dan pada waktu itu, mereka merupakan individu yang terlalu mahir dalam sukan itu.
“Dahulu, ketika melihat sukan ini di kaca televisyen, saya akan menjadi begitu teruja, namun tidak menyangka saya kini merupakan antara individu yang terlibat dengan sukan ekstrem itu,” ujarnya.
Cerita Aliff, dia lazimnya menjalani latihan parkour di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Putrajaya dan Shah Alam.
RUJUKAN : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz44DVeUaJc
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan