12 Februari 2016

Artikel Menarik (Februari 2016) - Panduan jejaka muda bergaya korporat


UNTUK kelainan, anda boleh memakai tali leher pada salah satu hari bekerja.


Khas pada Januari ini, saya titipkan panduan mudah bagi jejaka muda yang mahu mengubah penampilan agar tidak kelihatan membosankan ketika bekerja dalam sektor korporat.
Untuk mendapatkan gaya less is more, paling utama dan perlu diingatkan ialah jangan berlebihan dalam berfesyen. Anda tidak perlu gayakan segala pakaian dan aksesori yang terkini serta popular dalam satu masa.
Ia akan nampak pelik dan janggal. Saya cadangkan supaya tidak membazir, beli hanya beberapa pakaian yang terkini pada setiap musim dan kemudiannya suai padan dengan barangan asas atau apa yang ada dalam almari pakaian anda.
Pakaian baharu yang disuaipadankan dengan yang lama secara bijak dan kreatif selalunya menjadikan penampilan kelihatan lebih menarik.
Sebelum anda bercadang untuk membeli pakaian ataupun aksesori yang baharu, tanya diri sendiri sama ada anda membelinya semata-mata untuk bergaya atau kerana anda betul-betul memerlukan dan menyukainya.
Jika anda membeli hanya kerana logo atau jenama barangan itu, lupakan sahaja niat anda kerana takut ia mungkin tidak selesa dipakai malah tindakan itu sesuatu yang merugikan.
Antara cara mudah untuk menukar penampilan agar lebih segar ialah kita perlu memakai aksesori. Jika selalunya kita hanya memakai kemeja putih, untuk kelainan pakailah tali leher pada salah satu hari bekerja.
Cuba eksperimentasi dengan jam tangan (mungkin warna emas), kafling dan rekaan tali pinggang yang berlainan. Apapun perlu diingatkan, apabila kita mahu menggayakan sesuatu pakaian berserta padanannya sekali, pastikan anda melihat ia secara keseluruhan.
Jaket, kemeja, tali leher, seluar atau skirt dan kasut anda mungkin berkualiti serta daripada jenama hebat tetapi paling penting, adakah ia sesuai dipadankan antara satu sama lain.
Pilihan
Sama ada waktu kita bekerja atau tidak, ia menuntut dua cara pemakaian yang berbeza. Bekerja di pejabat dan di luar pejabat juga menuntut dua penampilan yang berlainan.
Walaupun suasana pejabat anda relaks atau santai, tidak bermakna anda boleh menyarung kasut kasual ke pejabat. Sungguhpun, kadangkala anda perlu menyarung sut ketika menghadiri mesyuarat tetapi ia bukan satu kemestian di pejabat-pejabat korporat.
Paling penting anda berkemeja, berseluar, berkasut dan bertali leher rasmi serta kemas. Suasana pejabat yang relaks sama sekali bukan lesen untuk anda menggunakan sneakers. Pilihan terbaik ke pejabat tetap pakaian rasmi seperti kemeja dan kasut pejabat.
Saya masih berpendapat, anda perlu mengenakan penampilan rasmi tatkala di luar pejabat jika pada waktu bekerja. Kecuali kalau anda mengadakan lawatan ke tapak pembinaan.
Untuk itu, anda boleh memakai kasut yang bersesuaian seperti Dr. Martens atau Timberland dan menyarungnya tatkala ke tapak pembinaan serta tanggalkan setelah balik ke pejabat.
Sut dari fabrik khaki paling sesuai digayakan dalam cuaca panas seperti di negara kita ini manakala jaket berpinggang (slim jacket) dan seluar yang diperbuat dari kain kapas (neutral cotton) menarik dipadankan dengan kemeja serta tali leher reka corak jalur pelbagai warna.
Sut yang bagus ialah berjaya menggambarkan profesion anda. Sut selalunya dikaitkan sebagai pakaian rasmi korporat atau pegawai tinggi kerajaan dan jika dipakai, anda dianggap penuh ketrampilan.
Berbanding dengan pakaian-pakaian lain, kemeja lebih banyak mencerminkan siapa diri kita. Kebanyakan pakar menyarankan lelaki dalam bidang korporat memiliki sekurang-kurangnya empat kemeja putih dan empat kemeja biru.
Namun bagi saya, jika anda berkemampuan, lebih praktikal dan bijak jika anda boleh memiliki apa sahaja kemeja yang bermutu tinggi yang disukai, asalkan kolarnya sesuai dengan bentuk muka anda serta tuntutan kerja anda.
Bagi majlis black-tie, untuk kelihatan lebih trendy, anda boleh menggayakan jaket yang mengikut bentuk badan (fitted), yang dipadankan dengan kemeja putih kain keras berkolar lurus atau kolar bersayap.
Elakkan sama sekali memakai kemeja berkolar bucu berkancing (button down). Dalam pada itu, untuk kelainan cuba gayakan jaket baldu bagi acara formal itu.
Warna hitam selalunya adalah pilihan yang selamat tetapi jika anda inginkan kelainan, pilih warna gelap dan mewah seperti merah darah atau hijau gelap.


Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_02.htm#ixzz3zumKaE5B 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan