IBRAHIM Senik merupakan tokoh kesenian negeri Kelantan sudah tidak asing di kalangan masyarakat negeri itu.
Berusia 73 tahun, Ibrahim Senik atau mesra disapa Pak Him dan Che Him merupakan pakar bagi alat muzik serunai, rebab dan gendang Kelantan.

Ibarat bonus kepada Pak Him, beliau mendapat pengalaman dan ilmu kesenian Kelantan daripada keluarganya.
Menariknya, bukan sekadar ilmu seni, malah dia juga mempunyai kebolehan mengubat dan memulihkan penyakit diwarisi daripada keturunannya.

Bercerita latar belakangnya, Pak Him dilahirkan di Kampung Periuk, Tumpat.
Oleh kerana kampungnya salah satu tempat yang menjadi pusat kegiatan seni budaya di Kelantan, Pak Him yang membesar dengan persekitaran tersebut, secara tidak langsung meminati seni itu tanpa paksaan atau pujukan daripada sesiapa.

Mengakui pelbagai jenis kesenian seperti makyung, silat, wayang kulit, main puteri dan dikir laba sentiasa menjadi santapannya, kata Pak Him, kampungnya mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila melahirkan ramai seniman hebat.

"Bukan sahaja saya tetapi ramai orang-orang hebat lahir di tempat ini dalam memperkembangkan seni budaya yang kini melangkau beberapa generasi," katanya.
Tambah Pak Him, demi memperjuangkan seni budaya negeri kelahirannya itu, dia terus berbakti menerusi bidang dipelopori sehingga kini.

"Usia tidak menghalang untuk terus memperjuangkan minat ini.
"Tanpa orang lama mengetengahkan kepada generasi muda, ia akan pupus begitu sahaja," katanya merupakan tenaga pengajar Akademi Seni kebangsaan (Aswara) sejak 1994.
Berkongsi minatnya terhadap alat muzik rebab, kata Pak Him, dia berterima kasih kepada tokoh rebab Kelantan, Che Amat Rebab kerana pernah memberi tunjuk ajar kepadanya.
"Che Amat Rebab terkenal di kalangan tokoh seni Kelantan, beliau pernah menganggotai Kumpulan Makyung Kampung Temenggung.

"Daripada beliau, saya mendalami seni rebab dan menjadi bekalan hari ini," katanya.
Sekitar 1970-an, Pak Him adalah pemain serunai dan rebab yang menjadi pilihan untuk persembahan-persembahan makyung dan menora di Kelantan.
Di hujung 1970-an, Pak Him menyertai sebuah pertandingan serunai peringkat negeri Kelantan dan memenangi hadiah utama.
Bakatnya diperhati dan dicari Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, dan sekitar 1980-an, beliau diberi tanggungjawab bertugas bersama Kumpulan Budaya Negara sebagai ahli muzik khususnya pergendangan Melayu.

Dari tahun itu, Pak Him terus bergiat secara profesional sebagai ahli muzik kumpulan negara dan membawa beliau ke serata dunia.
Beliau turut terlibat bersama-sama dengan persembahan wayang kulit Seri Setia di bawah Seniman Negara Hamzah Awang Amat, persembahan makyung bersama Seniman Negara Khadijah Awang dan turut menjadi tenaga pengajar Akademi Seni kebangsaan (kini Aswara) sejak 1994.

Seni bertabik

Dalam pada itu, Pak Him baharu sahaja diangkat sebagai tokoh bagi program Gema Seni Tradisional: Bertabik anjuran Putra Aswara baru-baru ini.

Minatnya terhadap seni bertabik mendorong beliau meneruskan seni itu sehingga kini.
"Kebolehan saya dalam seni ini bukanlah melalui Tok Saman atau Tok Senik, tetapi hasil tuntutan ilmu daripada Pak Soh yang merupakan tokoh budaya di Kelantan.

"Menerusi Pak Soh, saya mempelajari bacaan-bacaan dalam bertabik dan nyanyian-nyanyian lagu," katanya.
Jelasnya, kesungguhan beliau mahu menguasai kesenian itu menyebabkan setiap malam Pak Him mengunjungi rumah Pak Soh untuk mendapat ilmu.

Lebih mencabar, kerana tidak mempunyai alat muzik serunai, beliau menggunakan batang padi sebagai alat muzik itu.

Selain itu, Pak Him terbatas keupayaan membaca dan menulis, akan menghafal dua tiga baris ayat diberi Pak Sok bagi setiap pembelajarannya.
Jika terlupa, beliau mengulang ke rumah Pak Soh di malam harinya untuk mendapatkan ilmu tertinggal.
Begitulah kisah Pak Him sehingga diangkat menjadi tokoh hebat hari ini.
Sedikit mengenai persembahan bertabik yang diadakan, Pak Him memberitahu, ia usaha terbaik memastikan seni budaya itu terus dipelihara.

"Peredaran masa telah sama-sama membawa pergi tokoh-tokoh hebat seni budaya. Inisiatif diambil ini sedikit sebanyak dapat membawa ketokohan dan keseniannya dikenang dan dihayati generasi hari ini," katanya
.

RUJUKAN : http://www.sinarharian.com.my/